Analisis Kehebatan Alisson dalam Perlawanan Menentang PSG

Dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2022, Liverpool mendominasi Real Madrid tetapi tewas kerana aksi luar biasa Thibaut Courtois. Namun, pada perlawanan pusingan 16 Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain (PSG) baru-baru ini, Liverpool merasai pengalaman sebaliknya.

Kali ini, mereka mendapat manfaat daripada persembahan gemilang Alisson Becker, yang memberikan satu aksi penjaga gol bertaraf dunia. Tanpa kehebatannya, Liverpool mungkin sudah tersingkir dari kejohanan ini lebih awal.

Secara keseluruhan, Alisson berdepan 27 percubaan dan melakukan 9 aksi penyelamatan termasuk 4 kali menafikan percubaan Khvicha Kvaratskhelia yang sedang berada dalam prestasi terbaik. Beliau juga menggagalkan usaha Ousmane Dembele serta Desire Doue, membantu Liverpool mencatat kemenangan 1-0 walaupun hanya mempunyai 1 percubaan tepat sepanjang perlawanan. Pada saat tertentu, Alisson kelihatan sebagai satu-satunya benteng yang menghalang PSG daripada membelasah pasukan pelawat.

Namun, sumbangannya bukan sekadar di hadapan gawang. Dalam situasi yang membawa kepada jaringan kemenangan Harvey Elliott pada minit ke-87, Alisson memainkan peranan penting dengan melancarkan serangan melalui hantaran panjang tepat kepada Darwin Nunez yang kemudiannya mengumpan bola kepada Elliott untuk menyudahkan gol tunggal perlawanan.

Aksi Penyelamatan Terbaik

Dua aksi penyelamatan yang paling mencuri tumpuan dalam perlawanan ini ialah tindak balas refleksnya terhadap percubaan Kvaratskhelia pada minit ke-37 dan lompatan penuhnya untuk menyelamatkan cubaan Doue pada minit ke-80. Kedua-dua aksi ini membuktikan mengapa Alisson begitu sukar ditewaskan apabila berada dalam prestasi terbaik.

1. Penyelamatan Terhadap Percubaan Kvaratskhelia

Percubaan terbaik Kvaratskhelia bermula dari sebelah kiri padang, di mana pada awalnya Liverpool mempunyai kawalan yang baik dengan 6 pemain berada dalam posisi bertahan. Namun, pemain Georgia itu menunjukkan kehebatannya dengan menggelecek 2 pemain sebelum berdepan 1 lawan 1 menentang Ibrahima Konate.

Sebagai penjaga gol, Alisson mahukan pemain pertahanan menekan penyerang keluar dari kawasan berbahaya, kerana ia akan menjadikannya lebih mudah untuk mengawal sudut rembatan dan membaca arah bola. Namun, Kvaratskhelia merupakan pemain yang lincah, mampu memperdaya pertahanan dengan kawalan bola yang dekat sebelum melakukan larian pantas ke ruang kosong.

Konate menyedari ancaman ini dan segera menutup ruang tetapi Kvaratskhelia tetap berjaya melepaskan rembatan. Ketika itulah Alisson menunjukkan kepakarannya. Dengan keseimbangan yang sempurna, beliau bergerak ke kiri dan bersedia untuk bertindak.

Ketika Konate cuba menghalang bola dengan melunjurkan kakinya, bola terkena sedikit dan mengubah arah, menjadikannya lebih sukar untuk Alisson membaca pergerakan bola. Namun, Alisson bertindak pantas dengan mencengkam kaki kirinya ke tanah untuk mengubah arah tubuhnya dan melompat ke kanan, menghasilkan penyelamatan luar biasa, yang berjaya menepis bola keluar.

Keupayaan untuk mengubah arah secara spontan selepas bola terpesong daripada haluan asal adalah sesuatu yang sukar dilakukan tetapi Alisson berjaya melakukannya dengan sempurna.

2. Penyelamatan Terhadap Percubaan Doue

Dalam situasi lain pada minit ke-80, Alisson sekali lagi menjadi penyelamat. Ketika Doue mara dari sayap kanan dan cuba memintas Trent Alexander-Arnold, Alisson pada mulanya berada di near post untuk bersedia menghadapi kemungkinan hantaran lintang atau rembatan terus.

Apabila Doue melalui cut in untuk melakukan rembatan, Alisson segera menyesuaikan posisinya. Pada saat ini, Wataru Endo memainkan peranan penting dengan segera menutup ruang dan memastikan badannya berada dalam kedudukan betul untuk menutup bahagian kanan gawang.

Ini memberikan kelebihan kepada Alisson, yang dapat membaca arah bola dan menumpukan perhatiannya untuk melompat ke kiri dengan sepenuh tenaga. Dengan lompatan bertenaga, beliau menggunakan kedua-dua tangan untuk menepis bola keluar sekaligus menyelamatkan Liverpool daripada dibolosi pada saat genting.

3. Kehebatan Berterusan Alisson

Sejak menyertai Liverpool pada 2018, aksi penyelamatan seperti ini bukan perkara asing bagi Alisson. Berulang kali, beliau muncul sebagai watak utama dalam detik-detik penting yang menentukan kejayaan pasukan.

Pengurus Liverpool, Arne Slot, memuji penjaga golnya selepas perlawanan.

“Saya tidak pernah bekerja dengan penjaga gol pada tahap ini dan itu sesuatu yang normal kerana dia adalah yang terbaik di dunia,” kata Slot. “Saya pernah melatih ramai pemain hebat tetapi saya tidak pernah memiliki penjaga gol terbaik dunia dan itulah dia. Dia membuktikannya hari ini.”

Ketika Liverpool menjuarai Liga Juara-Juara pada 2019, penyelamatan penting Alisson dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Napoli menjadi titik tolak kejayaan mereka. Tanpa penyelamatan itu, Liverpool mungkin tidak akan mara ke pusingan kalah mati, apatah lagi menjadi juara.

Pada perlawanan menentang PSG, Liverpool sekali lagi mendapat detik penting daripada Alisson. Walaupun tiada satu penyelamatan yang seikonik aksi menentang Napoli, keseluruhan prestasinya dalam perlawanan ini cukup luar biasa. Malah, Alisson sendiri mengakui bahawa ini mungkin “persembahan terbaik dalam hidupnya”.

Liverpool kini berada dalam kedudukan selesa menjelang aksi timbal balik di Anfield. Jika mereka mampu mengekalkan ketahanan seperti ini, tidak mustahil impian menjulang trofi Liga Juara-Juara sekali lagi dapat direalisasikan.

BACA:  Henderson Enggan Berpindah Walaupun Diminta Tinggalkan Liverpool Ketika Era Brendan Rodgers