Skuad Liverpool akan kembali melaporkan diri untuk kempen pra-musim pada hari Isnin minggu hadapan. 5 hari selepas itu, mereka bakal mengharungi jelajah selama seminggu di negara Timur Tengah.
Penyerang antarabangsa Uruguay, Darwin Nunez telah berjaya ditandatangani dari Benfica dalam perjanjian bernilai yang boleh mencecah £85 juta sekaligus bakal memecahkan rekod kelab dan beliau sudah tentu bakal menjadi daya tarikan dalam jelajah pra-musim kali ini.
Jurgen Klopp juga sudah tentu tidak sabar untuk melihat sendiri dua lagi budak baru yang Liverpool beli, Fabio Carvalho dan Calvin Ramsay. Carvalho misalnya pasti akan menambah lebih sengat dalam bahagian serangan The Reds berikutan perpindahannya dari Fulham yang bernilai £7.7 juta. Manakala Ramsay tiba dari Aberdeen dengan yuran bernilai £6.5 juta dan sudah tentu pemain muda bakal menjadi ‘backup’ terbaik buat Trent Alexander-Arnold.
Sadio Mane, Divock Origi dan Takumi Minamino sudah pergi membawa haluan masing-masing meninggalkan Anfield dengan Neco Wiliams bakal menyusul tidak lama lagi berikutan minat dari Fulham dan Nottingham Forest terhadap pemain tersebut.
Bagaimanapun, masih terdapat satu persoalan yang berlegar dalam kepala peminat Liverpool ketika ini. Ada satu bahagian dalam pasukan yang pihak pengurusan kelab mungkin perlu perkuatkan sekiranya mereka berazam membolot semua piala yang ada musim hadapan.
Setahun yang lalu, ramai peminat berasa risau dengan pemergian Giorgio Wijnaldum yang berpindah ke Paris Saint-Germain. Tempat Wijnaldum tidak diganti dan sekarang situasi sama berulang kembali.
Keputusan Liverpool untuk tidak mencari pengganti Wijnaldum nyata tepat dimana mereka melaui kempen yang cukup cemerlang, membolot dua piala domestik dan sipi-sipi terlepas Liga Juara-Juara Eropah dan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
Persoalannya sekarang, adakah skuad yang mereka ada sekarang mampu mengulangi pencapaian yang sama tanpa muka baru di bahagian tengah ?
Bagi Klopp dan Direktor Sukan Liverpool Julian Ward, mereka mahu mencari pemain yang menjadi sasaran utama pada harga yang diterima akal berbanding membeli pemain yang sekadar tangkat muat sahaja. Dalam keadaan sekarang, Liverpool mungkin akan menunggu sehingga tahun 2023 sebelum membeli pemain tengah yang baharu, melainkan terdapat tawaran menarik yang muncul tiba-tiba dalam jendela perpindahan seperti yang berlaku terhadap Luis Diaz pada Januari lepas.
Semua orang tahu Liverpool amat meminati bekas pemain Monaco, Aurelien Tchouameni tetapi hati pemain itu sudah terkunci untuk menyertai Real Madrid. Selain itu, tanda harga €100 juta yang diletakkan terhadap pemain antarabangsa Perancis itu juga memaksa Liverpool untuk melihat ke tempat lain.
Pemain muda England, Jude Bellingham amat diminati Klopp dan staff kejurulatihan kelab, tetapi mereka tahu untuk menandatangani Bellingham musim panas ini adalah mustahil berikutan Borussia Dortmund baru sahaja kehilangan khidmat penyerang sensasi mereka, Erling Haaland kepada Manchester City.
Kontrak Bellingham pula masih lagi panjang dimana hanya akan tamat pada tahun 2025.
Jadi apakah situasi Liverpool sekarang ? Adakah bahagian tengah yang ada sekarang sudah memadai ?
Dari segi jumlah pemain, Liverpool memang sudah cukup pemain tengah. Klopp mempunyai 8 pemain senior yang boleh dipilih. Fabinho, Jordan Henderson, Thiago, Naby Keita, Curtis Jones, Harvey Elliott, James Milner dan Alex Oxlade-Chamberlain.
Carvalho pun dijangka akan bermain di bahagian tengah di masa hadapan. Namun begitu buat masa sekarang, Carvalho akan diberi peluang untuk bermain lebih ke hadapan di bahagian serangan.
Ketibaan Nunez memberi fleksibiliti kepada Klopp untuk bertukar formasi dari 4-2-3-1 kepada 4-4-2 bila-bila masa beliau mahu. Sebelum ini, Klopp lebih cenderung menggunakan formasi 4-3-3, formasi yang cukup sinonim dengan Liverpool. Bagaimanapun Klopp mmahu elemen kejutan dalam skuad Liverpool musim hadapan dimana beliau boleh menukar formasi tanpa sebarang masalah.
Bahagian tengah merupakan bahagian dimana Klopp sering melakukan penggiliran musim lepas dimana mereka mengharungi 63 perlawanan dalam semua pertandingan.
Pemain paling dikerap pilih Klopp adalah Fabinho, Henderson dan Thiago. Mereka bermain bersama sebanyak 11 kali dalam musim 2021/2022. Apabila mereka cergas, mereka bertiga adalah pilihan utama Klopp.
Thiago cemerlang apabila beliau dipilih bermain dan berhak berada dalam skuad Tahunan PFA. Walau bagaimanapun kecederaan memaksa pemain Sepanyol untuk terlibat dalam 25 perlawanan liga sahaja dari 38 perlawanan.
Fabinho, Henderson, dan Keita pula bermain bersama sebanyak 5 perlawanan. Sama banyak dengan trio Fabinho, Henderson dan Jones. Elliott mungkin boleh terlibat lebih banyak sekiranya beliau tidak ditimpa kecederaan serius ketika menentang Leeds pada bulan September tahun lepas. Elliott dijangka memainkan peranan lebih besar apabila musim 2022/2023 bermula tidak lama lagi.
Henderson yang baru sahaja menginjak usia 32 tahun, mempunyai minit permainan paling banyak dalam kalangan pemain tengah Liverpool musim lalu. Beliau bermain 3,869 minit dalam semua pertandingan diikuti Fabinho (3,690), Thiago (2,381), Keita (2,083), Jones (1,528), Oxlade-Chamberlain (1,524) dan Milner (1,387).
Dari segi serangan, Fabinho mendahului carta dengan 8 gol manakala Henderson paling banyak bantuan gol dengan 6 assist.
Awal bulan ini menyaksikan Milner melanjutkan kontraknya setahun lagi sekaligus beliau akan terus menyarung jersi Liverpool apabila mencecah usia 37 tahun tidak lama lagi. Beliau terlibat dalam 39 perlawanan pada musim 2021/2022 dengan 25 daripadanya masuk sebagai pemain gantian.
Bagi Keita pula, ia merupakan tahun naik turun buat pemain antarabangsa Guinea ini. Beliau membuat sumbangan penting, terutamanya separuh masa ke-2 musim lalu, tetapi hanya diberikan beberapa minit untuk tampil pada lewat permainan ketika Liverpool tumpas di tangan Real Madrid dalam aksi final Liga Juara-Juara Eropah.
Keita sebenarnya beraksi lebih banyak perlawanan liga musim 2021/2022 dari musim-musim sebelumnya. Beliau membuat 14 penampilan Liga Perdana Inggeris musim lalu, yang mana jumlah tersebut mungkin lebih tinggi sekiranya beliau tidak terlibat dalam Piala Negara Afrika.
Liverpool kini sedang berusaha untuk melanjutkan kontrak Keita yang mana kontrak sedia ada bakal tamat pada musim panas tahun hadapan. Pemain berusia 27 tahun ini yang dibeli pada harga £52.75 juta melalui karier naik turun dengan Liverpool tetapi Klopp tetap setia mempercayai kebolehan Keita.
Seorang pemain Liverpool yang mungkin akan berpindah musim panas ini adalah Alex Oxlade-Chamberlain. Liverpool tidak akan menghalang beliau untuk berpindah sekiranya muncul tawaran yang setimpal dan peluang untuk Chamberlain bermain lebih kerap.
Chamberlain kini berusia 28 tahun, mempunyai baki setahun dalam kontraknya dan dinilai pada harga sekitar £10 juta.
Beliau hanya terlibat 7.4% minit permainan pada musim 2020/2021 dan angka tersebut naik sedikit kepada 23% musim lepas. Bagaimanapun, Chamberlain belum mampu bermain 1/3 dari minit permainan yang ditawarkan sepanjang bergelar pemain Liverpool.
Chamberlain mempunyai 29 penampilan dalam semua pertandingan musim 2021/2022, dengan 12 daripadanya adalah dari bangku simpanan. Bekas pemain Arsenal semakin lama semakin dipinggirkan Liverpool. Paling diingati beliau tidak dipanggil bermain ketika Liverpool menumpaskan Nottingham Forest dalam aksi Piala FA pada Mac lepas.
Apa yang berlaku selepas ini mungkin akan menentukan masa depan Chamberlain bersama Liverpool. Sekiranya beliau melalu pra-musim yang bagus, Chamberlain mungkin beranggapan beliau patut terus kekal dan berjuang untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama Liverpool.
Sekiranya Liverpool tidak membuat sebarang pembelian, peminat mungkin melihat pemergian Chamberlain sebagai satu risiko buat skuad mereka.
Klopp perlu berharap trio Fabinho, Henderson, dan Thiago sentiasa cergas untuk bermain, Keita berkembang menjadi pemain yang lebih bagus, Milner pula melupakan usianya yang makin tua, dan Elliott dan Jones mampu menggalas tanggungjawab yang lebih berat pada usia yang muda.
Akhir kata, You’ll Never Walk Alone. Our Team Don’t Divide. Our Team Go To Hill Wembley.