Yasuhiko Okudera : Individu Yang Mengubah Bola Sepak Asia Dan Jepun

Beliau bukanlah yang pertama ke Eropah memandangkan Mohammed Salim (India) yang sudah terlebih dahulu tiba di Eropah dan bermain untuk salah sebuah pasukan Old Firm Derby, Celtic pada 1930-an.

Namun, beliau adalah insan yang bertanggungjawab memajukan bola sepak Asia, terutamanya Jepun!

Siapakah beliau ketika itu? Presiden kelab terkemuka? ‘Taikun’ bola sepak? Duta iklan makanan kucing? Bukan, dia hanya seorang pemain bola separuh masa sahaja ketika itu namun impaknya mampu membuatkan Asia menjadi kuasa bola sepak dunia pada hari ini!

Siapa sangka seorang pekerja biasa mampu jadi bintang Asia?

Namanya agak asing bagi penduduk di luar Jepun namun kisahnya mampu menjadi tauladan buat semua pemain bola sepak. Okudera berasal daripada Kazuno, Akita dan memulakan karier bola sepaknya di sebuah kilang elektrik, Furukuwa Electric sebagai pekerja di sana.

Furukuwa Electric SC (Kini : JEF United Ichihara Chiba) merupakan salah satu kelab ternama ketika itu di Liga Bolasepak Jepun.

Pemain Separuh Masa Kepada Pemain Professional Pertama Asia

Sepanjang keberadaannya bersama Furukuwa Electric SC, dia bermain di bahagian sayap dan berjaya menjaringkan 36 gol daripada 100 penampilan bersama kelabnya itu. Hendak dijadikan cerita, dia terpilih untuk ikut bersama ke Jerman bersama pasukannya pada musim panas 1977.

Sewaktu di Jerman, bakatnya berjaya dikesan oleh Hennes Weisweiler, jurulatih 1. FC Koln. Al-maklumlah, dengan kakinya yang menawan dan matanya yang sepet, siapa yang tidak tertawan? Jadi, Okudera pun menyertai 1. FC Koln secara professional pada Julai 1977 dan melakukan debut pada 5 Oktober 1977, menjadi pemain Jepun pertama untuk bermain dengan pasukan terkemuka di Eropah.

Baru masuk jadi geng, dah juara! Malaysia?

Semasa di Koln, Okudera berjaya menjaringkan 15 gol dalam 75 penampilannya dan berjaya menjulang Koln memenangi kejuaraan Bundesliga pada musim pertamanya. Paling manis, dia menjadi pemain Asia pertama yang menjaringkan gol dalam Piala Eropah (kini : Liga Juara-Juara Eropah), menentang Nottingham Forest di peringkat separuh akhir pada 1979.

Selepas Weisweiler meninggalkan Cologne semasa musim 80’/81’, Okudera menyertai kelab divisyen kedua Hertha Berlin. Malangnya, Hertha gagal untuk naik ke 1. Bundesliga setelah tewas kepada Werder Bremen dalam perlawanan penentuan. Rekod Okudera pada musim itu ialah 8 gol dalam 25 perlawanan.

Okudera & Rehhagel : Posisi Baru + Bola Sepak Moden

Okudera kemudian ditawarkan kontrak untuk bersama kelab yang baru sahaja dipromosikan, Werder Bremen pada musim berikutnya setelah berjaya memikat Otto Rehhagel semasa kedua-dua pasukan mereka bertemu. Bersama Rehhagel, Okudera bermain sebagai bek sisi menyerang berbanding sebagai sayap pada perlawanan sebelum ini.

Alahai, setakat pertahanan Dortmund, sekelip mata je aku geleklah!

Di Werder Bremen, mereka berjaya menamatkan liga di tangga kedua tiga kali berturut-turut (81’/82’ – 85’/86’) dan Okudera berjaya menjaringkan 11 gol daripada 159 penampilan biarpun bermain sebagai bek sisi. Pada musim panas 1986, Okudera pulang ke Jepun.

Di Jepun, beliau kembali ke pangkuan Furukuwa Electric dan menjadi pemain professional pertama yang terkemuka di Liga Bolasepak Jepun (JSL). Beliau akhirnya bersara pada 1988 dengan rekod keseluruhan beliau, 73 gol daripada 402 penampilan (termasuklah 26 gol daripada 234 penampilannya di Jerman).

Okudera & Zaman Professionalism Bola Sepak Jepun

Namun, kisah hebatnya tidak berhenti di situ! Seperti Hitler dan Gandhi, Okudera pulang ke Jepun dengan harapan untuk mengubah bola sepak Jepun menjadi lebih professional. Pada 1993, beliau menjadi presiden kepada kelab J1 League, JEF United Chiba dan berjaya memperoleh kejayaan segera.

Muka macam ini yang kita cari; berwawasan dan berdedikasi… Kau apa tau?

Pada 1998 pula, beliau dan rakan sepasukannya semasa di Koln, Pierre Littbarski mengangkat semula kehebatan Yokohama FC daripada liga bawahan hingga ke J1 League pada Disember 2006. Jun 2008 pula menyaksikan dia menjadi presiden + duta kepada Plymouth Argyle untuk memperkukuhkan jenama mereka di Asia. Kini, Okudera kekal sebagai presiden Yokohama FC!

Kisah beliau harus dijadikan teladan buat pemain bola sepak Malaysia. Bukan hanya sekadar tahu tunjuk kereta mewah dan tidur dengan trofi, pemain bola sepak Malaysia haruslah membawa sesuatu kelainan (baca : professionalism) daripada luar negara dan aplikasikannya ke dalam liga kita. Diharapkan tiada lagi kes pulang ke Malaysia atas dasar tidak jumpa bantal busuk atau tidak ada mi segera di negara orang!

BACA:  Larian Rudiger Menganjing Pemain Jepun Memakan Diri