Adebayor Nyatakan Kebenciannya Terhadap Wenger, Puji Kejujuran Mourinho

Bekas pemain Arsenal, Emmanuel Adebayor mengakui beliau masih lagi bencikan Arsenal walaupun telah meninggalkan pasukan tersebut 9 tahun yang lalu sambil menambah Arsene Wenger adalah seorang pengurus yang tidak jujur berbanding Jose Mourinho.

Adeabyor meninggalkan Arsenal dalam keadaan yang agak kontroversi dengan ramai mendakwa pemain ini mengejar duit apabila bertindak menyertai Manchester City ketika itu.

Aku puas, aku puas

Adebayor ditandatangani Wenger pada tahun 2006 dari Monaco. Beliau bermain bersama Arsenal selama 3 tahun setengah dan berjaya menunjukkan prestasi yang agak baik sebelum dijual kepada Manchester City pada tahun 2009.

Penyerang antarabangsa Togo ini kini bermain di Liga Super Turki bersama pasukan Istanbul Basaksehir. Adebayor menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang keinginan untuk berpindah keluar dari Arsenal ketika itu dan mendakwa beliau sebenarnya telah ditolak keluar oleh Wenger.

Adebayor juga menggelarkan Wenger sebagai seorang yang tidak jujur dan lebih suka sikap bekas pengurusnya ketika di Real Madrid, Jose Mourinho yang lebih jujur dalam semua perkara.

Aku tak lut dikutuk

“Jose Mourinho adalah salah seorang pengurus yang saya sayang dan akan terus disayangi. Beliau adalah salah seorang pengurus yang paling jujur pernah saya jumpa dalam karier saya.”

“Ia agak gila kerana kebanyakan pengurus adalah jenis yang tidak jujur dan bermuka-muka. Seperti contoh, saya ada berbincang dengan Arsene Wenger di pejabatnya dan beliau memberitahu yang saya perlu berpindah kerana beliau tidak melihat masa depan saya bersama Arsenal lagi.”

“Jadi, disebabkan perkara itu, saya tidak mempunyai pilihan lain lagi melainkan menyertai Manchester City yang mana kelab yang saya gembira untuk sertai.”

“Keesokan harinya selepas saya menyertai Manchester City, saya melihat sidang media Arsene Wenger di London. Beliau berkata saya mahu berpindah kerana gaji tinggi yang dibayar City. Itulah detik dimana saya mula menyimpan dendam terhadap Arsenal.”

Run Forest Run

Adebayor mencetuskan kontroversi pada musim pertamanya bersama Manchester City apabila berlari sepanjang padang untuk meraikan jaringannnya dihadapan penyokong Arsenal selepas menjaringkan gol dalam kemenangan 4-2 City ke atas Arsenal di Stadium Etihad.

Beliau telah dikenakan denda £25,000 atas insiden tersebut, tetapi Adebayor percaya tindakannya menyambut jaringan di hadapan penyokong Arsenal adalah tepat.

“Apa yang terbuku dalam kepala saya ? Seorang banduan yang keluar dari penjara dan bebas. Saya bermain bersama Arsenal selama 3 tahun setengah dan mereka membeli saya dengan nilai £3 juta.”

“Saya masih mempunyai baki 5 tahun kontrak dan mereka melepaskan saya dengan harga lebih £20 juta ? Bukan saya yang meninggalkan pasukan semata-mata kerana wang dan mereka turut mengejek saya tanpa henti.”

BACA:  Guardiola Beri Petanda Akan Kembali Dapatkan Mahrez Musim Panas Nanti