Zidane Tidak Pasti Berapa Lama Dapat Bertahan di Real Madrid

Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane berkata beliau tidak dapat menjangka masa depannya di Real Madrid sambil mengakui segalanya boleh berlaku apabila berada di kerusi pengurus di Santiago Bernabeau.

Real Madrid atau lebih dikenali sebagai Los Blancos dikenali sebagai pasukan yang sering bertukar pengurus dan mempunyai kesabaran yang rendah terhadap pengurus. Zidane mengakui perkara tersebut dan berkata ia bakal memberikan kesan kepada masa depannya di Sepanyol.

Zidane atau lebih dikenali sebagai Hai-O Perancis

Real Madrid mempunyai reputasi sering bertukar pengurus dan beberapa nama besar dalam bidang pengurusan bolasepak seperti Jose Mourinho dan Carlo Ancelotti tidak terlepas dari pemecatan.

Walaupun Mourinho dan Ancelotti berjaya membawa kejayaan kepada kelab, mereka ini pantas ditunjukkan jalan keluar apabila keputusan di atas padang tidak menyebelahi mereka.

Real Madrid pada masa sekarang sedang ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu liga, Barcelona walaupun mereka masih mempunyai 1 perlawanan dalam tangan.

Jaringan yang diingati peminat Real Madrid sehingga ke hari ini

Sebelum cuti musim sejuk, mereka telah dimalukan Barcelona di gelanggang mereka sendiri dengan kekalahan 3-0.

Walaupun prestasi liga Real Madrid amat mengecewakan, mereka masih lagi berada dalam kedudukan yang kuat untuk mengekalkan trofi Liga Juara-Juara yang dimenangi musim lepas selepas mengesahkan tempat ke pusingan kalah mata musim ini.

Lawan mereka selepas ini adalah pasukan yang sedang meningkat naik dalam arena bolasepak Eropah iaitu Paris Saint-Germain yang memasang impian untuk menjuarai Liga Juara-Juara musim ini.

Zidane sedar pasukannya berdepan tugas getir untuk menjinakkan pasukan PSG yang dibarisi beberapa pemain ternama seperti Neymar, Edinson Cavani dan Kylian Mbappe.

Real Madrid dalam misi menjadi pasukan pertama memenangi Liga Juara-Juara buat 3 kali berturut-turut

Beliau percaya tempoh 6 bulan seterus ini adalah penting buat Real Madrid dan juga masa depan beliau sebagai pengurus pasukan. Apabila ditanya berapa lama beliau akan menguruskan Real Madrid, ini jawapan Zidane.

“Saya sedih. Di Real Madrid, anda tidak akan tahu berapa lama anda akan kekal. Saya akan cuba menghabiskan musim ini sebaik yang mungkin kerana kami mempunyai banyak peluang untuk sekali lagi memenangi trofi.”

“Peluang ini memberikan motivasi kepada saya dan seluruh pasukan. Saya tidak mampu meramal masa depan saya selepas 6 bulan dari sekarang.”

Madrid kini terkesan dengan kehilangan khidmat penyerang berpengaruh mereka, Karim Benzema yang mengalami kecederaan. Benzema terpaksa berehat hampir 3 minggu kerana masalah hamstring.

Walaupun Zidane terbuka untuk mencari pemain baru dalam tirai perpindahan Januari ini, beliau lebih suka untuk menggunakan pemain sedia ada.

“Kami boleh membeli pemain baru sehingga 31 Januari ini. Peluangnya ada dan apa sahaja boleh berlaku. Tetapi seperti saya pernah katakan sebelum ini, saya gembira dengan skuad yang ada. Saya yang membina skuad ini dan saya yang bertanggungjawab sepenuhnya.”

BACA:  Pengadil Perlawanan Akhir UCL 2018 Berpesta Selepas Kejayaan Real Madrid Tewaskan Liverpool