Ratcliffe Percaya Mampu Yakinkan Southgate Ganti Ten Hag

Pemilik minoriti Manchester United Sit Jim Ratcliffe mensasarkan pengurus Englanad, Gareth Southgate sebagai calon utama untuk menggantikan Erik ten Hag di Old Trafford pada musim panas akan datang.

Ratcliffe semakin yakin mampu memancing Southgate ke Old Trafford selepas berjaya mengumpul pasukan di INEOS yang terdiri daripada deretan legenda Manchester United.

Southgate yang bergelar pengendali England sejak 2016 menerima sokongan pasukan INEOS itu – dan juga oleh Dan Ashworth yang dicanang bakal menjadi Pengarah Bola Sepak di United.

Walaupun demikian semuanya bergantung kepada kesanggupan Southgate sekiranya jurulatih itu sanggup meninggalkan skuad kebangsaan England di mana Ratcliffe harus membayar pampasan sebanyak £800,000 untuk khidmat bekas pemain pertahanan itu.

Sehingga kini Southgate enggan berbicara mengenai masa depannya sehinggalah tamat kejohanan Euro 2024. Ratcliffe bagaimanapun percaya satu keputusan segera boleh dicapai.

Walaupun berjaya membawa United layak ke separuh akhir Piala FA dan kekal di dalam pemburuan slot ke Champions League, Ratcliffe masih tidak yakin Ten Hag adalah pengurus yang tepat untuk membawa United ke hadapan.

Untuk melepaskan Ten Hag, Ratcliffe turut harus membayar pampasan £10 juta kepada jurulatih dari Belanda itu memandangkan kontraknya bersama United hanya akan tamat pada 2025.

Skuad England pimpinan Southgate adalah antara pasukan pilihan utama menjuarai Euro 2024. Bekas pemain Middlesbrough itu sebelum ini cemerlang bersama skuad B-21 England sebelum membawa The Three Lions layak ke separuh akhir Piala Dunia 2018, dan perlawanan akhir Euro 2020.

Ratcliffe tidak membuang masa dan terus mengubah struktur hierarki di United selepas membelanjakan £1.3 billion untuk mendapatkan 27.7% pegangan di kelab tersebut.

Omar Berrada kini bersama Manchester City turut akan menyertai Ratcliffe sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab yang baru.

Ashworth yang berusia 53 tahun pula sebelum ini adalah Pengarah Pembangunan Elit bersama FA England dari 2012 sehingga 2018 dan bertanggungjawab membangunkan karier Southgate.

Di sebalik kemenangan dramatik 4-3 ke atas Liverpool di suku akhir Piala FA pada Ahad lalu, Ten Hag kekal berada di dalam tekanan pada musin keduanya sebagai pengendali United.

Musim ini United bergelut dengan konsistensi, tersingkir di peringkat kumpulan Champions League dan kini bergelut untuk layak ke pertandingan elit kelab-kelab Eropah itu pada musim hadapan.

Pasukan kendaliannya kini turut telah tewas dalam 11 perlawanan liga setakat ini dan ketinggalan sembilan mata kepada Aston Villa di kedudukan keempat, dan enam mata di belakang Tottenham di kedudukan kelima.

Tatkala Premier League berpotensi diberikan slot tambahan ke Champions League melalui kedudukan kelima liga selepas penambahan jumlah pasukan bertanding mulai musim hadapan, perkara itu bukan lagi satu jaminan.

Walaupun mensasarkan Southgate, Ratcliffe bertegas tidak akan berbelanja besar untuk mendapatkan pemain bintang.

Usahawan petrokimia itu sebelum ini mempersoalkan cara United berbelanja untuk mendapatkan beberapa pemain seperti Casemiro (£70 juta) dan Antony (£86 juta).

Untuk itu Ratcliffe akan menggunakan pendekatan lain untuk membawa masuk pemain diperlukan.

BACA:  [VIDEO]: Roy Keane Diserang Dan Ditanduk Penyokong Arsenal Di Emirates