Kevin De Bruyne Dedahkan Citizens Hanya Berlatih 10 Minit Menjelang Manchester Derby

Pemain bintang Manchester City, Kevin De Bruyne telah mendedahkan bahawa pasukannya hanya berlatih selama 10 minit sehari sebelum pertemuan Manchester Derby pada awal bulan ini.

Dalam perlawanan tersebut, City ternyata lebih unggul di mana mereka dengan selamba memperkotak-katikkan pasukan yang memiliki bekas pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo, dan menang mudah dua gol tanpa balas.

Anak buah Ole Gunnar Solskjaer dilihat bagaikan sangat bingung dan seakan melayan pasukan The Citizens berlatih di atas padang.

Bercakap kepada MidMid (yang disiarkan oleh Goal), De Bruyne berkata pengurus City, Joseph Guardiola selalunya agak teliti dalam mempersiapkan pasukannya dalam sebarang perlawanan, tetapi menjelang pertemuan dengan seteru setempat, pengurus berbangsa Sepanyol itu membawa perwatakan berbeza.

“Sehari sebelum perlawanan biasanya kami akan berlatih taktik, berkisar tentang bagaimana pasukan lawan akan bermain,” ujar De Bruyne.

“Tetapi sebelum United, Pep beritahu: ‘Kita tak tahu macam mana depa main. Jadi kita tunggu tengok jaa’.

“Dan kami berhenti berlatih selepas 10 minit lebih kurang gitu.

“Selalunya Pep tahu bagaimana pasukan lawan akan bermain. Tapi kali ni dia memang betul tak tahu.

“Jadi dia tidak tahu apa yang dia perlu buat. Kami bermain seperti mana kami biasa main, tapi dia tak tahu sebelum perlawanan samada mereka (United) akan bermain dengan lima pertahanan atau empat, atau dengan sistem diamond di tengah, atau menggunakan tiga penyerang,” tambah pemain yang tidak pernah bermain bersama Melaka Untited itu kepada jurnalis.

Pada hari perlawanan, United turun dengan sistem tiga pertahanan tengah, walaupun jika dilihat dengan mata kasar pasukan tersebut lebih banyak bermain dengan lima pertahanan, dengan City berjaya menekan Aaron Wan Bissaka dan Luke Shaw di bahagian bawah tanpa sempat naik ke atas.

Solskjaer juga turut menurunkan Mason Greenwood dan Cristiano Ronaldo sebagai penyerang, tetapi kedua-dua pemain ini dilihat lebih banyak menghabiskan masa memerhatikan pasukan City membuat hantaran pendek yang tepat bagaikan sang jurulatih sedang memerhatikan permainan anak buahnya.

Keputusan perlawanan telah membuatkan tekanan semakin tinggi terhadap pengurus United di mana mereka kini ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu liga, Chelsea, walaupun baru bermain 11 perlawanan dalam liga pada musim ini.

Dengan tiga mata tersebut, City pula naik ke tangga kedua, hanya tiga mata di belakang pasukan biru dari London tersebut.

Sejak dibelasah tanpa belas oleh Liverpool, Solskjaer sebenarnya diberikan tiga perlawanan, termasuk menentang City, untuk membuktikan bahawa dia masih lagi orang yang sesuai untuk mengendalikan pasukan yang boleh dikatakan termahal di Liga Perdana Inggeris.

Dalam tiga perlawanan tersebut, United hanya menang sekali – ketika menewaskan Tottenham Hotspur tiga jaringan tanpa balas. Selepas kekalahan tersebut, Spurs terus bertindak memecat pengurus ketika itu, Nuno Espirito Santo dan melantik pengurus dari Itali yang telah memenangi Serie A bersama Inter pada musim lalu, Antonio Conte dengan ikatan kontrak selama 18 bulan.

Selepas perlawanan tersebut, United hanya mampu seri menentang pasukan yang tidak berapa dikenali dari Itali, Atalanta, dan dalam perlawanan tersebut pasukan Syaithon Merah terpaksa bangkit dua kali di masa kecederaan di kedua-dua separuh masa.

Keadaan ini ternyata mengecewakan para penyokong United di seluruh dunia dan menerusi satu tinjauan daripada The Athletic UK, sebanyak 69 peratus daripada 4000 penyokong pasukan tersebut mahukan Solskjaer segera dipecat dan digantikan oleh pengurus yang lebih berwibawa.

Para penyokong berpendapat bahawa krisis yang berlaku di dalam pasukan United pada hari ini adalah berpunca daripada pengurus yang tidak mempunyai idea tentang taktik dan sistem perlawanan.

Antara pengurus yang dikaitkan dengan jawatan panas di Old Trafford itu adalah pengurus Leicester City, Brendan Rodgers, Erik Ten Hag dari Ajax dan juga bekas pengurus RB Leipzig, Ralf Rangnik.

Tidak dapat dipastikan apakah status Solskjaer ketika ini dan ketika liga berehat untuk memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa, pasukan United diberikan cuti seminggu dengan pengurus tersebut dilihat pulang ke kampung halaman di Norway, mungkin untuk mencari damai di hati.

Sumber berita : 90min

BACA:  Man Utd Anggap Liverpool Sebenarnya Terlebih Berbelanja Dalam Usaha Mereka Mendapatkan Darwin Nunez