Wijnaldium: City Bernasib Baik Kerana Coutinho Sudah Tiada

Pemain tengah Liverpool, Georginio Wijnaldum berkata Manchester City dan pasukan pencabar lain bernasib baik kerana kelibat Philippe Coutinho tiada lagi di Anfield.

Perlawanan hujung minggu ini bakal menemukan Liverpool dan Manchester City, dan Wijnaldum berpendapat City bernasib baik kerana bakal berhadapan dengan skuad Liverpool yang masih dalam proses menyesuaikan diri dengan ketiadaan Coutinho dalam pasukan.

Kelab lawan bernasib baik kerana Coutinho sudah tiada

Pemain antarabangsa Brazil itu telah berpindah ke Barcelona dengan rekod jualan kelab bernilai hampir £142 juta minggu lepas.

Coutinho adalah nadi utama bahagian tengah Liverpool sejak tiba dari Inter Milan pada tahun 2013. Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp sedar beliau berdepan tugas getir untuk merencana pasukannya bagi menghadapi cabaran anak buah Pep Guardiola yang berada dalam prestasi terbaik ketika ini.

Wijnaldum berkata Klopp cuba mengambil pendekatan yang lebih santai bagi menghadapi kehilangan Coutinho dan mengharapkan pemain-pemain lain melakukan yang terbaik, tanpa meletakkan tekanan berlebihan.

Coutinho sering menghadirkan igauan buruk kepada Joe Hart pada masa lepas

“Pep Guardiola bernasib baik kerana bakal berhadapan dengan skuad Liverpool tanpa khidmat Coutinho.”

“Saya rasa setiap pasukan atasan mesti berasa gembira apabila mengetahui Coutinho meninggalkan Liverpool untuk bermain dengan pasukan luar.”

“Selepas kehilangan khidmat Coutinho, Klopp tidak berkata kami harus meningkatkan tahap permainan atau melakukan sesuatu yang berlainan. Beliau hanya mahu pemain menikmati permainan dan melakukan yang terbaik sahaja.”

“Klopp bukan jenis pengurus yang akan meletakkan tekanan yang berlebihan ke atas bahu pemain-pemain. Hanya satu tekanan yang diberikan Klopp kepada kami iaitu kami harus memberikan 100% di atas padang dan menggunakan kualiti yang ada pada kami.”

Selain hebat di atas padang, Coutinho juga mempunyai keperibadian yang mulia, menurut Wijnaldum

Kehilangan Coutinho tidak hanya dirasai di atas padang, tetapi juga di luar padang. Wijnaldum berkata Coutinho memiliki karakter yang bagus dan amat popular di kalangan pemain.

“Secara jujurnya saya berasa janggal selepas Coutinho tiada. Saya rasa kami belum dapat menerima sepenuhnya yang beliau sudah berpindah. Pemain berkualiti seperti Coutinho, setiap pasukan pasti akan merindui pemain sebegini jika pemain tersebut meninggalkan kelab.”

“Beliau adalah seorang yang mesra, sebab itulah kami gembira kerana beliau akhirnya berjaya melunaskan impiannya untuk berpindah ke Barcelona. Tetapi pada masa yang sama, kami sedih kerana beliau tiada lagi dalam pasukan. Adanya Coutinho menjadikan pasukan lebih baik.”

“Beliau merupakan salah seorang pemain terbaik yang dimiliki Liverpool tetapi dari segi keperibadian, Coutinho adalah yang paling bagus.”

BACA:  Permintaan Aneh Dari Chelsea Untuk Mendapatkan Coutinho