Nottingham Forest membelasah Brighton 7-0, hanya seminggu selepas skuad bimbingan Nuno Espírito Santo dihancurkan 5-0 oleh Bournemouth. Lebih menarik, hanya beberapa minggu sebelum itu Brighton berjaya menewaskan Manchester United 3-1 di Old Trafford. Liga Perdana Inggeris memang penuh kejutan!
Kemenangan ini merupakan yang terbesar bagi Forest dalam mana-mana divisyen sejak tahun 1991 iaitu sebelum era moden bola sepak bermula. Namun, di mana kedudukan kemenangan ini dalam senarai kemenangan paling besar dalam sejarah Liga Perdana Inggeris sejak ia diperkenalkan pada tahun 1992?
Berikut adalah antara kemenangan terbesar yang pernah direkodkan dalam sejarah Liga Perdana.
Rekod Kemenangan Terbesar dalam Liga Perdana Inggeris
1. Manchester United 9-0 Ipswich Town (Mac 1995)
Kemenangan ini mencipta rekod terbesar dalam Liga Perdana dan ia kekal hampir 30 tahun. Dalam rekod itu Andy Cole menjaringkan 5 gol.
Ipswich, yang dikawal oleh penjaga gol Craig Forrest tidak mampu menahan serangan bertubi-tubi dari United. Roy Keane bermain sebagai bek-kanan dan United menjaringkan 4 gol dalam tempoh 13 minit pada separuh masa kedua.
Walaupun Ipswich akhirnya tersingkir ke divisyen bawahan, United tetap gagal menjuarai liga musim itu. Mereka tewas kepada Blackburn Rovers dengan perbezaan hanya 1 mata.
Penjaring:
Keane (15’), Cole (19’, 37’, 53’, 65’, 87’), Hughes (55’, 59’), Ince (72’)
2. Southampton 0-9 Leicester City (Oktober 2019)
Leicester mencipta sejarah dengan mencatat kemenangan terbesar di tempat lawan dalam liga utama England.
Dua pemain Leicester iaitu Jamie Vardy dan Ayoze Pérez menjaringkan hatrik, menjadikan mereka pasangan kedua dalam sejarah Liga Perdana yang melakukannya dalam satu perlawanan. Kekalahan ini bertambah buruk untuk Southampton apabila Ryan Bertrand dibuang padang ketika kedudukan masih 1-0.
Penjaring:
Chilwell (10’), Tielemans (17’), Pérez (19’, 39’, 57’), Vardy (45’, 58’, 90+4’ pen), Maddison (85’).
3. Manchester United 9-0 Southampton (Februari 2021)
Alexandre Jankewitz membuat penampilan sulungnya untuk Southampton di Old Trafford namun hanya 2 minit selepas sepak dimulakan dia dilayangkan kad merah. Akibatnya, pasukannya mengalami kekalahan memalukan.
Pengurus Southampton, Ralph Hasenhüttl menjadi satu-satunya pengurus yang mengalami 2 kekalahan 9-0 dalam tempoh 18 bulan.
Penjaring:
Wan-Bissaka (18’), Rashford (25’), Bednarek (OG 34’), Cavani (39’), Martial (69’, 90’), McTominay (71’), Fernandes (87’ pen), James (90+3’).
4. Liverpool 9-0 Bournemouth (Ogos 2022)
Kejutan besar apabila Bournemouth memulakan hari itu dengan kedudukan liga yang lebih tinggi daripada Liverpool.
Liverpool yang sebelum ini bergelut dengan prestasi buruk bangkit dengan kemenangan besar ini. Menariknya, Mohamed Salah gagal menjaringkan sebarang gol dalam perlawanan ini.
Penjaring:
Díaz (3’, 85’), Elliott (6’), Alexander-Arnold (28’), Firmino (31’, 62’), Van Dijk (45’), Mepham (OG 46’), Carvalho (80’).
5. Tottenham Hotspur 9-1 Wigan Athletic (November 2009)
Jermain Defoe menjadi pemain ke-3 dalam sejarah Liga Perdana yang menjaringkan 5 gol dalam satu perlawanan.
Wigan hanya ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama tetapi mengalami kejatuhan teruk selepas rehat, membiarkan Tottenham menjaringkan 8 gol dalam tempoh 45 minit.
Penjaring:
Crouch (9’), Defoe (51’, 54’, 58’, 69’, 87’), Lennon (64’), Bentley (88’), Kranjčar (90+4’).
6. Newcastle United 8-0 Sheffield Wednesday (September 1999)
Sir Bobby Robson mengendalikan perlawanan pertamanya sebagai pengurus Newcastle di St James’ Park dan mencipta sejarah dengan kemenangan besar ini.
Alan Shearer menjaringkan 5 gol tetapi tetap merendah diri selepas perlawanan. Dia mengingatkan semua orang supaya tidak terlalu teruja dengan kemenangan tersebut.
Penjaring:
Hughes (11’), Shearer (30’, 33’ pen, 42’, 81’, 84’ pen), Dyer (46’), Speed (78’).
7. Chelsea 8-0 Wigan Athletic (Mei 2010)
Chelsea menamatkan musim dengan kemenangan besar untuk memastikan mereka muncul sebagai juara Liga Perdana.
Pasukan kendalian Carlo Ancelotti itu juga menjaringkan 103 gol sepanjang musim. Ia satu rekod yang kemudiannya dipecahkan oleh Manchester City pada 2017-18.
Penjaring:
Anelka (6’, 56’), Lampard (32’ pen), Kalou (54’), Drogba (63’, 68’ pen, 80’), Cole (90’).
8. Chelsea 8-0 Aston Villa (Disember 2012)
Aston Villa yang sebelum ini menang 3-1 ke atas Liverpool seminggu sebelumnya, dimalukan Chelsea dengan kekalahan besar ini.
Lucas Piazon boleh menjadikan keputusan ini 9-0 tetapi gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit-minit akhir.
Penjaring:
Torres (3’), Luiz (29’), Ivanović (34’), Lampard (59’), Ramires (76’, 90+1’ pen), Oscar (79’ pen), Hazard (83’).
9. Manchester City 8-0 Watford (September 2019)
Watford mengalami mimpi ngeri apabila ketinggalan 5-0 hanya dalam tempoh 18 minit dan ia satu rekod permulaan terburuk dalam sejarah Liga Perdana.
Penjaring:
Silva (1’), Agüero (7’ pen), Mahrez (12’), Bernardo Silva (15’, 48’, 60’), Otamendi (18’), De Bruyne (85’).
10. Sheffield United 0-8 Newcastle United (September 2023)
Newcastle mencipta sejarah dengan menjaringkan 8 gol melalui 8 pemain berbeza. Ia sesuatu yang jarang berlaku dalam Liga Perdana.
Penjaring:
Longstaff (21’), Burn (31’), Botman (35’), Wilson (56’), Gordon (61’), Almirón (68’), Guimarães (73’), Isak (87’).
Walaupun kemenangan 7-0 Forest ke atas Brighton termasuk dalam senarai 11 perlawanan yang berakhir dengan keputusan serupa dalam sejarah Liga Perdana, rekod perlawanan dengan jumlah gol tertinggi masih dipegang oleh Portsmouth yang menang 7-4 ke atas Reading pada tahun 2007.
Liga Perdana Inggeris sememangnya penuh dengan keputusan luar biasa!