Yusri Che Lah Letak Jawatan Sebagai Jurulatih Perlis

Kangar: Pengendali pasukan bola sepak Perlis, Yusri Che Lah yang berjaya membawa pasukan itu layak ke saingan Liga Perdana 2016 meletakkan jawatannya sebagai jurulatih pasukan itu secara rasmi berkuatkuasa hari ini.

Berita perletakan jawatannya itu tersebar meluas di laman sosial Facebook Kelab Penyokong Perlis Singa Utara dan Bola Sepak Perlis 2015.

Perkara itu disahkan oleh pengendali berusia 41 tahun dari Kangar itu sendiri yang menyifatkan keputusan meninggalkan skuad Singa Utara itu dibuat dari dirinya sendiri dan bukan atas desakan pihak lain termasuk pengurusan negeri.

Yusri yang dihubungi Harian Metro menjelaskan bahawa keputusannya itu sudah lama di buat namun tugasannya untuk membawa kembali pasukan Perlis kembali ke Liga Perdana harus diutamakan terlebih dahulu.

“Betul, saya sudah pun menyerahkan surat perletakan jawatan saya di pejabat Persatuan Bolasepak Negeri Perlis (PFA) di Kangar dan keputusan ini perlu saya lakukan secara awal kerana saya tidak mahu menjejaskan persiapan pasukan itu jika keputusan itu dibuat pada saat akhir,” katanya.

Tanpa mahu menjelaskan dengan lebih lanjut sebab disebalik perletakkan jawatannya itu, dia menegaskan dia tidak mempunyai masalah dengan pengurusan PFA malah berterima kasih dengan pengurusan negeri itu yang memberi ruang kepada dirinya untuk mengendalikan skuad Perlis.

Yusri yang membimbing skuad Singa Utara dalam saingan Liga FAM 2015 lalu berjaya membawa pasukan itu layak ke saingan liga Perdana musim hadapan.

Malah, kejayaan pasukan Perlis itu juga lebih manis apabila mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan kumpulan liga itu ditambah dengan skuad yang dibarisi rata-ratanya pemain muda tempatan negeri itu.

Baca Juga

Baca Juga