Old Trafford Tak Sesuai, Legenda Anfield Gesa Liverpool Segera Pikat Southgate

Bekas pemain pertahanan dan legenda Liverpool, Glen Johnson menggesa bekas kelabnya itu untuk mempertimbangkan Gareth Southgate sebagai pengganti Jurgen Klopp pada akhir musim ini.

Klopp sudah bersama kelab Merseyside itu selama sembilan tahun. Pengumuman pengurus dari Jerman itu untuk meninggalkan Anfield pada penghujung musim ini membuatkan situasi masa depan Liverpool terumbang-ambing.

Liverpool dikaitkan rapat dengan bekas pemain Xabi Alonso yang kini cemerlang bersama Bayer Leverkusen. Namun demikian laporan terbaru mendedahkan Alonso lebih memilih untuk menyertai Bayern Munich berbanding untuk kembali menyertai bekas kelabnya sebagai pengurus.

Disebabkan itu bekas bintang Liverpool dan England, Glenn Johnson menggesa Liverpool bertindak segera untuk menyambar Southgate.

“Ia perkara yang janggal untuk dibincangkan kerana [Southgate] England di ambang kejohanan besar. Dan membuat spekulasi mengenai masa depan pengurus tidak baik, dan anda enggan melakukannya,” kata Johnson delam temubual bersama Betfred.

“Jika dia sedia [ditawarkan kontrak] pada musim panas ini, maka anda [Liverpool] wajib melihat kemungkinan ini. Dia melakukan tugasnya dengan baik bersama England.

“Jadi tidak ada sebab mengapa dia tidak boleh cemerlang bersama kelab seperti Liverpool kerana dia akan mengendalikan set pemain yang mempunyai kualiti hampir serupa.

“Anda harus bercakap mengenai perkara ini kerana kita tidak boleh mengabaikan peluang ini begitu sahaja sekiranya ia terbuka untuk berbuat demikian,” jelas Johnson.

Walau apa pun penilaian terhadap Southgate, tidak dapat dinafikan beliau telah melakukan tugasnya dengan baik di pentas antarabangsa bersama The Three Lions.

Bekas pengurus Middlesbrough itu sebelum ini berjaya membawa England mara ke separuh akhir Piala Dunia dan perlawanan akhir Euro sepanjang tempoh 8 tahun mengendalikan pasukan itu.

Ramai melihat ia sukar untuk Southgate meninggalkan skuad kebangsaan England untuk mengendalikan kelab di Premier League.

Namun demikian terdapat minat mendalam daripada pemilik minoriti Manchester United, Sir Jim Ratcliffe untuk menjadikan Southgate pengganti Erik ten Hag.

“Sudah ramai pengurus berkualiti datang ke Old Trafford dan semuanya bergelut. Jadi tiada jaminan Southgate akan berjaya bersama Manchester United,” tambah Johnson.

BACA:  Ulasan Sharip Dolsson: Liverpool Membayar Harga Kerana Pernah Melukakan Llorente