Zlatan Namakan Pemain Paling Layak Memenangi Anugerah Ballon D’or 2021

Isu pertikaian tentang siapa paling layak untuk memenangi anugerah Ballon D’or pada tahun ini masih hangat dibicarakan, walaupun Lionel Messi sudah sah dinobatkan sebagai pemenang.

Terbaru, Zlatan Ibrahimovic turut sama tampil untuk mendedahkan pandangan peribadi beliau, tentang siapa pemain paling layak untuk memenangi anugerah paling berprestij dalam dunia bola sepak itu.

Lionel Messi secara rasminya telah dinobatkan sebagai pemenang, selepas beliau menewaskan Robert Lewandowski dengan perbezaan mata yang sangat tipis.

Kejayaan itu mengukuhkan lagi kedudukan Messi sebagai pemain terhebat sepanjang zaman, dengan beliau kini memiliki tujuh anugerah Ballon D’or di atas namanya.

Pemain penyerang Paris Saint Germain itu menewaskan bintang Bayern Munich, Robert Lewandowski dengan perbezaan 33 mata sahaja secara keseluruhannya.

Walau bagaimanapun, keputusan untuk memberikan anugerah tersebut kepada Messi tidak diterima dengan baik oleh pelbagai pihak termasuk penyokong, pemain, bekas pemain dan pundit.

Pelbagai kritikan telah dilemparkan kepada Lionel Messi dan ramai juga yang menganggap beliau sebenarnya telah merompak anugerah tersebut dari Lewandowski.

Bahkan, bekas rakan sepasukan beliau, Zlatan Ibrahimovic sendiri turut percaya yang Lewandowski sepatutnya berhak untuk memenangi anugerah tersebut pada tahun ini.

Pemain penyerang AC Milan itu turut ditanya siapa yang beliau pilih antara Lionel Messi dengan Cristiano Ronaldo yang berada di kedudukan dalam senarai pemenang anugerah Ballon D’or pada tahun ini.

Berkait perdebatan antara Messi dan Ronaldo, beliau mendedahkan kepada French Football News bahawa:

“Kedua-dua mereka sebenarnya sangat-sangat bagus.”

“Tapi saya akan memilih Messi, kerana kami pernah beraksi bersama.”

Ketika ditanya tentang hubungan antara beliau dengan Messi, Atan menjawab:

“Kami ada hubungan yang profesional. Leo hidup untuk bola sepak.”

“Tapi Lewandowski berhak untuk memenangi anugerah Ballon D’or pada tahun ini.”

Zlatan Ibrahimovic atau lebih dikenali sebagai Atan itu bukanlah satu-satunya pemain yang tak percaya dengan keputusan Messi memenangi anugerah Ballon D’or pada tahun ini.

Bintang Real Madrid, Toni Kroos sendiri turut merasakan yang Messi tak berhak sama sekali untuk memenangi anugerah tersebut, dan merasakan Karim Benzema lebih layak untuk memenanginya.

Karim Benzema berada di kedudukan keempat dalam senarai ini, dengan beliau tewas kepada Lionel Messi, Robert Lewandowski dan Jorginho.

“Ia sangat jelas yang dia tak berhak.”

“Tiada sesiapa mampu meragui yang Messi dan Cristiano Ronaldo merupakan dua pemain terhebat sejak sedekad yang lalu, tapi pada tahun ini, sepatutnya ada orang lain yang lebih berhak.”

“Bagi saya, Karim sepatutnya berada di kedudukan pertama seandainya kamu benar-benar mencari pemain mana paling bersinar secara individu pada tahun lalu, kerana saya boleh nampak dari jarak lebih dekat dia memang sangat menakjubkan.”

Selain Toni Kroos, legenda Real Madrid, Iker Casillas sendiri turut percaya yang Lionel Messi tak berhak untuk memenangi anugerah itu.

Iker Casillas anggap anugerah bola sepak sering menyulitkan sesuatu yang mudah

Bekas pemain kebangsaan Sepanyol itu telah mengkritik teruk konsep anugerah dalam dunia bola sepak dengan meluahkan kemarahannya di media sosial.

“Ia menambah lagi kesukaran untuk saya percaya kepada anugerah bola sepak.”

Tulis Casillas di laman twitter miliknya.

“Bagi saya Messi, dia merupakan antara salah seorang dari lima pemain terhebat dalam sejarah, tapi kamu perlu sedar siapa pemain yang pamer aksi menakjubkan setiap musim.”

“Ia bukanlah susah! Tapi orang lain yang buat dia nampak susah.”

Messi sendiri sedar kemenangan Lewandowski pada tahun lalu dirompak

Bahkan Messi sendiri turut sedar yang kemenangan Lewandowski telah dirompak dengan beliau meminta agar France Football memberikan anugerah tersebut kepada bintang Bayern tersebut, kerana beliau berhak menang pada tahun lalu.

Anugerah Ballon D’or pada tahun 2020 telah dibatalkan kerana dunia dilanda pandemik, dengan Lewandowski merupakan individu paling layak untuk memenangi anugerah itu pada tahun lalu.

Kerana itu jugalah Messi meminta agar France Football tetap menyerahkan anugerah tersebut kepada Lewandowski walau ia sudah dibatalkan pada tahun lalu.

“Robert, kamu berhak untuk terima anugerah Ballon D’or kamu.”

Jelas Messi.

“Tahun lalu, semua orang bersetuju yang kamu merupakan calon paling layak untuk memenangi anugerah paling berprestij ini.”

Bintang Paris Saint Germain itu kemudiannya menambah lagi.

“Hari ini saya di sini di Paris. Saya sangat gembira, sangat-sangat gembira, saya benar-benar mahu terus berjuang dan mencapai objektif yang lebih besar.”

“Saya tak tahu berapa tahun lagi, tapi saya benar-benar sedang menikmati hidup saya. Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan saya di Barcelona, PSG dan Argentina.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Messi Setuju Dengan Tawaran Kontrak Baru Selama Lima Tahun Dengan Pemotongan Gaji Yang Tinggi