Zidane & Lampard Disenarai Pendek Chelsea Untuk Gantikan Tempat Sarri

Bekas pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane dikenal pasti sebagai calon utama untuk menggantikan tempat Maurizio Sarri selepas perbincangan dalaman diadakan pihak atasan Chelsea untuk mengatasi masalah prestasi buruk yang membelenggu pasukan itu ketika ini.

Selain Zidane, ikon The Blues yang kini menguruskan Derby County, Frank Lampard turut disenarai pendek sebagai calon utama untuk bergelar pengurus Chelsea yang seterusnya.

Adakah lagenda ini akan kembali ke Stamford Bridge ?

Menurut sumber Sky Sports, Chelsea dilaporkan sangat risau dengan keputusan yang diperolehi anak buah Sarri sejak kebelakangan ini dan merasakan perlu membuat sesuatu sebelum keadaa menjadi lebih parah.

Terbaru, kekalahan di tangan Manchester United dalam saingan pusingan ke-5 Piala FA di tempat sendiri menyebabkan Sarri dikritik teruk sehingga beliau diejek penyokong sendiri ketika perlawanan sedang berlangsung.

Melihat kepada reaksi kurang senang penyokong Chelsea terhadap Sarri ketika menentang United tempoh hari, pihak atasan Chelsea merasakan sesuatu perlu dilakukan bagi memperbaiki atmosfera pasukan.

Jika mereka gagal membawa masuk Zidane atau Lampard ke Stamford Bridge, Chelsea dilaporkan telah merangka pelan ‘backup’ iaitu melantik penolong pengurus ketika ini, Gianfranco Zola sebagai pengurus sementara sehingga hujung musim ini.

Zidane masih lagi single dan available

Sejak meninggalkan Real Madrid pada hujung musim lepas, Zidane masih lagi berehat dari arena bola sepak selepas membantu Los Blancos memenangi Liga Juara-Juara Eropah buat kali ke-3 berturut-turut.

Bagi Lampard pula, beliau baru sahaja memulakan karier pengurusannya dengan menyertai Derby pada awal musim ini. Lampard dilihat berada dalam landasan terbaik untuk bergelar pengurus yang hebat kerana Derby hanya 2 mata di belakang pasukan menghuni slot play-off yang terakhir.

Sebelum kekalahan di tangan United, Sarri mengalami kekalahan memalukan kepada Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris dimana mereka tumpas 6-0. Ia merupakan kekalahan paling berat buat Chelsea dalam tempoh 28 tahun.

Namun begitu, Sarri tidak pernah risau dengan kemungkinan dirinya dipecat.

“Tidak, saya pernah risau dengan jawatan ketika saya menguruskan pasukan di Serie B Itali. Tetapi sekarang, saya tidak risau.”

“Itu bukan masalah saya. Masalah saya adalah bagaimana untuk bekerjasama dengan pemain untuk memperbaiki pasukan dalam masa beberapa hari ini dan mencari keazaman dan aggresif dalam pasukan ini.”

Menunggu masa untuk dipecat Abramovic

“Saya cuma risau dengan keputusan perlawanan, bukan desakan penyokong. Saya boleh faham kekecewaan peminat. Keputusan ini tidak cukup bagus. Kini kami tersingkir dari Piala FA.”

Penyokong Chelsea dapat didengar ‘mengejek’ pertukaran pemain yang dilakukan Sarri ketika menentang United, dan Sarri berkongsi kekecewaan yang sama seperti peminat dengan apa yang dilihatnya di atas padang.

“Kami bermain bola sepak yang mengelirukan pada separuh masa kedua tetapi pada separuh masa pertama, saya rasa kami bermain dengan baik.”

BACA:  5 Hal Yang Chelsea Tak Boleh Lakukan Sepanjang Tempoh Kelab Dibekukan