Wira Hatrik Negara Yakin Peluang Seimbang Menentang Vietnam dan Indonesia

Pemain yang berjaya mencetak hatrik dalam pertemuan menentang Laos semalam, Safawi Rasid, yakin bahawa peluang Malaysia adalah seimbang dalam pertemuan dua pasukan kuat kumpulan, Vietnam dan Indonesia.

Safawi juga menyatakan bahawa pentingnya mempercayai percaturan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, dalam pertemuan penting bagi Harimau Malaya itu nanti.

“Pada saya mana-mana pasukan termasuk Vietnam, Indonesia dan Laos sama sahaja. Kami mampu buat sesuatu, dapatkan keputusan yang baik asalkan mengikut arahan jurulatih,” ujar penyerang skuad JDT itu kepada Stadium Astro.

Safawi muncul pemain pertama dalam kejohanan Piala AFF 2020 mencatatkan hatrik, sekaligus mendahului carta senarai penjaring terbanyak mengatasi penyerang sensasi Singapura, Ikhsan Fandi.

Pun begitu, Safawi tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan kerana membantu mengawal permainan dengan baik sehingga dia dapat menjaringkan tiga gol, selain mempamerkan semangat juang yang tinggi ketika berdepan pasukan lawan.

Menentang Laos, ketua jurulatih Harimau Malaysia telah melakukan beberapa pertukaran berbanding kesebelasan utama ketika menentang Kemboja di mana tiada kelibat pemain naturalisasi negara, Guilherme De Paula.

Khairul Fahmi Che Mat masih mengekalkan tempatnya sebagai penjaga gawang, dengan dibantu oleh empat pertahan, Rizal Ghazali di sebelah kanan, Syahmi Safari di sebelah kiri serta juga Aidil Zafuan dan Shahrul Saad di bahagian tengah.

Bermain di posisi pemain tengah bertahan adalah bekas pemain Kedah, Baddrol Bakhtiar. Pemain muda Mukhairi Ajmal bergandingan dengan Syafiq Ahmad sebagai sumber kreatif pasukan.

Safawi Rasid kekal di bahagian sayap kanan manakala Ariff Aiman pula bermain di bahagian sayap kiri, bagi memberikan sokongan kepada penyerang utama negara, Luqman Hakim.

Kesemua pemain Malaysia boleh dikatakan bermain dengan begitu baik dan dapat merantai pergerakan ayam tambatan Laos yang bermain di Liga Perancis, Billy Ketkeo.

Malaysia berjaya mendahului lawan seawal minit ketujuh apabil Arif Aiman berjaya merampas bola dari kaki pertahanan Laos selepas melakukan asakan di bahagian atas.

Sebaik mendapat bola, Arif Aiman membuat satu hantaran lencong ke depan pintu gol pasukan lawan dengan Luqman Hakim dan Safawi Rasid sudah sedia menunggu.

Tanpa dikawal, Safawi menolak mudah bola ke dalam gol Laos.

Selepas setengah jam perlawanan, Safawi menambah gol kedua Malaysia dan peribadi apabila menanduk bola sepakan penjuru daripada Arif Aiman.

Pemain pertahanan, Shahrul Saad, menambah derita Laos pada separuh masa kedua apabila dia menjaringkan gol persis seorang penyerang.

Sebaik mendapat bola di depan kotak penalti sendiri, Shahrul Saad membuat hantaran pendek kepada Baddrol Bakhtiar, sebelum melakukam larian pantas naik ke atas.

Melihat rakannya sudah berlari, Baddrol Bakhtiar dengan begitu bijak melakukan lorongan pemecah benteng pertahanan Laos yang berada agak tinggi menghampiri garisan tengah kepada Shahrul Saad.

Dengan hanya berdepan penjaga gol lawan, Shahrul Saad dengan tenang menyepak bola leret tepat ke dalam pintu gol.

Melengkapkan hari gemilang, Safawi Rasid menjaringkan gol ketiga peribadi selepas menerima hantaran cantik daripada R.Kogileswaran.

Menjelang pertemuan dengan dua pasukan yang lebih kuat di atas kertas, Vietnam dan Indonesia, Tan Cheng Hoe percaya Malaysia mampu memberikan cabaran dan dari segi persiapan, dia memaklumkan bahawa dia tidak fokus kepada individu.

“Saya tidak fokus kepada individu, kami fokus kepada semangat berpasukan. Barisan pemain beraksi dengan baik (hari ini), saya harap mereka dapat kekalkan prestasi.

“Saya perlu beri tumpuan kepada persiapan selama dua hari selepas ini untuk menghadapi Vietnam,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Malaysia akan bertemu Vietnam pada hari Ahad, 12 Disember nanti, sebelum berehat untuk tempoh yang lama menjelang pertemuan terakhir peringkat kumpulan menentang Indonesia pada 19 Disember 2021.

Dalam edisi Piala AFF Suzuki 2018, Malaysia muncul naib juara selepas tewas kepada Vietnam dalam perlawanan akhir.

Perlawanan pusingan pertama di Kuala Lumpur menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2, dengan Shahrul Saad dan Safawi Rasid menjaringkan gol buat Malaysia di hadapan hampir 90 ribu penyokong di stadium Bukit Jalil.

Dalam perlawanan timbal balik di Vietnam, Malaysia terpaksa akur apabila Nguyen Anh Duc menjaringkan gol tunggal perlawanan sekaligus membawa Piala AFF ke Hanoi.

Baca Juga

Baca Juga