Klopp Sindir Kaedah Chelsea Berbelanja Selepas Dua Pemain Reject Liverpool

Pengurus Liverpool Jurgen Klopp tidak teragak-agak menyindir dan pada masa yang sama seperti melepaskan geram kepada Chelsea yang menjadi punca Liverpool hilang peluang mendapatkan dua pemain sasaran utama kelab Merseyside itu.

Hanya dalam tempoh dua hari, Liverpool yang sebelum ini yakin akan mendapatkan Moises Caicedo dan Romeo Lavia dilanda kekecewaan selepas kedua-dua pemain menolak peluang untuk ke Anfield dan memilih untuk menyertai Chelsea.

Liverpool terdesak untuk memperkasakan bahagian tengah pasukan untuk musim 2023/24 selepas membenarkan
Jordan Henderson, Fabinho, Naby Keita, James Milner dan Alex Oxlade-Chamberlain meninggalkan kelab itu pada musim panas ini.

Malah bidaan rekod kelab bernilai £111 juta daripada Liverpool yang sudah dipersetujui bersama Brighton untuk Caicedo kini hanya tinggal sejarah.

Kekecewaan Liverpool kemudiannya berilang apabila Romeo Lavia menegaskan hanya mahu menyertai Chelsea.

Sebelum kelab London itu melakukan bidaan untuk Lavia, Liverpool telah menghantar tiga bidaan untuk pemain tengah berusia 19 tahun dari Southampton itu – dan semuanya ditolak.

Ditanya oleh Sky Sports mengenai peperangan di antara Liverpool dan Chelsea yang bersaing untuk mendapatkan kedua-dua pemain selepas pertemuan di antara kedua-dua pasukan yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 pada hujung minggu lalu, Klopp dengan sinis menyindir cara Chelsea berurusniaga.

“Mana kamera? Tidak [saya tidak boleh komen]. Oh, itu [mengenai pemain baharu mereka], adalah semua pengurus Chelsea mahukan, dan biasanya mereka akan berjaya mendapatkan pemain yang mereka mahukan!

“Saya tidak ada benda lain yang boleh diperkatakan. Saya minta maaf.”

Komen Klopp itu seolah-olah menyindir perbelanjaan besar Chelsea pada musim ini, yang telah membelanjakan lebih £800 juta sejak kelab itu diambil alih oleh pemilik baharu, Todd Boehly.

Komen Klopp itu juga dilihat sebagai nada kekecewaan Liverpool gagal bersaing dengan Chelsea dari segi kewangan untuk mendapatkan pemain yang mereka harapkan.

Pada jendela perpindahan musim panas ini The Blues sudah membelanjakan hampir £300 juta untuk lapan pemain di era Mauricio Pochettino.

BACA:  Ince: Kehilangan Coutinho Merupakan Perkara Terbaik Yang Mampu Terjadi Kepada Liverpool