Xavi: Bagaimana Sergio Busquets Menjadikan Saya Pemain Yang Lebih Bagus

Pemain legenda Barcelona, Xavi Hernandez memuji bekas rakan sepasukannya, Sergio Busquets kerana menjadikan beliau seorang pemain bolasepak yang lebih baik.

Xavi adalah produk kelahiran akademi Barcelona yang terkenal, La Masia dan telah berjaya menempatkan dirinya dalam kalangan pemain tengah terbaik dunia ketika zaman kemuncaknya.

Beliau mengenalpasti Busquet sebagai elemen paling penting dalam peningkatan beliau sebagai seorang pemain. Xavi turut memuji visi dan kebolehan semulajadi yang ada pada Busquet, sambil menyifatkannya antara faktor utama kejayaan Barcelona menggondol pelbagai kejuaraan terutamanya ketika di bawah kendalian Pep Guardiola.

Xavi bermain bersama Barcelona selama 17 tahun sebelum mengambil keputusan untuk mencuba angin baru dengan berhijrah ke Qatar. Dalam tempoh beliau di Nou Camp, Xavi telah berjaya memenangi pelbagai kejayaan antaranya 8 kejuaraan La Liga dan 4 trofi Liga Juara-Juara.

Lapan tahun daripadanya adalah bersama Busquets dengan kedua-dua pemain ini cemerlang mengemudi bahagian tengah skuad Catalan.

Xavi dan Sergio Busquets. Imej : Getty

Tahun 2009 merupakan tahun paling cemerlang dalam sejarah pembentukan Barcelona. Di bawah kendalian Pep Guardiola, mereka berjaya menjadi pasukan pertama Eropah memenangi 6 piala dalam masa setahun. Corak permainan ‘Tiki-Taka’ yang diterapkan Guardiola menjadi buah mulut seluruh dunia dan menjadi ikutan pasukan-pasukan lain.

Gandingan Xavi-Busquets juga cemerlang dalam peringkat antarabangsa. Mereka adalah sebahagian dari skuad generasi emas Sepanyol yang mendominasi arena antarabangsa dari tahun 2008 sehingga 2012. Dalam tempoh tersebut, Sepanyol berjaya merangkul 1 Piala Dunia dan 2 Kejuaraan Eropah.

Kini bermain bersama kelab Al Sadd SC di Qatar, Xavi amat berterima kasih kepada bekas gandingannya itu kerana menjadikan beliau pemain yang lebih lengkap.

“Mereka yang menonton dari jauh mungkin tidak menghargai dan melihat apa yang Busi [Busquets] lakukan di atas padang. Tetapi pemain yang pernah bermain dengan beliau pasti tahu Busi adalah seorang pemain yang unik.”

“Busi menjadikan pemain sekelilingnya menjadi lebih bagus termasuklah saya. Kenapa ? Sebabnya mudah. Apabila bermain bersama Busi, saya akan kerap menerima bola.”

Detik bahagia bersama, Imej : Reuters

Xavi kini telah memasuki fasa terakhir kariernya sebagai pemain bolasepak profesional. Pemain berusia 37 tahun ini turut memberitahu Busquets adalah seorang pemain bolasepak yang pintar kerana kemahiran beliau membaca permainan dan kepekaan terhadap apa yang berlaku di atas padang.

“Apabila pengurus membacakan senarai pemain yang akan turun bermain, perkara pertama yang akan saya lakukan adalah mencari nama Busquets. Walaupun ketika saya tidak bermain, jika Busi berada dalam kesebelasan utama, saya boleh duduk dengan tenang. Kehadiran Busquets di atas padang menjanjikan kawalan padang yang bagus.”

“Busquets mampu meramal apa yang bakal berlaku di atas padang dan beliau juga kerap memotong hantaran pihak lawan. Kehadiran Busi di atas padang menjadikan rakan sepasukannya bermain tanpa rasa takut.”

“Dalam bilik persalinan, beliau juga adalah seorang pemimpin, memiliki personaliti yang bagus dan tahu bila untuk berjenaka atau serius. Senang cerita, Busi adalah seorang pemain yang amat profesional.”

Xavi turut pernah mengeluarkan kenyataan pada 2015 yang beliau melihat Busquets bakal mengetuai pasukan Barcelona untuk 10 tahun yang akan datang.

“Busquets adalah rakan baik saya di luar dan dalam padang. Saya percaya beliau adalah pengganti paling sesuai untuk kekosongan yang ditinggalkan saya dalam pasukan. Beliau telah ditakdirkan untuk menjadi ketua Barcelona untuk sedekad yang akan datang, tanpa ragu-ragu lagi.”

Sergio Busquets belum pernah beraksi dengan mana-mana pasukan selain dari Barcelona dan telah melakukan 440 penampilan setakat ini bersama Los Cules pada usia 29 tahun.

Pemain paling senior dalam skuad, Andres Iniesta kini menggalas tanggungjawab sebagai kapten pasukan dan Busquet bersama Lionel Messi dan Javier Mascherano berkongsi tugas menggalas tanggungjawab sebagai pembantu kapten pasukan.

Barcelona kini mendahului carta La Liga setelah berjaya memenangi kesemua 7 perlawanan mereka setakat ini. Seteru utama mereka, Real Madrid berada di tangga ke-5 dan ketinggalan 7 mata di belakang Barcelona.

Penulis

Artikel ini ditulis oleh Izzuddin Ismail untuk disiarkan di thesukan.com

Baca Juga

Baca Juga