Zidane Tidak Akan Tukar Cristiano Ronaldo Dengan Mohamed Salah

Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane berkata beliau tidak akan menukar Cristiano Ronaldo dengan pemain sensasi Liverpool, Mohamed Salah jika diberi peluang untuk melakukannya.

Mohamed Salah mengharungi musim yang cemerlang bersama Liverpool sejak menyertai kelab tersebut dari AS Roma pada musim panas lalu.

Salah berjaya menamatkan musim sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris dengan 32 gol disamping memenangi pelbagai anugerah individu seperti Pemain Terbaik Tahunan PFA.

Tiada siapa boleh ganti tempat Ronaldo, walaupun Salah.

Prestasi menakjubkan yang ditonjolkan pemain antarabangsa Egypt itu telah menarik minat beberapa kelab besar Eropah seperti Real Madrid untuk cuba mendapatkan khidmatnya pada jendela perpindahan yang akan dibuka tidak lama lagi.

Sesetengah pihak mula membandingkan Salah dengan dua pemain terbaik dunia ketika ini, Cristinao Ronaldo dan Lionel Messi yang masing-masing telah memenangi 5 anugerah Ballon d’Or.

Dengan Liverpool dan Real Madrid bakal bertembung dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah hujung minggu ini.

Peminat bolasepak dapat menyaksikan pertembungan menarik di antara dua pemain terkemuka dunia ketika ini iaitu Cristiano Ronaldo dan Mohamed Salah.

Kedua-dua pemain boleh dianggap sebagai pemain paling bernilai bagi pasukan masing-masing dan bakal menggalas peranan penting dalam perlawanan akhir tersebut.

44 gol dalam semua pertandingan pada usia 33 tahun. Menakjubkan

Salah memenangi anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris musim ini selepas menjaringkan 32 gol dalam saingan liga dan 44 gol dalam semua pertandingan.

Persembahan cemerlang yang dipamerkan Salah telah menimbulkan spekulasi Real Madrid bersedia untuk memecahkan rekod dunia bagi membawa masuk Salah ke Santiago Bernabeu.

Dalam satu temuramah menjelang perlawanan akhir Liga Juara-Juara, Zidane telah ditanya soalan sama ada beliau mahu menukar Ronaldo dengan Salah jika diberikan peluang.

“Tidak. Saya sudah mempunyai Cristiano Ronaldo dan saya hanya akan bercakap mengenai pemain saya sahaja.”

Ronaldo merupakan penjaring terbanyak dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah musim ini dimana beliau telah menemui jaring sebanyak 15 kali.

Walaupun umurnya semakin meningkat, Ronaldo masih mampu menjaringkan 42 gol dalam semua pertandingan musim ini.

Kapten Portugal itu berada dalam prestasi terbaik untuk membantu Los Blancos memenangi Liga Juara-Juara buat kali ke-3 berturut-turut manakala Liverpool pula dalam misi untuk memenangi trofi tersebut sejak tahun 2005.

Bakal pemain Real Madrid.

“Saya tidak boleh bercerita mengenai lawan kami [Liverpool]. Saya tidak berapa mengenali pasukan mereka.” Ujar Zidane ketika diminta mengulas mengenai Liverpool.

“Apa yang boleh saya katakan adalah kami masih mempunyai keinginan yang sama untuk memenangi kejohanan tersebut. Inilah Real Madrid. Kami mempunyai semangat, keinginan dan dedikasi yang sama seperti musim-musim sebelumnya.”

“Tiada pihak yang boleh menafikan perkara tersebut mengenai pasukan ini. Tiada siapa boleh cakap kami tidak lagi dahagakan kejayaan. Kami adalah Real Madrid dan ia berada dalam darah daging kelab ini.”

“Kami sentiasa mahu memenangi lebih banyak trofi dan kami akan cuba melakukan yang terbaik dan memberikan segala yang kami ada untuk memenangi trofi tersebut sekali lagi.”

BACA:  Zinedine Zidane Dedah Punca Beliau Letak Jawatan