Willian Teringin Untuk Kembali Bekerjasama Dengan Mourinho

Pemain tengah Chelsea, Willian mengakui beliau teringin untuk kembali bekerjasama dengan Jose Mourinho tetapi mengesahkan ia tidak akan berlaku pada tirai perpindahan musim panas ini.

Pemain antarabangsa Brazil ini telah dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Stamford Bridge dimana beliau mengharungi waktu yang sukar bermain di bawah Antonio Conte musim lepas.

Mourinho bertanggungjawab memperkenalkan bola sepak Inggeris kepada Willian suatu ketika dahulu

Antara kelab yang memasang minat untuk mendapatkan Willian adalah Manchester United yang kini diuruskan oleh bekas pengurusnya dahulu, Mourinho. Mourinho merupakan pengurus yang bertanggungjawab membawa masuk Willian ke Liga Perdana Inggeris pada tahun 2013.

Willian yang pernah beraksi dengan Shakhtar Donestk dan Anzhi Makhachkala sebelum menyertai Chelsea, berjaya menjulang trofi Liga Perdana Inggeris pada musim 2014/2015 dimana beliau memainkan peranan penting dalam kempen Chelsea pada musim tersebut, bermain 36 dari 38 perlawanan liga.

Willian mengharungi waktu yang sukar di bawah Conte musim lepas dan beliau kerap diletakkan di bangku simpanan dengan Chelsea bergelut untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang dimenangi mereka pada musim sebelum itu.

Pasangan ini berjaya membantu Chelsea memenangi Liga Perdana Inggeris pada tahun 2015

Situasi sukar yang dihadapi Willian di Stamford Bridge menyebabkan beberapa kelab mula menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmatnya. Selain Manchester United, Barcelona turut menyatakan minat mereka terhadap Willian dan telah menghantar bidaan kepada Chelsea, tetapi ditolak kerana tidak mencukupi.

Willian dipetik berkata sebelum ini yang beliau berniat untuk kekal di Chelsea buat masa sekarang, tetapi masih mengekalkan minat untuk kembali bekerjasama dengan Mourinho sekiranya diberikan peluang.

“Mourinho merupakan pengurus terbaik yang pernah saya bekerjasama. Kami mempunyai hubungan yang sangat baik, dan kami merupakan kawan baik.” Ujar Willian ketika ditemuramah ESPN Brazil.

“Kadang-kadang kami bercakap, bertukar mesej, dan saling menghantar mesej melalui WhatsApp. Mourinho merupakan pengurus yang hebat dan saya sangat suka bekerja di bawah beliau. Saya amat berharap dapat kembali bekerjasama dengan beliau pada suatu hari nanti.”

“Saya tidak tahu sama ada Manchester United ada membuat bidaan rasmi terhadap saya, tetapi saya tahu sesuatu ada berlaku.”

“Tambahan pula, semua perkara kini boleh didapati di internet. Tetapi Mourinho selalu bercakap dengan ejen saya, dan beliau berkata ‘Bawak dia datang sini, bawak dia datang sini’.”

“Mourinho tidak pernah menelefon saya [mengenai perpindahan ke Manchester United] tetapi beliau sentiasa menghantar mesej kepada saya.”

Willian tidak enjoy bermain di bawah Conte musim lepas

Walaupun mempunyai hubungan yang erat dengan Mourinho, Willian mengakui beliau masih gembira untuk kekal di Chelsea dan bersedia untuk kekal lebih lama di West London.

“Walaupun saya mempunyai hubungan yang baik dengan Mourinho, saya masih lagi gembira di Chelsea dan saya mahu terus kekal di kelab ini.”

“Saya suka tinggal di London. Ia merupakan bandar yang sangat hebat dan keluarga saya juga sudah biasa dengan bandar ini. Jadi, saya bercadang untuk terus kekal bersama Chelsea.”

BACA:  Higuain: Sarri Tahu Bagaimana Untuk Dapatkan Yang Terbaik Dari Saya