Pemain tengah England, Jack Wilshere berkata beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan Arsenal walaupun ada menerima tawaran untuk melanjutkan kontraknya di Emirates Stadium.
Pemain berusia 26 tahun itu menamatkan pertalian selama 17 tahun dengan Arsenal apabila mengambil keputusan untuk menolak tawaran kontrak baru bagi mencari kelab yang mampu memberikan beliau lebih banyak waktu di atas padang.
Selepas hampir dua minggu hidup menganggur tanpa sebarang ikatan kontrak, Wilshere memilih untuk menyertai West Ham, yang turut terletak di kota London.
Wilshere mengharungi musim 2017/2018 dengan baik tanpa mengalami sebarang kecederaan yang serius. Beliau kerap berada dalam kesebelasan utama terutamanya dalam pertandingan Europa League dan Piala FA.
Berikutan persembahan konsisten yang dipamerkan Wilshere, beliau akhirnya menerima panggilan dari Gareth Southgate untuk mewakili England dalam perlawanan persahabatan awal tahun ini. Walaupun demikian, nama Wilshere tetapi tercicir dari skuad Piala Dunia 2018 yang berjaya meraih tempat ke-4 keseluruhan di Russia.
Pada mulanya, ramai menjangka Wilshere akan menandatangani kontrak baru di Arsenal. Tambahan pula, peminat Arsenal melihat beliau sebagai calon kapten Arsenal pada masa depan kerana sifat kepimpinan yang dimilikinya di atas padang.
Tetapi segalanya berubah apabila Arsene Wenger secara mengejut meninggalkan kelab tersebut hujung musim lalu walaupun kontraknya masih lagi berbaki satu musim. Bekas pengendali Paris Saint-Germain, Unai Emery dibawa masuk untuk menggantikan tempat Wenger dan Wilshere terpaksa menilai kembali pilihan beliau.
Selepas perbincangan hati ke hati di antara Wilshere dan Emery, produk akademi Arsenal itu akhirnya mengambil keputusan untuk meninggalkan Arsenal kerana peluang bermain yang terhad sekiranya beliau kekal di Arsenal.
Dalam satu temubuah bersama The Independent, Wilshere mengesahkan keputusan untuk meninggalkan Arsenal merupakan keputusan yang diambilnya sendiri.
“Saya mengambil keputusan untuk meninggalkan Arsenal. Ia merupakan keputusan yang telah lama saya fikir.”
Mengenai keputusan Wilshere untuk menyertai West Ham, beliau berkata kelab tersebut merupakan kelab yang diikutinya sejak kecil lagi.
“Saya mempunyai pertalian dengan West Ham sejak kecil lagi. Saya sering pergi ke Uptown Park dan membesar dengan meminati pemain West Ham.”
“Sudah tentu saya perlu menilai semua pilihan yang saya terima, sama ada dari dalam atau luar negara. Tetapi sebaik sahaja saya duduk berbincang dengan West Ham, saya tahu kelab mana yang harus saya pilih.”
“Mereka mempunyai cita-cita yang besar, bermain di stadium yang besar di hadapan peminat yang bagus. Saya yakin kita akan mampu membina sesuatu yang istimewa di sini.”