Luke Shaw Mengaku Man United Tidak Cukup Kuat Tapi Yakin Mampu Menang UCL

Pemain bek kiri, Luke Shaw, mengaku secara terbuka bahawa pasukannya Manchester United tidak cukup kuat pada musim ini tetapi mengatakan bahawa dia dan rakan-rakannya yakin bahawa mereka boleh memenangi Liga Juara-Juara UEFA pada musim ini.

United kini terperosok di tangga kelima dalam kancah Liga Perdana Inggeris dan ditendang keluar daripada saingan Piala FA dengan begitu hina oleh pasukan divisyen dua liga England, Middlesborough.

Pengurus sementara, Ralf Rangnick, yang menggantikan pengurus dipecat Ole Gunnar Solskjaer pada bulan November lalu, setakat ini masih gagal untuk memulihkan semangat dan gaya permainan pasukan tersebut dan mereka berkemungkinan besar akan terlepas kedudukan di tangga keempat liga jika aksi lemau masih diteruskan di atas padang.

Dengan Shaw mengakui mereka tidak menepati sasaran pada musim ini, dia berkata bahawa kepercayaan untuk menebus kesilapan mereka ke dalam pentas Eropah masih ada di dalam bilik persalinan.

Atletico Madrid bakal menanti juara Eropah 2008 ini dalam pusingan 16 pasukan pada bulan ini dan pertahanan England itu percaya bahawa dia dan rakan sepasukan mampu untuk menempuh ranjau dan memenangi kesemua perlawanan.

“MUsim ini, secara umumnya, memang tak cukup bagus,” Shaw berkata kepada talkSPORT.

“Aku rasa tempat yang kita nak tuju dan ke mana yang kita nak pergi adalah dua tempat yang betul-betul berbeza.

“Sebetulnya, kami pun kecewa yang amat ditendang keluar daripada saingan Piala FA. Piala tu, sejujurnya, kami rasa kami boleh menang.

“Dan, tentunya, kami tidak berada di posisi dalam liga yang kita nak kita berada – kita tak layak pun kalau tengok kepada keputusan yang kita dapat.

“Dengan segala benda yang berlaku, dengan turun naiknya, memang tak cukup bagus untuk jadi pasukan yang nak menang kejuaraan.

“Kau tengok pasukan yang ngetop dan betapa konsistennya diorang, diorang berada di tahap yang tinggi dan sekarang ni menang perlawanan secara konsisten – kitorang tak buat pun macam tu.

“Tapi semua itu kami ambil peduli dan memang satu perkara yang kami perlu buat dengan lebih baik.

“Memang, kita masih lagi dalam kancah Liga Juara-Juara UEFA, ramai orang yang ragu dengan kami, tapi kami perlu mempunyai kepercayaan bahawa kami boleh pergi jauh dan menang piala ni sebab ia adalah sangat penting untuk mempunyainya [kepercayaan tu] di bilik persalinan dan ada sesuatu untuk kami capai,” ujar Shaw panjang lebar.

Pada waktu ini, bilik persalinan Manchester United boleh dikatakan berada dalam keadaan yang agak tidak stabil di mana ada sebahagian daripada pemain tidak berpuas hati dengan corak latihan yang dikendalikan oleh jurulatih, Chris Armas dan ada yang menyamakannya dengan watak komedi Ted Lasso.

Armas, yang dilantik ke jawatan tersebut sebaik sahaja Rangnick duduk di kerusi paling panas di England itu, sebelum ini tidak pernah melatih mana-mana kelab di luar benua Amerika dengan New York Red Bulls dan Toronto FC adalah antara kelab yang menggunakan khidmatnya.

Sejak ketibaannya ke England, ada pemain yang menyamakan Armas dengan watak yang popular, Ted Lasso – watak fiksyen dalam siri di Apple TV. Di dalam siri tersebut, Ted Lasso merupakan jurulatih sebuah kelab bola sepak, AFC Richmond, yang mempunyai pengetahuan yang lemah dalam bola sepak tetapi terus berjuang berdasarkan sifat yakin, keazaman yang tinggi dan biskut.

Di samping corak latihan yang lapuk, ada pemain yang tidak berpuas hati di kalangan mereka kerana sesi latihan Rangnick selalu berdasarkan 11 vs 11. Mereka percaya bahawa corak dan aktiviti yang lebih dinamik adalah lebih berguna di antara setiap perlawanan.

Sepanjang bulan Januari, United dilihat sangat terkial-kial dalam menjaringkan gol meskipun hampir setiap serangan berjaya memasuki kotak penalti pasukan lawan dan mereka hanya berjaya menjaringkan 11 gol dalam tujuh perlawanan – jumlah yang mengecewakan, ditambah pula dengan gol mereka yang kerap bolos dalam hampir setiap perlawanan.

Para pemain United dilihat seolah-olah tidak mempunyai selera untuk mendapatkan tiga mata dalam setiap perlawanan dan ketumpulan barisan serangan telah banyak kali mengecewakan penyokong mereka di Malaysia yang sanggup berjaga di awal pagi untuk menonton perlawanan pasukan kesayangan mereka ini.

Cristiano Ronaldo, Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Bruno Fernandes dilihat masih lagi tidak dapat menyelesaikan masalah yang sama membelenggu mereka sejak beberapa musim – menjaringkan gol ketika bertemu pasukan yang bermain dengan garisan pertahanan yang rendah.

Paling ketara adalah dalam perlawanan Piala FA, ketika United bertemu pasukan bawahan, Middlesborough. Walaupun berjaya menguasai sebahagian besar perlawanan dan berjaya menjaringkan gol pendahuluan, barisan penyerang United dilihat benar-benar menghayati persahabatan dengan syaithon di mana mereka telah membazirkan banyak peluang di hadapan gol.

Paling ketara adalah Fernandes yang hanya berdepan dengan gol yang terbuka pada suatu ketika dalam perlawanan tersebut, namun memilih untuk menyepak bola ke arah tiang walaupun penjaga gol Boro sudah pasrah dan berserah.

Dengan beberapa lawan muktabar seperti Manchester City, Tottenham Hotspur, Arsenal dan Liverpool bakal menanti dalam perlawanan liga, United dijangka akan kehilangan banyak mata dan tidak mampu mencabar kedudukan di tangga keempat.

BACA:  Reaksi Van de Beek Ketika Sedar Yang Penyokong Man Utd Masih Sayangkan Beliau