West Ham Ranapkan Rekod Arsenal, Lewis-Skelly Dilayangkan Kad Merah

Arsenal Tewas kepada West Ham, Gagal Rapatkan Jurang dengan Liverpool

Rentetan 15 perlawanan tanpa kalah Arsenal di Liga Perdana berakhir selepas West Ham United menggagalkan usaha mereka untuk merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Liverpool.

Liverpool telah kehilangan mata dalam w daripada 3 perlawanan terakhir mereka dan akan berkunjung ke Manchester City, sebuah tempat di mana mereka tidak pernah menang sejak 10 tahun. Ia sepatutnya menjadi peluang Arsenal untuk memberi tekanan kepada pencabar kejuaraan tetapi mereka gagal memanfaatkannya.

Jarrod Bowen menjaringkan gol kemenangan pada lewat babak pertama. Dia memulakan serangan balas selepas mendapat bola di pinggir kotak sendiri dan menanduk masuk hantaran lintang Aaron Wan-Bissaka.

Arsenal yang meletakkan Mikel Merino di bahagian serangan tidak dapat mencari gol penyamaan dan harapan mereka semakin pudar apabila pemain gantian, Myles Lewis-Skelly dilayangkan kad merah hanya 17 minit selepas masuk kerana menjatuhkan Mohammed Kudus di garisan tengah, sekali gus menghalang peluang Kudus dari menjaringkan gol.

Kekalahan ini bermakna Arsenal kekal 8 mata di belakang Liverpool.

Arsenal Gagal Kawal Emosi

Arsenal tidak boleh panik apabila sesuatu tidak berjalan seperti yang dirancang. Ketegangan jelas dirasai di Stadium Emirates ketika perlawanan masih kekal tanpa jaringan selepas 30 minit permainan. Keadaan panik itu kelihatan di atas padang apabila ramai pemain Arsenal terlalu ghairah untuk menyerang.

Dalam situasi sebegini, Arsenal memerlukan ketenangan, mereka terlalu terbawa-bawa dengan emosi perlawanan. Inilah yang menyebabkan mereka terdedah kepada serangan balas Wan-Bissaka di babak pertama dan turut menyumbang kepada kad merah Lewis-Skelly di babak kedua.

Keputusan-keputusan di atas padang semakin goyah seiring dan Arsenal membayar harga untuk itu.

Setelah 2 musim bersaing dalam perebutan kejuaraan, Arsenal seharusnya lebih memahami keperluan untuk bersabar apabila berdepan pasukan yang sukar ditembusi. Berbanding mendedahkan semua strategi terlalu awal, sedikit kesabaran mungkin lebih membantu.

Kenapa Lewis-Skelly Dilayangkan Kad Merah?

Menggantikan Riccardo Calafiori dengan Myles Lewis-Skelly merupakan keputusan yang logik oleh Mikel Arteta. Calafiori bergelut dari segi pertahanan, manakala Lewis-Skelly pula telah menunjukkan kebolehpercayaannya di bahagian belakang.

Namun, pemain berusia 18 tahun itu dianggap kurang bernasib baik kerana dia dibiarkan terdedah ketika Kudus memecut di garisan tengah. 9 daripada 10 pemain pertahanan mungkin akan melakukan cabaran yang sama dalam situasi tersebut.

Pengadil Craig Pawson pada awalnya memberikan kad kuning tetapi selepas semakan VAR, keputusan itu dinaikkan kepada kad merah kerana Kudus berada dalam situasi yang jelas berpeluang menjaringkan gol tanpa ada pertahanan yang menutup ruang, manakala penjaga gol Arsenal, David Raya berada jauh dari gawangnya.

Biasanya kad kuning yang ditukar kepada kad merah selepas semakan VAR akan menyebabkan penggantungan 1 perlawanan berbanding 3 perlawanan. Ia bermakna Arsenal akan kehilangan Lewis-Skelly untuk perlawanan pertengahan minggu menentang Nottingham Forest.

Ini merupakan tamparan hebat memandangkan keputusan untuk meletakkan Lewis-Skelly di bangku simpanan ketika menentang West Ham mungkin dibuat dengan niat untuk memberinya tempat dalam kesebelasan utama di City Ground. Sepanjang musim ini, dia telah membuktikan keupayaannya sebagai pemain yang sukar dilepasi dan agresif dalam pertahanan. Kelebihan sepatutnya berguna untuk mengekang pemain sayap Forest, Anthony Elanga.

Calafiori kemungkinan besar akan mengisi posisi bek kiri di City Ground tetapi dia perlu meningkatkan prestasinya untuk menghadapi jentera serangan Forest yang berbahaya.

Bagaimana Merino Beraksi Sebagai Penyerang Utama?

Walaupun menjaringkan 2 gol menentang Leicester City pada minggu lalu, tiada jaminan Mikel Merino akan menjadi penyerang utama Arsenal dalam perlawanan ini. Arteta sendiri tidak memberikan kepastian penuh dalam sidang medianya sebelum perlawanan, malah terdapat perbincangan bahawa pemain Sepanyol itu mungkin lebih berkesan sebagai pemain gantian.

Merino memulakan perlawanan dengan baik sebagai pemain NO9. Dia cuba memberikan sokongan dengan menahan bola tinggi dan memenangi beberapa hantaran nauh. Namun, rakan sepasukannya tidak cukup pantas untuk memanfaatkan bola kedua. Arsenal juga tidak mencipta sebarang peluang baik untuknya di babak pertama, dengan West Ham bertahan dalam kedudukan yang cukup dalam dan memaksa Merino bekerja keras untuk mendapatkan peluang.

West Ham semakin selesa bertahan dan tidak memberi ruang kepada Merino untuk beraksi. Wan-Bissaka 2 kali melancarkan serangan di bahagian kiri Arsenal dan pada percubaan ke-2, dia berjaya mencipta gol pembukaan untuk Bowen.

Ketiadaan Merino sebagai senjata rahsia di bangku simpanan memaksa Arteta untuk memasukkan Oleksandr Zinchenko di bahagian tengah bagi menggantikan Declan Rice. Rice sebelum itu sering membuat larian di belakang barisan pertahanan West Ham tetapi tidak mendapat hantaran yang diharapkannya.

Ini juga merupakan kali pertama Arteta menggunakan Zinchenko sebagai pemain tengah tetapi dia tidak mampu memberikan impak besar terutamanya selepas Arsenal kehilangan Lewis-Skelly.

BACA:  Ruben Amorim Akui Risiko Manchester United Tidak Berbelanja di Januari