Willian Dikecam Teruk Kerana Meraikan Kemenangan Chelsea Menewaskan Arsenal

Willian sememangnya tidak mempunyai hubungan yang baik dengan para penyokong Arsenal, dengan beliau sendiri sebenarnya sudah tidak berminat untuk kekal di Emirates.

Beliau kini telah melakukan satu hal yang menyebabkan hubungannya dengan penyokong Arsenal semakin jauh, dan menjadikan dirinya sebagai tokoh paling di benci di Emirates ketika ini.

Beliau dilaporkan telah menyukai salah satu muat naik Chelsea di laman instagram mereka, dengan beliau dianggap meraikan kejayaan The Blues menewaskan Gunners.

Beliau sebelum ini pernah menghabiskan karier selama tujuh tahun di Stamford Bridge sebelum menyertai Arsenal secara percuma selepas kontraknya bersama Chelsea tamat.

Walaupun beliau jarang diturunkan dan menunjukkan sikap seolah-olah tidak menyukai Arsenal, Willian sebenarnya menerima gaji yang tinggi di Emirates.

Hal itu sebenarnya membangkitkan kemarahan para penyokong dan ramai yang berharap agar beliau segera dijual sebelum jendela perpindahan musim panas ini ditutup.

Dengan situasi beliau yang tidak disukai oleh para peminat, Willian menambah pula petrol di atas api yang marak dengan menyukai muat naik Chelsea berkait kemenangan ke atas Arsenal.

Para pemain zaman sekarang jelas tidak boleh mengelak atau menyembunyikan apa-apa dari para peminat kerana mereka seolah-olah senantiasa dipantau.

Sama seperti apa yang dilalui oleh Willian, beliau tidak bernasib baik kerana para penyokong mengesan tindakannya menyukai muat naik Chelsea dan menganggap beliau meraikan kemenangan bekas kelabnya itu menewaskan kelabnya sekarang.

Chelsea baru sahaja menewaskan Arsenal dalam aksi saingan Premier League dengan keputusan 2-0, hasil jaringan dari Romelu Lukaku dan Reece James.

Mikel Arteta sendiri ketika ini menggambarkan kedudukan Arsenal sebenarnya berada di tahap yang sangat teruk, bahkan beliau sendiri tidak pernah melihat Gunners berada di tahap seteruk ini sepanjang hayatnya.

Pemain berprofil tinggi seperti Pierre Emerick Aubameyang, Hector Bellerin dan Alexandre Lacazette dilihat sudah tidak berminat untuk menyarung jersi Arsenal lagi.

Arsenal memulakan kempen saingan liga musim ini dengan sangat teruk selepas mereka mencatatkan dua kekalahan dari dua perlawanan, dan berada di kedudukan kedua tercorot dalam carta liga.

Para peminat sangat berharap agar pihak kelab menjual kesemua pemain yang sudah tidak mahu bermain bersama Arsenal, dan menandatangani muka-muka baru yang bakal bermain demi lencana di dada.

Kalau dulu Chelsea dan Arsenal merupakan dua kuasa besar London dan saling berseteru, kini sepertinya The Blues hanya memandang Gunners sebagai pasukan kerdil sahaja.

Para peminat turut mengkritik kelab dengan menyatakan yang mereka sebenarnya lebih berminat untuk menjual merchandise, berbanding memenangi perlawanan bola sepak.

Tugas berat menanti Mikel Arteta kerana beliau selepas ini bakal membawa anak-anak buahnya untuk berkunjung ke Etihad bertemu Manchester City.

Andai mereka tewas lagi, ia tentunya bakal memberi kesan yang teruk kepada skuad selepas mencatatkan tiga kekalahan berturut-turut dari tiga perlawanan awal saingan premier league.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Willian Teringin Untuk Kembali Bekerjasama Dengan Mourinho