Fandi Ahmad bukanlah satu nama asing bagi peminat bola sepak bukan sahaja di Singapura, malah di Malaysia juga. Legenda Kota Singa ini pernah beraksi di Liga Malaysia suatu ketika dahulu dan muncul antara penyerang yang paling digeruni oleh pertahanan dan penjaga gol lawan.
Pada tahun 1983, Fandi muncul pemain pertama dari negara republik itu yang bermain di pentas Eropah selepas dia menerima tawaran kontrak daripada FC Gronigen di Belanda, dan bermain untuk kelab tersebut selama dua tahun.
Musim pertamanya di negara tersebut cukup cemerlang di mana dia telah menjaringkan dua gol dalam debutnya ketika menentang Go Ahead Eagles. Tiga hari kemudia, Fandi melakukan debut di pentas Eropah dalam perlawanan pusingan kedua Piala UEFA [sekarang Liga Europa] menentang Inter Milan.
Dalam perlawanan tersebut, Fandi telah menjaringkan satu gol dan pasukannya menang 2-0 dalam perlawanan pertama. Perlawanan kedua menyaksikan Gronigen tewas 1-5 kepada gergasi Itali tersebut. Sepanjang musim, Fandi telah beraksi dalam 29 perlawanan dan menjaringkan 10 gol.
Musim berikutnya menyaksikan Fandi bergelut dengan kecederaan dan hanya mampu tampil dalam tujuh perlawanan dan menjaringkan satu gol, lantas membuatkan kontraknya tidak disambung dan dia pulang ke Asia Tenggara untuk mewakili Kuala Lumpur.
Bersama Kuala Lumpur, Fandi telah menjulang Piala Malaysia pada tahun 1987 dan pada musim berikutnya dia muncul sebagai pemenang kasut emas dengan 21 gol dan sekali lagi memenangi Piala Malaysia.
Selepas tiga kali berturut-turut menjulang piala yang paling berprestij di Malaysia, Fandi berkelana ke Greece namun dinafikan untuk beraksi kerana masalah ITC, dan kembali ke Malasia untuk mewakili Pahang.
Tahun 1999 merupakan tahun terakhir Fandi beraksi selaku pemain professional, ketika dia bersama pasukan Angkatan Tentera Singapura.
Sudah lama menggantung but, legasi Fandi kini diteruskan oleh anak-anaknya yang lincah dan tinggi lampai. Mungkin ada yang tertanya-tanya apa rahsia fizikal yang tinggi dan sasa anak-anak Fandi ini?
Ada beberapa sebab seperti pemakanan dan sebagainya, namun yang jelas anak-anak Fandi memiliki DNA dari Afrika Selatan menerusi ibu mereka, Wendy Jacobs.
Perkahwinan pada tahun 1996 tersebut telah melahirkan lima cahaya mata dengan empat daripadanya adalah lelaki.
Pada tahun lalu, Wendy telah memuat naik di laman instagramnya di mana dia ‘mengeluh’ jarang dapat bersama anak-anaknya secara serentak memandangkan sebahagian daripada mereka sedang mengembangkan bakat bola sepak di negara-negara luar.
“Family goal. Gambar terakhir kami sebagai satu keluarga yang lengkap. Siapa cakap lima dah cukup mereka telah membesar menjadi lelaki dan wanita dewasa dalam sekelip mata. Tak lama lagi hanya aku dan bayi besar aku [Fandi Ahmad lah tu]. Tak kira dekat atau jauh, hati ini mempunyai tempat yang istimewa untuk setiap seorang,” tulis Wendy di IG nya.
Jadi, mari kita berkenalan dengan anak-anak Fandi Ahmad, termasuk yang telah menjaringkan gol kemenangan ke atas Malaysia dalam perlawanan Tri-Nation Cup.
Irfan Fandi
Jejaka tampan yang mempunyai ketinggian 1.88 meter ini bermain untuk kelab Thailand, BG Pathum United selaku pertahanan tengah. Pada musim lalu, dia bersama rakan sepasukan telah muncul selaku juara Thai League 1, menjadikannya sebagai pemain Singapura pertama yang berjaya melakukannya.
Ketinggian dan fizikalnya yang tegap menjadikan pemain yang berusia 25 tahun ini sebagai aset penting kelab dan juga pasukan kebangsaan Singapura. Dengan kata lain, Irfan boleh dianggap sebagai pemain import tambahan kepada mana-mana pasukan yang diwakilinya.
Bermain untuk kelab utama di Bangkok serta mempunyai wajah yang boleh tahan tampan, Irfan sering menjadi perhatian para gadis namun model dan bekas ratu cantik Thailand, Anntonia Porslid, adalah bunga yang berjaya menawan hati sang kumbang ini.
Ikhsan Fandi
Bermain di posisi serangan seperti ayahnya, Fandi Ahmad, Ikhsan berkelana ke Eropah sejak tahun 2018 di mana dia bermain untuk pasukan Raufoss. Pada tahun 2020, Ikhsan telah berpindah ke FK Jerv dan telah beraksi sebanyak 24 kali buat kelab dan menjaringkan empat gol serta mencipta satu assist.
Pada tahun ini, pemain berusia 23 tahun ini telah mengikut jejak langkah abangnya dengan menyertai BG Pathum United dan setakat 15 perlawanan yang telah dia diturunkan, Ikhsan telah menjaringkan sembilan gol dan mencipta satu assist. Memang padu!
Iman Fandi
Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi – mungkin ini adalah pepatah yang boleh digunakan untuk menggambarkan betapa Iman Fandi telah memfotostat ibunya. Berbading adik beradik lain yang aktif dalam sukan, gadis berusia 22 tahun ini lebih aktif dalam arena hiburan.
Iman merupakan seorang model, influencer, pelakon dan kini dia juga merupakan seorang penyanyi. Pada tahun 2019, Iman muncul sebagai bintang dalam siri drama remaja Emerald Hill High.
Pada tahun lalu, gadis berketinggian 1.69 meter ini telah mendapat tawaran kontrak daripada Universal Music Singapura dan telah melancarkan single pertamanya, Timeframe pada bulan Februari. Di sebalik kesibukan sebagai selebriti, Iman tetap tidak lupa kepentingan pelajaran di mana dia merupakan pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang psikologi daripada TMC University di Singapura.
Ilhan Fandi
Pemain yang mempunyai ketinggian 1.82 meter ini merupakan pemain tengah dan juga penyerang bagi pasukan Liga Perdana Singapura, Young Lions – kelab yang disertainya sejak tahun 2019.
Berusia 20 tahun, Ilhan mempunyai masa depan yang cerah seperti dua abangnya dalam bola sepak. Kepantasan kakinya, ditambah dengan pergerakan lincah dan ketenangan di atas padang, rakyat Singapura membandingkannya dengan penyerang legenda Noh Alam Shah.
Walaubagaimanapun aksinya pada musim ini agak terhad selepas dia mengalami kecederaan pada penghujung musim lalu ketika mewakili pasukan kebangsaan negaranya menentang Kyrgyztan.
Iryan Fandi
Anak bongsu Fandi dan Wendy ini baru berusia 16 tahun tetapi sudah memiliki ketinggian yang lebih daripada ayahnya. Iryan kini sedang belajar di sekolah menengah di Singapura dan sangat aktif dalam bidang sukan.
Dalam bola sepak, dia memiliki skill yang sama seperti abang-abangnya tetapi minatnya lebih kepada sukan ragbi. Dalam satu temubual, Iryan pernah mengatakan bahawa cita-citanya adalah untuk menjadi pemain ragbi professional di negara kelahiran ibuanya, Afrika Selatan.
Dengan fizikal yang ada, tidak mustahil impian remaja ini akan menjadi kenyataan.
Sumber :
8days
transfermarkt
Featured image diambil dari : instagram Wendy Jacobs