Pemain Setan Merah Buat Undian Rahsia Tentukan Masa Depan Greenwood Di Old Trafford

Rakan sepasukan Mason Greenwood di Manchester United dilaporkan bersetuju sebulat suara untuk Mason Greenwood kembali ke Old Trafford pada musim panas akan datang.

Penyerang berusia 22 tahun itu sebelum ini didakwa dengan kes keganasan terhadap teman wanitanya, namun kes itu kemudian digugurkan pada Februari 2023 selepas saksi utama dan mangsa menarik kembali kes.

Greenwood kini beraksi secara pinjaman bersama kelab La Liga Getafe yang bersedia untuk melanjutkan pinjaman atau mendapatkan pemain itu secara tetap pada jendela perpindahan akan datang.

Anggota skuad United bagaimanapun menegaskan tidak menghalang untuk pemain itu kembali menyertai mereka.

Malah laporan oleh The Sun mendedahkan satu undian di kalangan pemain telah dilakukan di bilik persalinan United, dan semua pemain bersetuju Greenwood seharusnya diberikan sokongan untuk kembali.

Mail Sports dalam laporannya bagaimanapun mendedahkan keputusan akhir mengenai pemain itu akan ditentukan oleh Sir Jim Ratcliffe dan INEOS.

“Pemain semua faham mengenai latar belakang kejadian dan kontroversi yang menyelubungi Greenwood, tetapi mereka mahukan dia kembali.

“Keputusan sebulat suara itu dilakukan atas sebab bola sepak. Ia adalah keputusan yang mudah dan ikhlas daripada rakan sepasukannya yang lain.

“United sentiasa bergelut untuk menjaringkan gol pada musim ini dan pemain di sini sedar mereka memerlukan pemain seperti Mason [Greenwood].

“Mereka telah melihat sendiri bagaimana dia menjaringkan gol untuk Getafe setiap minggu,” kata satu sumber kelab.

Dalam satu temubual pada bulan lalu, pemilik minoriti kelab, Sir Jim Ratcliffe memberikan bayangan pintu di Old Trafford masih lagi terbuka untuk Greenwood menyertai kelab itu.

Ditanya sama ada keputusan baru akan dibuat berkaitan masa depan Greenwood, Ratcliffe menjawab: “Ya, benar. Kami akan membuat keputusan selepas melakukan pertimbangan sewajarnya.

“Dia adalah pemain Manchester United dan tugas kami adalah melakukan urusan berkaitan bola sepak di kelab ini.”

BACA:  Mourinho: Tiada Pemain Lebih Besar Daripada Kelab