Direktor Sukan AC Milan, Massimiliano Mirabelli berkata Maroune Fellaini akan meninggalkan Manchester United musim panas ini, tetapi mengakui tiada sebarang perjanjian telah dipersetujui bagi membolehkan Fellaini berpindah ke AC Milan.
Masa depan pemain antarabangsa Belgium itu menjadi tanda tanya musim ini kerana masih belum menandatangani kontrak lanjutan untuk terus kekal di Old Trafford. Kontrak Fellaini bakal tamat hampir sebulan sahaja lagi walaupun Jose Mourinho sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan tawaran sudah diberikan kepada pemain tersebut untuk menyambung kontraknya.
Bekas pemain Everton itu masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai masa depannya bersama United. AC Milan merupakan antara kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmat Fellaini secara percuma pada jendela perpindahan musim panas ini.
AC Milan mengesahkan minat mereka terhadap Fellaini apabila orang kuat mereka, Massimiliano Mirabelli mendakwa pemain tersebut telah menolak tawaran kontrak baru dari Manchester United. Beliau juga percaya punca utama penolakan tersebut adalah Fellaini tertarik dengan peluang untuk bermain di Serie A bersama AC Milan.
“Fellaini mungkin menjadi pemain yang penting bagi kami di AC Milan. Kami tahu beliau tidak akan melanjutkan kontraknya bersama United, tetapi buat masa sekarang sukar bagi kami untuk mengatakan Fellaini bersetuju untuk menyertai AC Milan.”
“Beliau memiliki beberapa kelebihan. Kami akan melakukan sesuatu bagi membolehkan beliau selesa dengan peranan dalam pasukan. Tetapi buat masa sekarang, perkata pertama yang perlu kami lakukan adalah mendapatkan pemain baru dan selepas itu kami akan melakukan pengumuman rasmi mengenainya.”
The Times melaporkan Fellaini meminta gaji yang tinggi sekitar £100,000 seminggu untuk menandatangani kontrak bersama AC Milan. Walaubagaimanapun, pengurus Milan Gennaro Gattuso berkata mereka tidak dapat memenuhi tuntutan tersebut tetapi mampu memberi jaminan beliau akan berada dalam kesebelasan utama pasukan dengan lebih kerap.
Dalam perkembangan lain pula, Manchester United dilaporkan berminat untuk mendapatkan pemain tengah Chelsea, Willian. Pemain antarabangsa Brazil itu mahu meninggalkan Stamford Bridge sekiranya Antonio Conte kekal menjadi ketua jurulatih musim hadapan.
Willian masih mempunyai baki dua tahun dalam kontraknya dan buat masa sekarang tiada sebarang tawaran telah dilakukan United untuk mendapatkan Willian.
Jose Mourinho merupakan pengurus yang bertanggungjawab membawa Willian ke England ketika beliau melatih Chelsea beberapa tahun yang lalu.
Walaupun diundi sebagai pemain terbaik musim ini oleh penyokong Chelsea, pemain berusia 29 tahun itu dipinggirkan Conte dari berada dalam kesebelasan utama bagi menghadapai Manchester United dalam perlawanan akhir Piala FA hujung minggu lalu.