Bekas kapten Barcelona, Xavi berkata beliau belum bersedia untuk melatih skuad Los Cules lagi dan menggesa pihak yang mahu melihat beliau menjadi pengurus supaya lebih bersabar.
Xavi atau nama sebenarnya, Xavier Hernández Creus dicanang bakal mengikut jejak langkah Pep Guardiola dengan mengambil alih tampuk pengurusan Barcelona dan membawa kembali corak ‘Tiki-Taka’ yang sinonim dengan beliau ketika masih lagi bermain di Nou Camp.
Walaupun sudah mencecah usia 38 tahun, Xavi masih lagi bermain bola sepak secara profesional dan kini mewakili Al-Sadd SC yang berpengkalan di Qatar sejak 2015 lagi. Pada masa yang sama, Xavi juga sudah merancang masa depannya dengan mengambil sijil kejurulatihan bagi mempersiapkan diri dengan karier baru selepas bersara.
Xavi turut berkata beliau masih lagi belum menamatkan kursus jurulatih yang sedang diambilnya. Ia juga mungkin sebab utama mengapa Xavi mengambil keputusan untuk menangguhkan persaraannya dari bola sepak profesional pada penghujung musim 2017/2018.
“Sekarang saya boleh melatih pasukan di negara yang lebih kecil, tetapi pada tahun hadapan sekitar Mei, saya berharap untuk mengambil Lesen Pro UEFA bagi membolehkan saya melatih mana-mana pasukan.”
Sejak muda lagi, Xavi telah ditekan dengan pelbagai jangkaan dan salah satunya adalah dibandingkan dengan bekas kapten Barcelona yang kini menguruskan Manchester City, Pep Guardiola. Pep kini dianggap sebagai antara pengurus terbaik dunia dan banyak pihak mahu melihat Xavi mengikut jejak langkah yang sama.
“Sebagai pemain, perkara sama yang berlaku dimana peminat mahu sesuatu yang menakjubkan datang dari saya walaupun saya masih belum bersedia. Antaranya adalah ketika peminat melihat saya sebagai ‘New Guardiola’ tetapi saya tidak melihat sebarang persamaan antara saya dengan Pep.”
“Sekarang perkara sama juga yang berlaku. Saya masih lagi belum melihat diri saya sebagai jurulatih yang lengkap. Mereka perlu lebih sabar.”
Sejak meninggalkan kelab kesayangan itu, Xavi mendedahkan beliau mempunyai lebih banyak masa untuk merehatkan minda dan fokus terhadap perkara lain selain dari bola sepak.
“Sebelum ini, saya hanya mahu bersaing. Saya juga sentiasa berada dalam tekanan dan tegang. Sekarang, saya lebih relaks dan ia sesuatu yang bagus buat diri saya.”
“Saya tidak gemar untuk menjadi protagonis [watak utama], tetapi apabila anda bermain untuk Barcelona, anda perlu menjadi protagonis.”
“Sekarang saya mempunyai lebih banyak masa untuk perkara yang saya tidak pernah lakukan sejak berumur 16 tahun. Saya sentiasa berada dalam keadaan yang tegang sejak bertahun lamanya.”