Zidane Jelaskan Lagi Sekali Mengapa Tiada ‘Guard of Honour’ Untuk Barcelona Menjelang El-Clasico

Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane berkata pasukannya tidak akan memberikan ‘Guard of Honour’ kepada Barcelona yang baru sahaja ditabalkan sebagai juara La Liga musim ini kerana mereka tidak melakukan perkara tersebut kepada Real Madrid selepas menjuarai Piala Kelab Dunia pada awal musim ini.

Barcelona yang dibimbing oleh Ernesto Valverde masih lagi belum merasai kekalahan musim ini, dan sekiranya mereka berjaya mengelak dari tewas di tangan Real Madrid malam ini, besar kemungkinan mereka akan menamatkan musim tanpa sebarang kekalahan.

Zidane masih tidak dapat lupakan apa yang Barcelona lakukan kepada mereka tahun lepas

Terdahulu, Barcelona berjaya mengesahkan status mereka sebagai juara La Liga musim ini selepas menewaskan Deportivo La Coruna 4-2 di tempat lawan. Kejuaraan kali ini juga merupakan kejuaraan La Liga ke-7 mereka dalam 10 musim yang terakhir.

Menjelang pertembungan El-Clasico malam ini, topik perbualan yang hangat diperkatakan adalah sama ada Real Madrid akan memberikan penghormatan kepada sang juara walaupun mereka tidak menerimanya dari Barcelona Disember tahun lalu selepas menjuarai Piala Kelab Dunia.

Pemain pertahanan Sepanyol dan Barcelona, Jordi Alba percaya Los Blancos harus mengekalkan tradisi memberikan ‘Guard of Honour’ atau dalam bahasa Sepanyol ‘pasillo’ kepada pasukan yang telah memenangi liga sebelum bermulanya perlawanan.

Walaubagaimanapun, pengurus Real Madrid Zinedine Zidane menolak permintaan Alba dan tidak akan meneruskan tradisi tersebut berpunca dari tindakan Barcelona sendiri yang tidak melakukan perkara yang sama terhadap pasukannya.

Kita tidak akan menyaksikan ‘pasillo’ malam ini

“Bukan saya yang bertanggungjawab menentukan sama ada ‘pasilla’ akan dilakukan atau tidak. Jadi sekarang saya akan menerangkan lebih lanjut mengenai situasi ini. Selepas kami menjuarai Piala Kelab Dunia, saya faham tidak penting buat Barcelona untuk memberikan ‘Guard of Honour’ kepada kami.”

“Sesetengah pihak berkata Barcelona tidak perlu melakukannya kerana mereka tidak terlibat dalam pertandingan tersebut, tetapi itu tidak betul. Anda perlu memenangi Liga Juara-Juara terlebih dahulu untuk beraksi dalam Piala Kelab Dunia dan mereka juga terlibat sama dalam pertandingan tersebut.”

“Jadi Barcelona mengambil keputusan untuk tidak melakukannya. Kami hormat dengan apa yang Barcelona telah kecapi musim ini kerana perkara paling sukar bagi saya adalah untuk memenangi La Liga. Saya ingin mengucapkan tahniah atas pencapaian tersebut.”

Banyak cantik ko Alba nak suruh orang berbaris. Ko sendiri xnak berbaris aritu

“Andai kata Barcelona melakukan ‘pasillo’ kepada Real Madrid sebelum ini, sudah tentu kami akan melakukan perkara yang sama kali ini. Saya tidak memecahkan mana-mana tradisi tetapi saya tidak akan melakukan perkara yang mereka tidak lakukan sama sekali.”

Los Blancos kini menghuni tangga ke-3 liga, ketinggalan 15 mata di belakang Barcelona dan 4 mata di belakang Atletico Madrid tetapi memiliki kelebihan satu perlawanan terhadap pasukan seteru setempat tersebut.

BACA:  Pemain Barcelona Rasa Dikhianati Selepas Dembele Bertegas Mahu Sertai PSG