Zlatan Ibrahimovic Sah Jadi Pemain Los Angeles Galaxy

Bekas pemain Manchester United, Zlatan Ibrahimovic mengesahkan beliau bakal bermain di Major League Soccer (MLS) bersama Los Angeles Galaxy selepas dilepaskan Manchester United beberapa hari lalu.

Pemain berusia 36 tahun ini mencapai pesetujuan dengan Manchester United untuk melepaskan beliau dari kontraknya lebih awal bagi membolehkan beliau menyertai LA Galaxy. Ibrahimovic akhirnya mengakhiri kariernya yang penuh warna-warni dimana beliau berjaya memenangi kejuaraan liga bersama kelab yang diwakilinya kecuali dengan Manchester United.

Sah. Sah. Sah. Aku terima lamaranmu LA Galaxy dengan mas kahwin sekian sekian jutaa

Ibrahimovic mengalami kecederaan lutut yang serius pada musim lepas ketika beraksi dalam Europa League dan beliau terpaksa berehat beberapa bulan akibat kecederaan tersebut. Kontrak beliau tidak disambung pada penghujung musim tetapi beliau dibenarkan menjalani pemulihan bersama pasukan perubatan United.

Walaubagaimanapun, Ibrahimovic berjaya meyakinkan Mourinho untuk menawarkan kontrak lanjutan bersama United sehingga tamat musim ini selepas pulih sepenuhnya dari kecederaan serius tersebut.

Walaupun demikian, ketibaan Romelu Lukaku dari Everton musim panas lalu mengakibatkan peluang Ibrahimovic untuk mengetuai jentera serangan United menjadi lebih sukar. Beliau hanya diletakkan di bangku simpanan dan biasanya masuk pada separuh masa kedua.

Desas-desus perpindahan Ibrahimovic ke Amerka Syarikat akhirnya menjadi kenyataan apabila beliau mengeluarkan kenyataan rasmi dari laman sosial Instagram beliau. Los Angeles bakal menjadi destinasi beliau seterusnya, mengikut jejak langkah bekas pemain Real Madrid & Manchester United, David Beckham.

Kecederaan yang meragut karier Zlatan di Old Trafford

“Saya bersedia untuk bermain sekarang. Pertamanya, saya berada di sini kerana saya mahu bermain bolasepak. Saya tidak berada di sini untuk sebab yang lain. Objektif utama saya adalah untuk mendapatkan minit permainan dan melakukan perkara yang saya mampu lakukan dengan bagus.”

“Saya berasa gembira untuk bermain di sini dan merasai pengalaman bermain untuk LA Galaxy. Saya juga mahu menerokai pengalaman bermain bolasepak di Amerika Syarikat. Saya mahu menjadi sebahagian daripadanya dan menjadikan liga ini bertambah baik.”

“Selepas beraksi di Eropah dan memenangi 33 trofi, bermain untuk pasukan-pasukan hebat di dunia, disamping bekerjasama dengan pemain terbaik dunia, saya ingin berhijrah ke USA dan bermain bolasepak di sini.”

“Saya mahu peminat menikmati bolasepak yang bakal dipamerkan saya dan juga membantu pasukan memenangi sesuatu. Dan saya memilih LA Galaxy untuk merealisasikan matlamat tersebut.”

Ketibaan Ibrahimovic di LA Galaxy telah diumumkan dalam satu artikel terbitan LA Times pada hari ini, dimana berita tersebut menunjukkan pemain antarabangsa Sweden ini memperagakan jersi rasmi LA Galaxy.

Akhbar tersebut juga menampilkan mesej Ibrahimovic kepada LA Galaxy dalam satu muka surat penuh  yang mengandungi beberapa patah perkataan sahaja yang berbunyi:

“Dear Los Angeles, You are welcome.”

BACA:  Manchester United Teruskan Rentak Dengan 7 Kemenangan Berturut-Turut