West Ham: Kelab Besar yang Hilang Arah

Pemandangan Evan Ferguson melepaskan rembatan yang mudah diselamatkan oleh penjaga gol Brentford, Mark Flekken menjadi isyarat kepada puluhan penyokong West Ham untuk beransur keluar dari stadium.

Situasi sebegini biasa berlaku apabila pasukan sedang bergelut tetapi kali ini perlawanan baru memasuki minit ke-80. Masih ada 15 minit lagi tetapi mereka yang meninggalkan stadium sudah tidak mahu melihat aksi yang hambar dan tidak bermaya. Mereka betul kerana selepas itu, Flekken tidak lagi diuji.

Selepas minit ke-85, ratusan lagi penyokong turut keluar dari stadium. Ketika wisel penamat dibunyikan, ribuan tempat duduk putih dan claret sudah kosong.

Kembalikan Lopetegui,” laung seorang penyokong diiringi beberapa sorakan boo ketika perlawanan yang cukup mengecewakan itu berakhir. Mungkin dia hanya bergurau.

Pada tahun 2023, West Ham memenangi trofi Eropah. Pada 2024, mereka menamatkan saingan di tangga ke-9 Liga Perdana.

Jadi, musim ini akan dikenang kerana apa?

West Ham kini berada di tangga ke-16, tersingkir daripada kedua-dua pertandingan piala domestik, jauh daripada saingan Eropah, tidak terlibat dalam perebutan penyingkiran dan kini hanya menanti tiga bulan yang tidak bermakna musim baharu bermula.

Ia cukup menyedihkan. Pada petang Sabtu yang suram di timur London, ia terasa seperti “anti-bola sepak”. Ini adalah West Ham… kelab yang seakan-akan dilupakan sepanjang musim 2024-25.

Kelab yang Berbelanja Besar Tetapi Masih Tidak Maju

Hakikat bahawa mereka berada dalam situasi ini sepatutnya sukar diterima. Prestasi yang tidak konsisten bukan lagi perkara asing untuk West Ham. Sejak berpindah ke Stadium London pada 2016, mereka telah menamatkan musim di luar kelompok 10 terbaik sebanyak 4 kali, jumlah yang sama dengan mereka berjaya menamatkan saingan dalam kelompok tersebut.

Ini bertentangan dengan kuasa membeli mereka. Hanya 6 kelab Liga Perdana (Chelsea, Manchester United, Tottenham Hotspur, Arsenal, Newcastle United dan Manchester City) mencatatkan perbelanjaan bersih lebih tinggi daripada West Ham dalam tempoh 5 tahun terakhir. Perbelanjaan bersih West Ham sekitar £271 juta.

Namun, mereka tidak berbelanja di luar kemampuan. West Ham adalah antara 7 kelab terbaik Liga Perdana dari segi pendapatan, dengan jumlah £268 juta musim lalu. Malah, mereka boleh berbangga dengan kehadiran penyokong ke-2 tertinggi di England, hanya di belakang Manchester United dengan purata 62,371 penyokong.

Tetapi dengan semua kelebihan ini, West Ham kini melakui musim yang dianggap paling sia-sia dalam sejarah mereka di liga utama.

Pada musim panas lalu mereka membelanjakan £120 juta untuk membeli pemain baharu. Namun selepas 25 perlawanan liga, mereka hanya menjaringkan 29 gol, berada 10 mata di atas zon penyingkiran dan 14 mata di belakang tempat kelayakan Eropah. Mereka kini terperangkap di “zon tiada hala tuju”.

Tiada Perancangan Jelas, Tiada Halatuju

Pelan mereka juga kelihatan mengelirukan.

Pada penghujung musim lepas mereka berpisah dengan David Moyes, menggantikannya dengan Julen Lopetegui. Lopeteui pula dipecat pada Januari. Pengarah teknikal Tim Steidten turut disingkirkan pada Februari.

Graham Potter memilih West Ham sebagai tempat untuk membina semula reputasinya tetapi tiada perubahan besar yang berlaku. Dalam 6 perlawanan pertamanya, hanya 1 kemenangan berjaya dicatatkan.

Dari satu sudut, tiada apa yang menarik untuk diperkatakan mengenai West Ham. Pasukan yang membosankan, tidak membawa sebarang impak kepada Liga Perdana musim ini.

Namun, dari sudut lain terdapat banyak perkara yang boleh diperkatakan. Dari pembaziran wang, perpindahan ke stadium baharu, pelantikan yang dipersoalkan sehingga ketiadaan strategi yang jelas untuk membawa kelab ini ke tahap yang sepatutnya iaitu berada dalam kelompok 8 terbaik dan bersaing dalam kejohanan piala domestik.

Mungkin kemelut berterusan di Manchester United dan Tottenham Hotspur telah mengalihkan tumpuan kepada masalah di West Ham. Atau mungkin orang ramai sudah terlalu biasa dengan kegagalannya. West Ham kini semakin sinonim dengan kegagalan.

Kekalahan kepada Brentford: Cerminan Musim yang Suram

Kekalahan terbaru kepada Brentford menggambarkan betapa sia-sianya musim mereka.

West Ham bolos seawal minit ke-4 (mereka hanya mencatat 1 clean sheet dalam 22 perlawanan liga di tempat sendiri) dan hampir dibelasah sebelum separuh masa pertama tamat. Brentford mempunyai 2 gol yang dibatalkan kerana ofsaid, 1 percubaan terkena tiang dan beberapa peluang terbuka yang disia-siakan. Mereka boleh saja mendahului 5-0 pada separuh masa pertama.

Suasana stadium lebih sunyi daripada majlis pengebumian. Penyokong pelawat menyindir dengan nyanyian: “Kamu jual jiwa, untuk tempat sial ini.” Penyokong West Ham tidak membalas malah ramai yang meninggalkan tempat duduk seawal minit ke-40 untuk mencari sedikit ketenangan di kawasan rehat stadium.

Ia bukan perkara baru. Stadium London sentiasa dianggap sebagai tempat yang lesu untuk bola sepak. Sruktur besar yang terasing di tengah-tengah kawasan konkrit tanpa rasa komuniti atau kebersamaan. Berbanding Goodison Park yang meriah dan penuh emosi, Stadium London terasa seolah-olah hanya tempat persinggahan bukan rumah sebenar.

Tidak hairanlah suasana di sini suram. Bukan salah penyokong, kerana mereka hadir dalam jumlah besar. Salahnya adalah pada keputusan pemilik kelab, David Sullivan yang memberikan mereka stadium yang lebih sesuai untuk sukan besbol berbanding bola sepak.

Harapan Tipis untuk Masa Depan

Adakah masih ada harapan?

Evan Ferguson, pemain muda yang dipinjamkan ke West Ham memberikan sedikit sinar dengan aksi lincah dan bertenaga, sesuatu yang tidak kelihatan dalam kalangan rakan sepasukannya. Sekurang-kurangnya terdapat sekelumit harapan jika Potter dan ketua pengambilan, Kyle Macaulay mampu membawa masuk lebih ramai pemain seperti Ferguson pada musim panas nanti.

Potter sendiri kelihatan optimis walaupun pasukannya hanya mencatat 0.77 expected goals (xG) dalam perlawanan ini. Dia bercakap tentang “positif dalam kekalahan” dan “perkara baik dari separuh masa kedua“.

Jika itu standard yang ditetapkan, maka ianya terlalu rendah.

Mungkin Potter mampu mengubah keadaan. Mungkin West Ham akhirnya mencapai potensi mereka dan Stadium London bertukar menjadi tempat yang penuh semangat serta kebersamaan.

Tetapi buat masa ini, semua itu kelihatan terlalu jauh… dan masih terdapat 13 lagi baki perlawanan untuk musim yang tiada siapa mahu ingat.

BACA:  Arsenal Berdepan Krisis Kecederaan: Bagaimana Arteta Akan Menyusun Barisan Serangannya?