Wilhelm Ott Sah Memeluk Agama Islam

Bagi peminat MMA, nama Wilhelm Ott sudah tidak asing dengan watak bengis dan seluruh tubuh badannya ditutupi dengan tattoo.

Seluruh dunia kini terkesan dengan penularan wabak Covid-19, baik dari segi kehidupan mahu pon ekonomi.

Pelbagai keluh kesah dari pelbagai lapisan masyarakat meluahkan kesukaran yang mereka hadapi sewaktu keadaan begini.

Tetapi tidak untuk petarung MMA, Wilhelm Ott. Bagi dirinya ujian yang hadir kini memberi beribu makna dalam kehidupan beliau.

Wilhelm Ott secara rasminya telah memeluk agama Islam pada 16 April lalu. Berita ini diumumkan olehnya sendiri menerusi siaran langsung di laman Instagram miliknya.

Menerusi video yang dimuat naik oleh beliau itu, Wilhelm Ott telah melafazkan kalimah syahadah, iaitu salah satu daripada lima rukun Islam, membuktikan beliau kini sudah rasmi beragama Islam.

Ott turut mendedahkan bahawa Islam sudah berada di dalam fikirannya sejak sekian lama dahulu tetapi dia ‘tidak dapat melakukan apa-apa dengannya’.

“Saya membiarkan diri saya dipengaruhi. Tetapi ketika saya menghadapi tempoh sukar begini, kepercayaan yang saya miliki terhadap Islam memberi kekuatan kepada saya,”

“saya rasa iman saya sekarang sudah cukup kuat sehingga saya dapat mengenali hanya satu-satunya Tuhan yang sebenar dan mengucapkan kalimah syahadah serta saya dengan bangganya menyatakan bahawa saya kini seorang Muslim,”

Di dalam satu hantaran lain, Ott mengucapkan terima kasih atas maklum balas positif yang diterima daripada peminatnya dan juga kepada seluruh umat Islam di dunia.

“Saya bukan mahu menjadikan perkara ini untuk mendapat perhatian. Saya memuatnaik video kerana orang sekeliling serta rakan-rakan sudah mengetahuinya,”

Jelas Wilhelm Ott.

Terbaru, Wilhelm Ott turut mendedahkan bahawa Ramadan merupakan satu tarikh yang dinanti-nantikan kerana ia bakal menjadi ibadah puasanya yang pertama sebagai seorang muslim.

“Ramadan pertama saya sudah hampir dan saya tidak sabar menantikannya. Sebagai seorang atlet profesional, saya mempunyai keinginan yang kuat. Namun, sekarang saya mempunyai iman yang lebih kuat dan insyaallah saya akan menjadi lebih kuat lagi,”

Tulisnya di laman Instagram beliau pada hari Isnin lalu.

Selain mendapat jumlah tontonan yang tinggi, bintang MMA itu turut dihujani dengan mesej-mesej positif dari pengikutnya di media sosial.

“Hampir setengah juta mesej yang saya terima dari peminat di Facebook dan Instagram sejak kebelakangan ini. Saya tidak mampu untuk menjawab semuanya. Terima kasis atas ucapan mesra dari semua.”

Wilhelm Ott merupakan seorang petarung MMA dari Jerman dan mempunyai lebih dari 41,200 pengikut di laman Instagram miliknya.

Wilhelm Ott kini menduduki ranking ke-74 daripada 615 petarung EU Wester Pro Welterweights yang masih aktif.

Baca Juga

Baca Juga