2 Gol Jaringan Jota Cukup Untuk Tendang Arsenal Keluar Dari Saingan EFL Cup

Dua gol jaringan Diogo Jota berjaya membantu Liverpool untuk tendang Arsenal keluar dari saingan Carabao Cup.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu berkunjung ke Emirates untuk aksi peringkat separuh akhir kedua saingan Carabao Cup awal pagi tadi.

Kedua-dua pasukan sekadar terikat tanpa jaringan ketika bertemu dalam aksi separuh akhir pertama di Anfield minggu lalu.

Selepas berjaya mengikat Liverpool di Anfield walau bermain dengan 10 orang pemain, Arsenal dijangka bakal membuat kejutan dan akan mampu untuk singkirkan The Reds di Emirates.

Skuad kendalian Mikel Arteta itu juga turut mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan sepanjang 20 minit pertama dalam perlawanan pada hari ini.

Walau bagaimanapun, malang untuk Gunners kerana gagal untuk kekal dominan, selepas Liverpool kembali menemui rentak persembahan terbaik mereka.

The Reds terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-19 menerusi Diogo Jota yang meledak gol cantik hasil hantaran dari Trent Alexander Arnold.

Sebaik menerima bola hantaran dari Arnold, Jota tenang membawa bola masuk ke kotak penalti Arsenal dan walaupun beliau dikawal ketat, namun beliau tetap berjaya melepaskan rembatan padu menewaskan Ramsdale.

Pada minit ke-77, Diogo Jota sekali lagi meledak gol untuk Liverpool juga hasil hantaran cantik dari Trent Alexander Arnold.

Liverpool berjaya merampas bola dari Martinelli dengan Arnold terus menghantar bola ke arah Diogo Jota yang sedang berlari menuju ke arah kotak penalti Arsenal.

Jota mendada bola dan kemudian menyungkit bola melepasi Ramsdale untuk gol kedua Liverpool, namun penjaga garisan mendakwa beliau berada di kedudukan offside.

Pengadil perlawanan kemudiannya merujuk VAR dan kemudian mengesahkan gol kedua Liverpool yang dijaringkan oleh Diogo Jota itu.

Pengadil perlawanan membunyikan wisel penamat seterusnya mengesahkan kemenangan 2-0 Liverpool menewaskan Arsenal, dan melayakan mereka untuk beraksi di pentas perlawanan akhir nanti.

Liverpool akan turun bertemu Chelsea dalam aksi perlawanan akhir saingan Carabao Cup di Wembley pada 28 Februari nanti.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu kini berpotensi untuk memenangi gelaran Carabao Cup, FA Cup, Champions League dan masih berpeluang untuk memenangi gelaran liga.

Mereka masih berjuang dalam kesemua pertandingan tersebut, dan sepertinya tidak mustahil untuk mereka setidak-tidaknya memenangi salah satu darinya.

Arsenal sepertinya akan mengakhiri saingan musim ini dengan tidak memenangi apa-apa selepas mereka turut tersingkir dari saingan FA Cup 2 minggu lalu.

Arsenal dikejutkan dengan kekalahan 1-0 di tangan Nottingham Forest seterusnya menyebabkan mereka terpaksa akur ditendang keluar oleh pasukan dari Championship.

Carabao Cup merupakan satu-satunya Piala yang mereka harapkan, namun sayangnya mereka turut tersingkir selepas dibenam oleh Liverpool.

Satu-satunya kejohanan yang mereka masih ada pada ketika ini adalah saingan Premier League, dan sangat jelas mustahil untuk anak-anak buah Mikel Arteta itu muncul sebagai Juara pada musim ini.

Mereka kini sedang berjuang habis-habisan untuk mengakhiri saingan liga di kedudukan empat teratas, dengan Gunners kini sedang berada di kedudukan ke-6 dalam carta saingan liga.

Mereka kini hanya dua mata sahaja dipisahkan dari West Ham United yang berada di kedudukan keempat, namun Gunners memiliki kelebihan 2 perlawanan yang masih belum dimainkan.

Pesaing terdekat Arsenal merupakan Tottenham Hotspur yang kini satu mata mengatasi mereka, dan satu mata sahaja dibelakang West Ham untuk mereka menduduki kedudukan kelima dalam carta liga.

Namun begitu, Spurs jelas mempunyai kelebihan dengan mereka kurang satu perlawanan berbanding Arsenal dan kurang tiga perlawanan berbanding West Ham.

Sumber: Stadium Astro

BACA:  Arsenal Mahu Lepaskan 11 Pemain Sebelum Jendela Perpindahan Musim Panas Ditutup