Hanya beberapa minit selepas perlawanan bermula, Alexander Isak menunjukkan ‘mengapa Mikel Arteta begitu menginginkannya untuk pasukan Arsenal.’
Dalam separuh akhir pusingan kedua Piala Carabao antara Arsenal dan Newcastle United, Isak hanya memerlukan 4 minit untuk melakukan impak. Dia berjaya meloloskan diri dari kawalan pertahanan Arsenal, menerima hantaran Anthony Gordon dan melepaskan rembatan kencang ke penjuru atas gawang.
Namun selepas semakan VAR gol itu dibatalkan selepas. Aksi tersebut pasti meninggalkan kesan kepada Arteta. Isak hampir mengulangi kehebatannya ketika Newcastle menjaringkan gol pertama perlawanan. Dia sekali lagi melepaskan diri dari pertahanan Arsenal sebelum melakukan rembatan dengan kaki kiri tetapi percubaannya terkena palang sebelum bola disambar pemain Newcastle lain untuk jaringan pembukaan.
Jarang sekali seorang penyerang mencuri perhatian walaupun tidak menjaringkan gol. Selepas perlawanan, Arteta ditanya mengenai prestasi Isak dan dengan nada berat hati, dia menjawab:
“Saya bukan di sini untuk menilai pemain lawan tetapi jelas dia mempunyai dua peluang dan anda tahu apa yang berlaku.”
Arsenal Gagal Manfaatkan Peluang
Bagi Arteta, perlawanan ini adalah tentang perbezaan antara pasukan yang mengambil peluang dengan yang mensia-siakannya. Dia merujuk kepada satu saat penting dalam separuh masa pertama di mana Martin Ødegaard terlepas 2 peluang keemasan sebelum Newcastle menjaringkan gol.
“Kami ada peluang, 2 peluang besar dengan Martin,” kata Arteta. “Kami tidak memanfaatkannya—aksi seterusnya, mereka menjaringkan gol dan perlawanan berubah secara drastik.”
Arteta juga menegaskan bahawa dalam dua perlawanan terakhir menentang Newcastle, Arsenal kurang tajam di hadapan gol sedangkan lawannya lebih klinikal dalam penyudah.
Kekalahan ini bukan sekadar kerana peluang yang terlepas. Arsenal juga menunjukkan kelemahan luar biasa di bahagian pertahanan selain keletihan selepas jadual padat pada bulan Januari.
Satu perkara yang pasti, Arteta melihat perlawanan ini dalam konteks serangan dan kegagalan Arsenal mendapatkan penyerang baru pada jendela perpindahan Januari.
Kesilapan Perpindahan Arsenal
Arsenal tidak menandatangani penyerang baru pada Januari dengan harapan mereka boleh mendapatkan pemain utama pada musim panas. Alexander Isak berada di senarai teratas Arteta.
Namun realitinya kini mungkin berbeza. Melihat bagaimana Isak mengancam William Saliba dan Gabriel menimbulkan persoalan sama ada Arsenal masih berpeluang mendapatkan bintang Newcastle itu.
Isak bukan sekadar pemain biasa di Newcastle. Dia adalah bintang utama pasukan itu. Di menggalas status nombor 9 yang begitu dihormati di St. James’ Park walaupun memakai jersi nombor 14.
Dari sudut kontrak, Newcastle berada dalam kedudukan yang kukuh. Isak masih terikat dengan Newcastle sehingga 2028 dan Newcastle merancang untuk menawarkan lanjutan kontrak. Jika mereka layak ke Liga Juara-Juara, masalah kewangan akibat peraturan PSR (Profit and Sustainability Rules) akan berkurangan.
Dalam situasi ini, Arsenal perlu sedar mereka hanya mampu mendapatkan Isak jika mereka sanggup membayar harga yang sangat tinggi. Ia satu pelaburan besar yang mungkin di luar kemampuan mereka.
Pelajaran dari Kesilapan: Sasaran Seterusnya?
Pada Januari 2022, Arsenal sebenarnya sudah mengkaji kemungkinan menandatangani Isak. Dia berada dalam senarai pertimbangan bersama Dusan Vlahovic dan Dominic Calvert-Lewin. Namun, rekod jaringan Isak di La Liga hanya 6 gol dalam 32 perlawanan membuatkan Arsenal tidak mahu mengambil risiko dengan membayar harga tinggi.
Newcastle akhirnya mendapatkan Isak dengan harga £63 juta, lebih rendah daripada klausa pelepasan £75 juta yang ditetapkan Real Sociedad.
Keputusan Arsenal untuk tidak bertindak pada ketika itu kini kelihatan sebagai satu kesilapan besar. Mereka perlu belajar dari pengalaman ini. Jika mereka gagal mendapatkan pada Isak musim panas nanti, mereka perlu memastikan mereka tidak melepaskan pemain berbakat seterusnya.
Strategi yang lebih realistik untuk Arsenal adalah mencari penyerang muda yang mempunyai potensi besar tetapi masih belum mencapai tahap elit. Salah satu nama yang disebut-sebut ialah Benjamin Sesko.
Pemain Slovenia berusia 21 tahun itu sudah lama berada dalam radar Arsenal. Dia memilih untuk kekal di RB Leipzig pada Januari tetapi dijangka berpindah musim panas nanti. Arsenal kini perlu membuat keputusan sama ada mahu mengambil risiko ke atas bakatnya.
Sesko masih belum mencapai tahap Isak tetapi ada pihak di dalam Arsenal percaya dia boleh berkembang menjadi penyerang bertaraf dunia.
Jika Sesko menyertai kelab lain dan berjaya, Arsenal sekali lagi akan menyesali keputusan mereka, sama seperti kes Isak.