Zidane Puji Tindakan Ronaldo Lepaskan Penalti Kepada Benzema

Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane memuji tindakan Cristiano Ronaldo melepaskan peluang untuk menjaringkan hatrik apabila beliau membiarkan Karim Benzema mengambil sepakan penalti pada lewat permainan ketika perlawanan menentang Alaves semalam.

Kemenangan berpihak kepada Real Madrid dengan jaringan 4-0. Ronaldo berjaya menjaringkan dua gol dalam setiap separuh masa disusuli dengan satu jaringan daripada Gareth Bale.

Benzema mengambil penalti. Perkara yang jarang anda dapat lihat, sama seperti gerhana matahari

Ronaldo berpeluang untuk mencatatkan hatrik ke-50 kariernya selepas pengadil menghadiahkan penalti kepada Real Madrid pada lewat permainan selepas Bale dijatuhkan dalam kotak penalti.

Walaubagaimanapun, Ronaldo melakukan perkara yang tidak pernah dilihat sebelum ini dengan membiarkan Benzema mengambilnya dan bekas pemain antarabangsa Perancis ini tenang menyudahkan sepakan tersebut.

Benzema sering menjadi bahan kritikan penyokong Real Madrid musim ini kerana gagal menjaringkan gol dengan kerap dan dianggap salah satu punca mengapa pasukan tersebut beraksi buruk dalam liga. Benzema hanya mampu menjaringkan 3 gol selepas 25 perlawanan liga.

Tahniah Ronaldo. Anda bukan lagi Penaldo

Tindakan terpuji Ronaldo itu telah menggembirakan pengurus Real Madrid dan Zidane berkata gol Benzema itu akan mengurangkan sedikit tekanan yang dihadapi  pemain tersebut ketika ini.

“Saya sangat gembira dengan tindakan Ronaldo kepada Benzema. Ia sangat penting bagi saya. Bolasepak adalah sukan yang dimainkan secara berpasukan dan tindakan Ronaldo adalah perkara yang baik. Benzema berhak menjaringkan gol kerana beliau beraksi baik dalam perlawanan tersebut.”

“Benzema bermain dengan tekanan ke atasnya, tetapi beliau sudah biasa dengan perkara tersebut. Perkara yang paling penting adalah suasana bilik persalinan. Kami menghadapi masa yang sukar sebelum ini tetapi bilik persalinan ini adalah yang terbaik.”

“Tindakan Ronaldo itu sangat bagus. Ia menunjukkan terdapat semangat yang baik di antara mereka berdua dan keseluruhan pasukan.”

Ronaldo menyimpan hatrik ke-50 untuk perlawanan di Paris nanti

Seorang lagi pemain Real Madrid yang turut dikritik musim ini adalah Gareth Bale. Tetapi semalam beliau berjaya membuktikan jika bebas daripada sebarang kecederaan, beliau adalah pemain berkelas dunia dan setaraf dengan Ronaldo. Zidane juga gembira dengan persembahan yang ditunjukkan Bale pada malam tadi.

“Itu adalah persembahan yang kami mahu lihat dari para pemain. Beliau menunjukkan permainan yang baik dan juga beliau beraksi selama 90 minit.”

“Bale bermain di sebelah kiri padang, posisi yang beliau sudah lama tidak main. Pergerakan beliau sangat bagus. Bolasepak adalah permainan yang dimainkan secara berpasukan dan mereka telah bermain dengan sangat baik.”

BACA:  Tanpa Ronaldo Portugal Cemerlang dan Mudah Ke Suku Akhir