Arsenal baru sahaja mengumumkan perjanjian selama 5 tahun bernilai £300 juta bersama Adidas yang bakal bermula pada musim 2018/2019, menggantikan perjanjian lama dengan Puma yang akan tamat penghujung musim ini.
Puma merupakan penaja rasmi bagi jersi Arsenal sejak tahun 2014 tetapi kelab tersebut sudah lama mencari penaja baru bagi menggantikan jenama berkenaan memandangkan Chelsea dan Manchester United menerima tajaan hampir dua kali ganda melebihi apa yang diterima Arsenal.
Arsenal sebelum ini menerima hampir £30 juta dari Puma setiap tahun untuk mendapatkan hak menaja jersi kelab tersebut.
Pengumuman penajaan baru ini bakal menyaksikan Arsenal menerima lebih £60 juta setahun dari Adidas dan menyertai kelab ternama Eropah yang lain dalam memperagakan jenama tersebut pada jersi mereka.
Kali terakhir Arsenal bekerjasama dengan Adidas adalah pada tahun 1994, iaitu hampir 24 tahun yang lalu. Sejak daripada itu, Nike mengambil alih peranan sebagai penaja rasmi jersi Arsenal selama hampir dua dekad selepas Arsenal berjaya memenangi ‘European Cup Winners’ Cup’.
Bekas pemain Arsenal pada era 90-an, Ian Wright nyata gembira dengan perjanjian tersebut dan menulisnya menerusi Twitter.
“Gembira untuk mengetahui Adidas kembali menaja Arsenal untuk beberapa musim yang akan datang. Terutamanya selepas melihat prestasi Puma selama ini.”
Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan menerusi laman web rasmi Arsenal, perjanjian bersama Adidas bakal bermula awal musim hadapan.
“Arsenal dan Adidas telah bersetuju untuk memeterai perjanjian tajaan jersi, bermula dari 1 Julai 2019.”
Walaupun perjanjian ini dianggap antara yang termahal di Liga Perdana Inggeris, ia masih lagi jauh ketinggalan jauh di belakang beberapa pasukan ternama Eropah seperti Barcelona, Real Madrid dan Bayern Munich.
Manchester United misalnya menerima tajaan jersi paling tinggi di England, iaitu sekitar £75 juta setahun. Manakala Chelsea menerima jumlah sama dengan apa yang bakal diterima Arsenal musim hadapan.
Tottenham pula hanya menerima £30 juta setahun dari Nike dan juara bertahan, Manchester City £20 juta setahun.
Barcelona menerima tajaan jersi paling tinggi di dunia, iaitu £120 juta setahun dari Nike. Adidas pula menandatangani perjanjian selama 20 tahun bersama Real Madrid bagi memastikan kelab tersebut memperagakan jenama berkenaan pada jersi mereka. Perjanjian tersebut dianggarkan berjumlah £102 juta setahun.
Adidas merupakan jenama yang berasal dari Jerman dan tidak mengejutkan untuk mengetahui Bayern Munich menerima £85 juta setiap tahun dalam bentuk tajaan jersi.