Alasan Mengapa Liverpool Masih Berusaha Untuk Menang Walau Sudah Layak Sebagai Juara Kumpulan

Walau sudah melayakan diri ke pusingan kalah mati, Liverpool tetap bermain dengan penuh semangat untuk memburu kemenangan menewaskan Porto awal pagi tadi.

Tidak dinafikan kesebelasan utama The Reds dalam perlawanan ini bukanlah dibarisi oleh pemain utama mereka, namun mereka tetap mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Jurgen Klopp menurunkan pemain muda Tyler Morton, Neco Williams, Kostas Tsimikas, Ibrahima Konate dan Takumi Minamino dalam kesebelasan utamanya.

Beliau merehatkan pemain seperti Virgil Van Dijk dan Trent Alexander Arnold untuk memberi ruang kepada barisan pemain muda beraksi.

Mohamed Salah tetap diturunkan dalam kesebelasan utama kerana beliau mahu menambah rekod jaringan beliau dan berusaha untuk terus memecah rekod yang ada.

Walau perlawanan ini sekadar aksi pelengkap jadual, namun Jurgen Klopp tetap meminta anak-anak buahnya untuk mempamerkan aksi terbaik dan memburu kemenangan.

Bukan hanya sekadar mahu mencatatkan rekod yang baik, namun Jurgen Klopp sebenarnya ada misi lain dalam meminta anak-anak buahnya untuk mencatatkan kemenangan dalam perlawanan ini.

Beliau sebenarnya mahu membantu Liverpool mendapatkan dana tambahan hasil duit kemenangan dari aksi dalam saingan Champions League.

Mungkin ramai yang tak tahu, setiap pasukan yang mencatat kemenangan dalam saingan Champions League, mereka akan menerima imbuhan yang agak lumayan.

Setiap pasukan akan menerima imbuhan bernilai €15.64 juta hanya untuk layak beraksi dalam saingan Champions League musim ini, tidak kira menang atau kalah, dapat beraksi sahaja sudah ada imbuhan.

Setiap pasukan juga akan diberikan €2.8 juta untuk setiap kemenangan yang berjaya mereka catatkan dalam aksi diperingkat kumpulan.

Sementara untuk keputusan seri pula, setiap pasukan akan menerima imbuhan bernilai €930,000 dan untuk yang kalah hanya dapat ucapan takziah sahaja.

Tambahan €9.6 juta akan diberikan kepada semua pasukan yang layak beraksi di pusingan 16 terbaik, dan akan diberikan lagi €10.6 juta seandainya layak ke peringkat suku akhir.

Beraksi di peringkat separuh akhir, setiap pasukan akan menerima tambahan €12.5 juta dan mereka akan terima lagi €15.5 juta seandainya layak beraksi di pentas perlawanan akhir.

Juara akan terima tambahan imbuhan bernilai €4.5 juta dan kesemua imbuhan ini tidak termasuk imbuhan penyiaran, dan bonus tambahan berdasarkan ranking mereka.

Bonus pada tahun ini sedikit lebih kurang dari musim sebelum ini mungkin kerana masalah ekonomi selepas dunia diserang wabak pandemik.

Ketika temu bual selepas tamat aksi bertemu Atletico sebelum ini, Jurgen Klopp telah ditanya adakah beliau akan menurunkan skuad muda untuk habiskan baki perlawanan atau kekal turunkan skuad utama.

Klopp pada ketika itu menegaskan yang beliau akan tetap menurunkan skuad terbaiknya kerana memikirkan hadiah kemenangan yang lumayan bakal mereka terima.

“Kamu akan terima banyak duit jika kamu menang perlawanan dalam saingan Champions League! Bukan saya secara peribadi, tapi ia untuk kelab, dan ia sangat penting jadi kami akan lakukan.”

“Sasaran utama adalah untuk melepasi peringkat kumpulan. Tapi kita sudah berjaya lakukan itu dengan baki dua perlawanan lagi. Apa kita boleh buat? Kita akan lihat nanti.”

“Ketika saya lihat pasukan dalam kumpulan, saya tak rasa kami akan lalui empat perlawanan dengan kemenangan, tapi para pemain berjaya melakukannya dan mereka sangat berhak untuk itu.”

Selepas tamat aksi bertemu Porto hari ini, Jurgen Klopp bertegang urat dengan salah seorang wartawan, yang meminta beliau meminta maaf kerana menyinggung perasaan warga Afrika.

Klopp diminta untuk meminta maaf atas komen beliau tentang Piala Benua Afrika

Jurgen Klopp telah diminta untuk meminta maaf atas komen yang beliau buat berkait Piala Benua Afrika oleh seorang wartawan yang dilihat sangat beremosi.

Wartawan tersebut dalam keadaan terasa hati meminta Klopp untuk meminta maaf atas komen beliau yang menganggap Piala Benua Afrika sebagai kejohanan kecil.

Jika ditanya tentang AFCON, individu yang paling tahu dan terkesan dengan pertandingan itu tentunya Jurgen Klopp yang akan kehilangan ramai pemain utama yang menyertai pertandingan tersebut.

Mohamed Salah, Sadio Mane dan Naby Keita akan menyertai pertandingan tersebut pada tahun hadapan, dan kesemua mereka merupakan nadi utama dalam sistem kendalian Jurgen Klopp.

Minggu lalu, pengurus Liverpool itu tampil bercakap tentang tiadanya rehat antarabangsa lagi sehingga Mac nanti, selepas berakhirnya aksi antarabangsa pada November ini.

Beliau kemudian teringat tentang pertandingan Piala Benua Afrika yang akan dilangsungkan di Cameroon pada tahun hadapan.

Secara sinis, pengurus Liverpool itu menggambarkan pertandingan tersebut sebagai pertandingan kecil, namun ungkapan yang beliau gunakan tidak disenangi oleh salah seorang wartawan dari Afrika.

Wartawan yang terkesan dan beremosi itu tampil dalam sidang media selepas aksi bertemu Porto hari ini, untuk meminta Jurgen Klopp meminta maaf atas komen yang beliau lakukan.

Walau bagaimanapun, pengurus berusia 54 tahun itu telah menjelaskan situasi sebenar dengan menyatakan yang wartawan tersebut salah faham dengan maksud beliau.

Jurgen Klopp menegaskan yang beliau tiada maksud untuk menghina, menyakiti atau melukai hati mana-mana pihak dari benua Afrika berkait komen beliau sebelum ini.

“Hi Jurgen, ketika sidang media lepas perlawanan sebelum ini, kamu dengan sengaja menyebut yang Piala Benua Afrika merupakan pertandingan kecil.”

Jelas salah seorang wartawan dari Paris, Ojora Babatunde ketika mempersoalkan tentang hal tersebut kepada Klopp.

“Saya rasa ia satu hinaan untuk pemain, hinaan untuk penyokong, hinaan untuk masyarakat di benua itu dan saya rasa kamu berhutang permohonan maaf.”

Selepas Jurgen Klopp menegaskan yang beliau tidak bermaksud seperti itu, Babatunde sekali lagi menegaskan yang komen pengurus Liverpool itu berunsur hinaan.

“Itulah apa yang kamu katakan, saya dengar sidang media itu dan kamu kata pertandingan benua Afrika pertandingan kecil, itulah apa yang kamu katakan.”

Bekas pengurus Borussia Dortmund itu akhirnya diberi kesempatan untuk membela diri dan menjelaskan situasi sebenar dengan menyatakan:

“Saya tidak bermaksud begitu, come on.”

“Jadi saya langsung tidak bermaksud ke situ, apa yang ada dalam fikiran saya adalah saya bukan mahu bercakap tentang Piala Benua Afrika sebagai pertandingan kecil atau Afrika benua yang kecil, bukan sama sekali.”

“Apa yang saya maksudkan adalah, jika kamu lihat temu bual itu secara keseluruhannya mungkin kamu akan faham dengan cara yang betul jika kamu mahu, kerana saya kata di sana tidak ada rehat antarabangsa sehingga Mac.”

“Kemudian saya kata, ‘oh ada satu pertandingan pada Januari’ dan saya tak maksudkan pertandingan itu kecil, saya mahu katakan yang itu tetap satu pertandingan, ia ironik. Ia masih tetap pertandingan, pertandingan besar. Kami hilang pemain terbaik kami untuk pertandingan itu.”

Pertandingan yang dimaksudkan itu sepatutnya dilangsungkan pada tahun lalu, dan ia telah ditunda pada Januari nanti dan akan berlangsung selama hampir sebulan.

Seandainya pasukan mereka berjaya layak sehingga aksi perlawanan akhir, maka Salah dan Mane akan terlepas tiga aksi dalam saingan Premier League dan berkemungkinan terlepas aksi pusingan kedua Piala FA.

Dengan Liverpool dilihat berpotensi untuk mencabar kejuaraan liga musim ini, kehilangan pemain penting sebenarnya memberi impak yang besar kepada skuad The Reds.

Ia sepertinya akan menjejaskan aksi Liverpool dalam usaha mereka untuk terus bersaing dengan Chelsea dan Manchester City dalam merebut kejuaraan Premier League musim ini.

Klopp jelas sekali sedar akan hal tersebut dan sindiran yang beliau maksudkan adalah kerana FIFA tidak memberikan rehat ketika pertandingan itu berlangsung.

Beliau akan kehilangan pemain penting yang bakal menyertai pertandingan itu, namun tiada rehat dan menyebabkan beliau tidak dapat menggunakan khidmat bintang-bintang utamanya itu.

Babatunde kemudian sedar yang Jurgen Klopp tidak bermaksud seperti itu dengan beliau terus mendiamkan diri tanda berpuas hati dengan jawapan yang beliau terima.

Jurgen Klopp berjaya memimpin Liverpool untuk mencatatkan kemenangan kelima mereka dalam aksi peringkat kumpulan saingan Champions League musim ini, selepas menewaskan Porto 2-0 di Anfield.

Thiago Alcantara berjaya menjaringkan gol yang cukup cantik dan padu untuk membuka tirai jaringan Liverpool dalam perlawanan ini.

Mohamed Salah kemudiannya berjaya menggandakan kedudukan pada minit ke-74 permainan untuk mengesahkan kemenangan 2-0 Liverpool menewaskan Porto di bumi Anfield.

Sumber: AS Soccer

BACA:  Reaksi Klopp Kepada Simeone Yang Koyak Teruk Sangat Priceless