Zlatan Ibrahimovic Di Julang Sebagai Wira Sweden

PARIS: Zlatan Ibrahimovic, bintang bola sepak yang menggelarkan dirinya sebagai seorang legenda sekali lagi menyelamatkan maruah Sweden dan di julang sebagai wira.

Sekali pun tidak menjaringkan gol bagi mencipta rekod di Kejohanan Eropah (Euro), pemain berusia 34 tahun itu membantu pasukan untuk untuk mengikat Republik Ireland 1-1 dalam perlawanan yang dikuasai penuh lawan.

Sweden ketinggalan sehingga minit ke-71 namun serangan yang dijana Ibrahimovic memaksa pertahanan Republik Ireland Ciaran Clark menanduk masuk gol ke gawang sendiri.

Meskipun persembahan kapten itu jauh ketinggalan dalam aksi terbaiknya di arena terbesar Euro 2016, rakan sepasukannya tetap mengerumuninya bagi meraikan jaringan berkenaan.

“Bagaimana saya membuatkan pemain pertahanan menjaringkan gol sendiri? Saya melakukan hantaran dan dia menanduk masuk gol itu,” kata Ibrahimovic yang menjawab dengan bersahaja ketika diajukan soalan berkaitan Clark sekiranya ia adalah satu magis Ibra sendiri.

“Adakah itu magis? Itu kamu perlu bertanya kepadanya.”

Ibrahimovic yang sedang mengintai rekod untuk muncul sebagai pemain pertama yang menjaringkan gol dalam empat Kejohanan Eropah berbeza itu bagaimanapun menemui kesulitan peluang di kedua-dua babak perlawanan.

“Kami memaksanya berada sejauh mungkin daripada gawang gol dan ia ternyata berkesan sebagai satu ancaman,” kata jurulatih Ireland, Martin O’Neill.

Ireland mendahului perlawanan Kumpulan E itu pada minit ke-48 menerusi Wes Hoolahan sebelum keputusan diikat jaringan sendiri Clark.

“Kredit buat Ireland, mereka sangat menonjol,” kata jurulatih Sweden Erik Hamren. “Kami tidak mencapai tahap yang saya inginkan.” – AP

Sumber : Berita Harian

BACA:  Jodoh Zlatan Bersama Manchester United Ke Penghujung?