Zlatan Dedah Kisah Man Utd Rugi £5 Juta, Hanya Kerana Status Di Laman Twitter Miliknya

Zlatan Ibrahimovic dedahkan yang Ed Woodward pernah memberitahunya bahawa beliau telah merugikan kelab kerana membocorkan rahsia perpindahannya ke Old Trafford.

Setan merah pada ketika itu sudah menyediakan majlis yang agak besar untuk memperkenalkan Zlatan dengan pihak kelab mengeluarkan £5 juta untuk itu.

Malangnya, semua rancangan itu lebur dek kerana Zlatan Ibrahimovic terlebih dahulu membocorkan tentang perpindahan beliau ke Old Trafford, sebelum majlis itu bermula.

Pemain kebangsaan Sweden itu meninggalkan Paris Saint Germain pada tahun 2016 yang lalu, dan beliau kemudiannya telah melengkapkan perpindahan percuma menyertai Manchester United.

Ibrahimovic pada ketika itu menyertai semula bekas pengurusnya ketika bersama Inter Milan, Jose Mourinho di Old Trafford, dengan gabungan mereka berjaya membantu United memenangi gelaran Europa League.

Walau bagaimanapun, bintang AC Milan itu telah terlebih dahulu mengumumkan kepada dunia dengan menggunakan media sosial miliknya, untuk mendedahkan yang beliau akan tandatangani perjanjian bersama Man United.

“Masa untuk maklumkan kepada dunia. Destinasi seterusnya untuk saya adalah Man United.”

Tulis Atan di laman media sosial miliknya.

Media tempatan Sweden, Aftonbladet telah menerima petikan dari buku Zlatan, ‘Adrenaline: My Untold Stories,’ dengan bekas bintang United itu mendedahkan tentang kisah bagaimana beliau tersilap membocorkan perpindahannya ke Old Trafford.

Ibrahimovic mendakwa yang beliau telah membocorkan hal tersebut dengan memuat naik status di laman media sosial miliknya.

Beliau turut mendedahkan yang super-agent, Mino Raiola benar-benar bengang dengan beliau pada ketika itu kerana melakukan kesilapan yang sangat merugikan.

“Malah saya waktu itu berfikir untuk pergi ke laman instagram dan tulis, ‘Kelab saya seterusnya adalah Manchester United.”

Tulis Atan.

“Saya sangat bosan dengan rundingan itu hingga saya tak terfikir langsung yang Manchester United tersenarai dalam bursa saham.”

“Kamu tak akan buat pengumuman seperti itu jika rundingan itu tak jelas. Saya bocorkan semua sekali. Mino nak bunuh saya ketika itu.”

Ibrahimovic kemudiannya menambah lagi dengan menyatakan:

“Ia memang salah saya, Mino Raiola tak ada kaitan tentang itu. Saya terlalu gelojoh, itu saja. Saya rasa macam saya sedang ada dalam situasi bahaya yang cuba melakukan sesuatu untuk bantu saya, tanpa saya sedar kesan dari tindakan saya itu.”

“Jika rundingan itu gagal, maka biarlah, kita akan abaikan saja. Saya yang melakukan kesalahan itu. Saya minta maaf sekali lagi.”

Woodward yang sudah menyiapkan persiapan rapi untuk menyambut Zlatan pada ketika itu, merasa sangat tidak gembira dengan tindakan dari legenda Sweden itu.

Ibrahimovic turut mendakwa yang United pada ketika itu merancang untuk buat ‘musim istimewa’ dan mereka mahu menggunakan teknologi dan kesan-kesan dari Hollywood untuk memperkenalkan pemain.

Ketika ditanya tentang reaksi Woodward, Atan menyatakan bahawa:

“Kamu dah rosakkan rancangan PR bernilai £5 juta.”

“Mereka telah merancang kempen istimewa dan persembahan dengan kesan khas ala Hollywood. Dan saya merosakkan segala-galanya dengan kemas kini di media sosial.”

Ibrahimovic kemudiannya menyertai LA Galaxy sebelum kembali ke Milan dan beliau kini di usia 40 tahun masih lagi menjadi penyerang utama kelab.

Zlatan baru-baru ini turut tampil untuk mendedahkan tentang calon pemenang anugerah Ballon D’or pilihan beliau, dengan beliau merasakan Messi tak berhak untuk memenanginya pada tahun ini.

Calon pemenang anugerah Ballon D’or pilihan Zlatan

Isu pertikaian tentang siapa paling layak untuk memenangi anugerah Ballon D’or pada tahun ini masih hangat dibicarakan, walaupun Lionel Messi sudah sah dinobatkan sebagai pemenang.

Terbaru, Zlatan Ibrahimovic turut sama tampil untuk mendedahkan pandangan peribadi beliau, tentang siapa pemain paling layak untuk memenangi anugerah paling berprestij dalam dunia bola sepak itu.

Lionel Messi secara rasminya telah dinobatkan sebagai pemenang, selepas beliau menewaskan Robert Lewandowski dengan perbezaan mata yang sangat tipis.

Kejayaan itu mengukuhkan lagi kedudukan Messi sebagai pemain terhebat sepanjang zaman, dengan beliau kini memiliki tujuh anugerah Ballon D’or di atas namanya.

Pemain penyerang Paris Saint Germain itu menewaskan bintang Bayern Munich, Robert Lewandowski dengan perbezaan 33 mata sahaja secara keseluruhannya.

Walau bagaimanapun, keputusan untuk memberikan anugerah tersebut kepada Messi tidak diterima dengan baik oleh pelbagai pihak termasuk penyokong, pemain, bekas pemain dan pundit.

Pelbagai kritikan telah dilemparkan kepada Lionel Messi dan ramai juga yang menganggap beliau sebenarnya telah merompak anugerah tersebut dari Lewandowski.

Bahkan, bekas rakan sepasukan beliau, Zlatan Ibrahimovic sendiri turut percaya yang Lewandowski sepatutnya berhak untuk memenangi anugerah tersebut pada tahun ini.

Pemain penyerang AC Milan itu turut ditanya siapa yang beliau pilih antara Lionel Messi dengan Cristiano Ronaldo yang berada di kedudukan dalam senarai pemenang anugerah Ballon D’or pada tahun ini.

Berkait perdebatan antara Messi dan Ronaldo, beliau mendedahkan kepada French Football News bahawa:

“Kedua-dua mereka sebenarnya sangat-sangat bagus.”

“Tapi saya akan memilih Messi, kerana kami pernah beraksi bersama.”

Ketika ditanya tentang hubungan antara beliau dengan Messi, Atan menjawab:

“Kami ada hubungan yang profesional. Leo hidup untuk bola sepak.”

“Tapi Lewandowski berhak untuk memenangi anugerah Ballon D’or pada tahun ini.”

Zlatan Ibrahimovic atau lebih dikenali sebagai Atan itu bukanlah satu-satunya pemain yang tak percaya dengan keputusan Messi memenangi anugerah Ballon D’or pada tahun ini.

Bintang Real Madrid, Toni Kroos sendiri turut merasakan yang Messi tak berhak sama sekali untuk memenangi anugerah tersebut, dan merasakan Karim Benzema lebih layak untuk memenanginya.

Karim Benzema berada di kedudukan keempat dalam senarai ini, dengan beliau tewas kepada Lionel Messi, Robert Lewandowski dan Jorginho.

“Ia sangat jelas yang dia tak berhak.”

“Tiada sesiapa mampu meragui yang Messi dan Cristiano Ronaldo merupakan dua pemain terhebat sejak sedekad yang lalu, tapi pada tahun ini, sepatutnya ada orang lain yang lebih berhak.”

“Bagi saya, Karim sepatutnya berada di kedudukan pertama seandainya kamu benar-benar mencari pemain mana paling bersinar secara individu pada tahun lalu, kerana saya boleh nampak dari jarak lebih dekat dia memang sangat menakjubkan.”

Selain Toni Kroos, legenda Real Madrid, Iker Casillas sendiri turut percaya yang Lionel Messi tak berhak untuk memenangi anugerah itu.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Mantan Kapten MU Desak Lilitan Kapten Bruno Fernandes Ditarik Balik