Newcastle Menang Tipis Selepas Melakukan Kebangkitan Luar Biasa
Walaupun Newcastle menjaringkan 4 gol dalam tempoh 11 minit di separuh masa pertama tetapi penyokong di St James’ Park tetap berasa berdebar hingga wisel penamat. Mereka terpaksa menunggu hingga saat akhir sebelum memastikan kemenangan ke atas Nottingham Forest.
Pasukan Eddie Howe bermula dengan buruk apabila Callum Hudson-Odoi membuka jaringan untuk Forest selepas memanfaatkan kesilapan dari Jacob Murphy. Namun,l Newcastle bangkit dengan pantas.
Pemain muda berusia 18 tahun, Lewis Miley menyamakan kedudukan pada minit ke-23. 2 minit kemudian, Murphy menebus kesalahannya dengan menjaringkan gol ke-2 Newcastle. Alexander Isak menambah 2 lagi gol, satu menerusi penalti dan satu lagi hasil rembatan yang terkena pemain lawan untuk memberikan Newcastle kelebihan besar.
Namun, keadaan kembali tegang di separuh masa ke-2 apabila Nikola Milenkovic merapatkan jurang menjadi 4-2. Gol lewat Ryan Yates menjadikan kedudukan 4-3. Newcastle bertahan dengan segala kudrat untuk memastikan kemenangan ini.
Newcastle Amat Memerlukan Kemenangan Ini
Newcastle sangat memerlukan 3 mata selepas kekalahan hambar kepada Manchester City minggu lalu. Mereka juga tewas dalam 2 perlawanan berturut-turut sebelum ini kepada Bournemouth dan Fulham. Jadi kemenangan ini amat penting untuk mengembalikan keyakinan pasukan.
Meskipun kemenangan ini penting, ia tidak datang dengan mudah. Kesilapan awal membolehkan Hudson-Odoi menjaringkan gol dan separuh masa kedua penuh dengan kegelisahan apabila Forest memberi tekanan.
Di hadapan pemilik kelab, Yasir Al-Rumayyan Newcastle menunjukkan semangat juang yang tinggi. Mereka kini naik ke tangga ke-5 liga dan membuktikan bahawa tumpuan mereka tidak terjejas menjelang perlawanan akhir Piala Carabao bulan depan.
Ia bukan prestasi yang sempurna tetapi Newcastle kini kembali bersaing di peringkat tertinggi. Dalam situasi sebegini, menang dengan apa cara sekalipun tetap satu kejayaan besar.
11 Minit Yang Mengubah Segalanya
Apabila momentum berpihak kepada Newcastle di St James’ Park, kesannya sangat besar.
Selepas gol awal Hudson-Odoi yang mengejutkan penyokong tuan rumah, Newcastle mendominasi permainan dengan hampir 80% untuk 20 minit pertama. Namun mereka kurang kreativiti di kawasan serangan.
Ketika Newcastle memerlukan sesuatu untuk menghidupkan permainan, pemain muda Miley muncul dengan penyudah hebat ke penjuru bawah gawang. Gol ini mengubah rentak permainan sepenuhnya.
Dari minit ke-23 hingga ke-34, Newcastle menjaringkan 4 gol berturut-turut. Beberapa gol mereka mungkin bernasib baik (termasuk biasan pada 2 gol dan penalti yang hampir diselamatkan) tetapi serangan pantas Newcastle berjaya merobek pertahanan Forest.
Gol ke-2 Isak adalah contoh terbaik. Newcastle membina serangan dari penjaga gol mereka, Nick Pope ke bahagian tengah melalui Joe Willock sebelum Isak menyudahkan peluang dengan rembatan yang terkena pertahanan lawan.
Dalam konteks musim ini, tempoh 11 minit itu boleh menjadi detik penentu buat Newcastle.
Isak: Penyerang Berbisa Dengan 50 Gol Liga Perdana
Penalti Isak diambil dengan gaya yang berisiko. Gerakan stop-start yang cuba mengelirukan penjaga gol. Walaupun sepakannya hampir diselamatkan bola tetap masuk ke gawang.
Hanya seminit selepas itu, Newcastle melancarkan satu lagi serangan pantas. Willock melakukan hantaran, Isak membiarkan bola melepasi dirinya sebelum melakukan rembatan. Bola terkena pertahanan lawan sebelum masuk ke gawang.
Dengan gol ini, Isak kini telah menjaringkan 50 gol dalam Liga Perdana. Hanya 6 pemain dalam sejarah liga mencapai angka itu lebih pantas daripadanya. Tidak syak lagi, dia berada di tahap yang cukup tinggi sebagai seorang penyerang.
Apa Kata Eddie Howe?
Selepas perlawanan, pengurus Newcastle, Eddie Howe berkata:
“Perlawanan yang gila. Kami tunjukkan sisi terbaik dan terburuk kami dalam 90 minit ini. Separuh masa pertama kami bermain cemerlang – dinamik, pantas, agresif. Tapi di separuh masa kedua, kami hilang rentak dan sukar mendapatkannya semula.”
“Dalam bola sepak, drama seperti ini sering berlaku. Sekarang cabaran buat kami adalah mencari cara untuk lebih konsisten, bukan saja dari satu perlawanan ke perlawanan lain, tetapi dalam setiap perlawanan itu sendiri.”
“Namun, kami menang dan itu yang paling penting. Pemain menunjukkan karakter hebat untuk bangkit selepas ketinggalan awal. Banyak perkara positif boleh diambil, dan ada juga yang perlu diperbaiki.”