Al Nassr Sudah Hubungi Ejen Kevin De Bruyne

Al Nassr dilaporkan sudah menghubungi ejen Kevin de Bruyne untuk mengadakan satu perjumpaan dalam usaha kelab Saudi Pro League tersebut memancing bintang Manchester City itu.

Cristiano Ronaldo adalah pemangkin kepada deretan pemain bintang dari Eropah beraksi di negara Timur Tengah itu apabila menyertai Al Nassr daripada Manchester United pada Disember tahun lalu.

Sejak Ronaldo, beberapa nama besar bola sepak Eropah seperti Karim Benzema, Neymar, N’Golo Kante dan Jordan Henderson turut mengikut jejak langkah bintang Portugal itu berhijrah ke Arab Saudi.

Dan selepas pelaburan besar pada jendela perpindahan musim panas lalu, kelab-kelab Arab Saudi dikatakan akan meneruskan usaha memancing bintang Eropah, dengan Al Ittihad turut dilaporkan akan meneruskan usaha mendapatkan Mohamed Salah dari Liverpool selepas gagal berbuat demikian sebelum ini.

Tatkala khabar angin mengaitkan Salah dengan kelab Saudi Pro League sudah lali di kalangan peminat bola sepak, terbaru De Bruyne turut berada di dalam senarai pemain yang disasarkan.

Menurut laporan Rudy Galetti, Al Nassr telah menghubungi ejen pemain tengah Man City itu untuk mengadakan pertemuan dengan pemain itu sendiri sebelum bidaan dilakukan.

Ia adalah sebahagian daripada usaha untuk terus memperkasakan Saudi Pro League – dan menggandingkan Ronaldo dan De Bruyne di dalam satu pasukan dilihat sebagai sebahagian daripada projek jangka masa panjang tersebut.

Pemain antarabangsa Belgium itu masih mempunyai kontrak di Etihad sehingga 2025 selepas De Bruyne menandatangani kontrak baharu pada Mei 2021.

Al Nassr berkemungkinan hanya akan membida untuk De Bruyne pada jendela musim panas akan datang yang memerlukan bayaran yuran perpindahan.

Atau mereka boleh sahaja menunggu sehingga musim panas 2025 pada ketika pemain itu sudah bergelar ejen bebas.

City bagaimanapun berkemungkinan akan terdesak melepaskan De Bruyne pada penghujung musim ini untuk mengelak senario hilang pemain bintang mereka secara percuma.

Ronaldo bukan satu-satunya pemain berprofil tinggi yang beraksi bersama Al Nassr. Kelab itu turut diperkuatkan oleh bekas pemain sayap Liverpool, Sadio Mane, Alex Telles dan Marcelo Brozovic.

Bekas rakan sepasukan De Bruyne di Etihad, Aymeric Laporte turut menyertai Al Nassr pada jendela perpindahan musim panas lalu.

BACA:Β  Ramos Berdepan Penggantungan Perlawanan Daripada UEFA Atas Tindakannya Ketika Menentang Juventus