Zlatan Ibrahimovic Menjaringkan Gol Sendiri Buat Pertama Kali Sepanjang Kariernya

Zlatan Ibrahimovic telah menjaringkan gol sendiri ketika beraksi bertemu Bologna awal pagi tadi, dan ia merupakan pertama kali dalam kariernya beliau melakukan hal tersebut.

Di usia 40 tahun, beraksi lebih dari 950 perlawanan, menjaringkan lebih dari 560 gol dan ini pertama kali Zlatan Ibrahimovic meledak gol ke gawang golnya sendiri.

Zlatan turun beraksi untuk AC Milan bertemu Bologna di halaman lawan awal pagi tadi, dalam usaha mereka untuk mendapatkan tiga mata penuh, seterusnya mendaki ke puncak saingan Serie A.

Bologna pula turun dengan misi yang lebih jelas, dengan mereka mahu menjadi pasukan pertama yang mampu untuk tewaskan AC Milan dalam saingan Serie A musim ini.

Milan terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Rafael Leao hasil umpanan cantik dari Zlatan Ibrahimovic pada minit ke-16 permainan.

Skuad kendalian Stefano Pioli itu kemudiannya berjaya menggandakan kedudukan pada minit ke-35 menerusi Davide Calabria.

Milan mendahului Bologna 2-0 pada aksi babak pertama permainan dengan pasukan lawan beraksi kurang seorang pemain selepas Adama Soumaoro dilayangkan kad merah pada minit ke-20 permainan.

Masuk aksi babak kedua permainan, walau beraksi kurang seorang pemain, Bologna tetap berjaya melakukan aksi comeback, dengan meledak dua gol untuk mengikat kedudukan menjadi 2-2.

Zlatan Ibrahimovic menjaringkan gol sendiri untuk ubah kedudukan menjadi 2-1, selepas beliau tertanduk masuk bola hasil dari sepakan penjuru milik Bologna.

Selepas legenda Sweden itu belanja satu gol, Bologna kembali bersemangat dan hasilnya mereka memperoleh satu lagi gol pada minit ke-52 hasil jaringan Musa Barrow.

Malang terus menimpa Bologna, dengan mereka yang baru comeback selepas beraksi kekurangan seorang pemain, pengadil perlawanan telah membuang seorang lagi pemain mereka pada minit ke-56 permainan.

Roberto Soriano dilayangkan dengan layangan kad merah dan menyebabkan Bologna terpaksa bermain dengan sembilan orang pemain, dengan kedudukan terikat 2-2.

Mereka mampu bertahan sehingga minit ke-84 untuk mengelak dari dibolosi lagi memandangkan mereka beraksi dengan sembilan orang pemain sahaja.

Ismael Bennacer berjaya menjaringkan gol ketiga untuk AC Milan pada minit ke-84 permainan untuk membantu pasukan pelawat kembali mendahului permainan.

Zlatan selepas menjaringkan gol sendiri dan menghidupkan semangat juang pasukan tuan rumah, beliau muncul sebagai wira pasukan pelawat dengan meledak gol keempat pada minit ke-90 permainan.

Pengadil perlawanan membunyikan wisel penamat, seterusnya mengesahkan kemenangan 4-2 untuk AC Milan menewaskan Bologna.

Skuad kendalian Stefano Pioli itu berjaya untuk memintas Napoli, seterusnya menduduki kedudukan pertama dalam carta saingan Serie A.

Hanya AC Milan dan Napoli sahaja dua pasukan dalam saingan Serie A yang masih belum mencatatkan sebarang kekalahan setakat ini.

BACA:  Zlatan Buli Lucas Dengan Pemain Lazio Lain Goyang Nak Campur