Young Yakin Rashford Bakal Tonjolkan Potensi Sebenar Di Piala Dunia

Pemain pertahanan Manchester United, Ashley Young percaya rakan sepasukannya di Old Trafford, Marcus Rashford akan mempamerkan prestasi sebenar beliau apabila beraksi untuk England di Piala Dunia bulan hadapan.

Rashford merupakan salah seorang daripada 5 penyerang yang dipilih jurulatih England, Gareth Southgate untuk terbang ke Russia bagi menggalas misi penting untuk negaranya.

Young percaya Piala Dunia 2018 bakal menjadi pentas buat Rashford untuk menyerlah

Walaupun telah lama berada dalam skuad kebangsaan, Rashford masih lagi seorang pemain yang muda dan baru sahaja menginjak usia 20 tahun. Bos England sebelum ini, Roy Hodgson merupakan individu yang bertanggungjawab membentuk karier antarabangsa Rashford apabila memilih beliau dalam skuad England yang beraksi di Euro 2016.

Rashford menjadi pemain termuda beraksi di kejohanan tersebut pada usia 18 tahun 229 hari apabila masuk sebagai pemain gantian ketika England mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Wales dalam peringkat kumpulan.

Rakan sepasukan Rashford, Ashley Young percaya pemain muda tersebut kini sudah bersedia untuk memberikan impak di peringkat antarabangsa sekaligus membantu England mara lebih jauh dalam Piala Dunia kali ini.

2 gol dari 17 penampilan bersama England. Masih lagi tumpul

“Saya rasa Rashford sudah cukup bersedia untuk menghadapi Piala Dunia kerana beliau seorang pemain yang merendah diri dan mahu belajar perkara baru setiap hari.”

“Beliau merupakan salah seorang pemain yang mana pengurus terpaksa panggil supaya ‘masuk ke dalam’ (berhenti berlatih) kerana beliau mahu terus menjalani latihan dan bermain tanpa henti.”

“Sejak kali pertama saya melihat beliau beraksi untuk skuad remaja, saya tahu Rashford memiliki masa depan yang amat cerah. Beliau merupakan pemain yang fantastik dan sekiranya beliau berterusan melakukan perkara yang beliau lakukan sekarang, beliau akan menjadi pemain berkelas dunia.”

“Piala Dunia merupakan pentas terbaik untuk Rashford menunjukkan betapa jauhnya beliau telah ‘pergi’ ke hadapan sejak melakukan debut tidak lama dahulu.”

“Jika anda lihat pada jaringan Rashford ketika melakukan debut untuk kelab dan negara, ia menunjukkan Rashford adalah seorang pemain yang akan menyinar dalam perlawanan besar.”

“Beliau mampu menjaringkan gol. Rashford merupakan pemain yang fantastik buat Manchester United dan hampir pasti bakal menjadi pemain penting buat England di Piala Dunia nanti.”

Walau bagaimanapun, Rashford bergelut untuk mendapat waktu permainan yang konsisten di bawah Jose Mourinho musim ini. Terdapat kerisauan berkenaan perkembangan Rashford sebagai seorang pemain akan terbantut kerana situasi tersebut.

Listen, Listen, Listen.. Don’t listen to what haters are saying. You’re top player !

Young bagaimanapun tidak bersetuju dengan pendapat tersebut kerana setiap pemain memerlukan persaingan untuk menjadi lebih baik.

“Kami berada di sini untuk bercakap mengenai England dan bukan berkenaan Manchester United. Saya sentiasa berkata Marcus Rashford merupakan pemain yang fantastik dan sudah pasti setiap pemain mahu beraksi setiap minggu.”

“Sama ada pemain tersebut berada di usia Rashford atau di usia saya, semua pemain mahu beraksi. Anda harus mnerima hakikat persaingan untuk merebut tempat dalam pasukan akan berlaku di kelab-kelab terkemuka, termasuk juga di England.”

BACA:  Pochettino: Piala FA Sahaja Tidak Akan Bawa Tottenham Ke Mana-Mana