Bruno Fernandes Dedah Bagaimana Isteri Main Peranan Jaga Stamina Dirinya Di Atas Padang

Bruno Fernandes mendedahkan bagaimana keluarga terutama isterinya membantu dirinya sentiasa berada di tahap terbaik terutama daripada segi stamina sebagai pemain.

Bintang tengah Portugal itu beraksi 223 perlawanan dalam semua pertandingan sejak menyertai Manchester United dari Sporting Lisbon pada Januari 2020.

Satu-satunya perlawanan di mana Fernandes tidak beraksi adalah ketika kekalahan 3-2 kepada Tottenham pada Mac 2022 disebabkan demam.

Sejak melakukan debut sebagai pemain profesional bersama Novara pada musim 2012/13, Fernandes hanya terlepas tiga perlawanan lain untuk kelab dan negaranya.

Dia tidak beraksi ketika Sampdoria tewas 2-1 kepada Napoli pada Januari 2017 disebabkan selsema, dan pada Mac 2019 turut terlepas perlawanan Euro 2020 di antara Portugal menentang Ukraine disebabkan kecederaan kaki.

Pada Ahad lalu Fernandes beraksi semua 120 minit perlawanan United yang menewaskan Liverpool 4-3 di suku akhir Piala FA walaupun meninggalkan padang dengan kesakitan di kaki pada masa tambahan.

Ditanya apakah rahsia stamina tinggi dimilikinya, Fernandes memberikan kredit kepada keluarga terutama isterinya yang sentiasa menjaga dirinya.

“Saya harus berterima kasih kepada ayah dan ibu yang membimbing saya di jalan yang betul, jalan yang kental,” kata kapten itu kepada wartawan.

“Kedua-duanya hadir menyaksikan dua perlawanan terakhir kami dan itu juga memberikan saya tenaga/semangat tambahan. Anak-anak dan isteri juga sentiasa menjaga setiap keperluan saya.

“Isteri saya melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik di rumah untuk memastikan saya mendapat rehat secukupnya di rumah. Ia agak sukar apabila anda ada anak kecil yang sentiasa mahu bermain.

“Anak bongsu saya gemar bermain bola sepak setiap masa, tetapi saya tetap mendapat rehat, tidur secukupnya, dan segala keperluan lain kerana isteri berada di situ untuk membantu.”

Prestasi Fernades dalam perlawanan pada Ahad lalu dianggap cukup hebat mengambil kira dirinya turut dipakai oleh Erik ten Hag bermain di posisi pertahanan tengah, tatkala United sedang ketinggalan 3-2 di masa tambahan.

Fernandes terpaksa digandingkan dengan Harry Maguire untuk membenarkan rakan sepasukan yang lain melakukan serangan dan memberikan ancaman dalam situasi bola tinggi.

Pemain berusia 29 tahun itu berkata dirinya tetap gembira atas pengorbanan yang harus dilakukan demi kebaikkan kelab.

BACA:  Ten Hag Dedahkan Ramai Pemain Berkelas Dunia Mahu Sertai Setan Merah