Kisah Ayam, Burung Helang dan Jarum Emas

Pada zaman dahulu, ketika zaman haiwan boleh bercakap dan tidak berbalah, terdapat seekor ayam yang tinggal di dalam hutan. Ayam yang bernama Kulopp ini sering mencari makanan seperti cacing di dalam hutan.

Meskipun ayam boleh makan makanan lain seperti buah epal, kismis ataupun nasi dingin, cacing merupakan makanan kegemaran Kulopp.

Pada suatu hari, Kulopp berpusing-pusing di dalam hutan mencari cacing untuk dimakan, namun dia mengalami kesukaran yang luar biasa pada hari tersebut. Selepas hampir sepagi berjalan ke sana sini, Kulopp hampa lalu berehat dan bersandar di sebatang pokok sambil mengeluh dan menghela nafas yang panjang.

Tiba-tiba, Kulopp disapa seekor burung helang yang sedang bertenggek di salah satu dahan pokok tersebut.

“Hello, ayam. Buat apa tuuuu?” tanya Helang tersebut.

“Eh, kau helang. Tak perasan pula kau kat atas tu. Aku saja je rehat kat sini, penat laa cari cacing tak dapat-dapat,” jawab Kulopp.

“Kau cari cacing nak buat apa? Mancing ke?” tanya helang tersebut kehairanan.

“Idok lerr. Cacing ni makanan favourite aku,” ujar Kulopp. “By the way, nama aku Kulopp, nama kau siapa?”

“Aku Eberechi. Panggil Ebe je,” jawab sang helang. “Aku ada idea, apa kata kita cari cacing kat tempat lain. Yelah, kat sini pun macam tandus je.”

“Okay juga idea kau tu Ebe. Jom jalan ke tempat lain, aku pun dah hilang penat ni,” tambah Kulopp.

“Jalan? Kita terbang laaa. Kita kan ada sayap,” jawab si Ebe sambil mengibarkan dua sayapnya yang besar bagaikan sang pahlawan, sambil dadanya didabik ke depan menampakkan bahawa dia merupakan atlet bina badan kategori helang.

Kulopp terdiam, lantas menunduk segan. Sambil kakinya menguis tanah, dia berkata,” Tapi Ebe, aku sebenarnya tak boleh terbang, sebab sayap aku kecil je. Tak macam kau, sayap besar.”

“Lerrrr kenapa tak kabor awal,” ujar si Ebe. “Kau tahu kenapa sayap aku besar, Kulopp?”

Kulopp menggeleng kepala – perlahan sahaja gelengannya, menahan malu.

“Sayap aku besar sebab aku ada jarum emas. Emas ori tau, bukan emas Zhulian atau emas Quantum Metal. Ini emas yang aku dapat pegang dan simpan,” jawab Ebe. “Aku guna jarum ni untuk jahit sayap aku. Sebab tu sayap aku besar.”

Kembali menunduk ke tanah, Kulopp lantas berkata,” Ebe, boleh tak aku pinjam jarum emas kau tu. Aku pun nak jahit sayap aku, nak terbang macam kau juga.”

“Boleh je Lopp. Nah, ambik jarum ni. Kau jahit elok-elok, petang nanti aku datang ambil balik, ngam?” tanya si Ebe sambil menghulurkan sebilah jarum emas yang berkilat kepada Kulopp.

Dengan mata yang buntang, Kulopp mengambil jarum emas tersebut daripada Ebe,”Terima kasih Ebe! Aku pastikan aku bagi semula jarum emas ni kepada kau petang ni.”

Kedua-dua mereka terus berborak kosong selama beberapa minit sebelum si helang berangkat terbang membelah awan untuk menghadiri satu majlis reunion alumni sekolahnya di hutan lain.

Usai hilang si helang daripada pandangan mata, Kulopp terus menjahit dan membesarkan sayapnya, sampai satu ketika dia merasakan bahawa sayapnya sudah cukup besar dan mampu membuatnya terbang seperti Ebe.

Lalu Kulopp pergi ke sebuah tebing tinggi dan berdiri di hujungnya. Sebagai persediaan untuk terbang, Kulopp menyelitkan jarum emas tersebut di bahagian tepi kakinya.

Dengan senyuman lebar sehingga membuatkan matanya sepet, si ayam terus terjun dari tebing tersebut sambil mengibas-ngibas sayapnya.

Selama beberapa saat, Kulopp bagaikan mampu terbang namun tidak lama kemudian, dia menjadi semakin ke bawah dan hilang kawalan meskipun sudah mengipas sayapnya dengan pantas. Kulopp akhirnya terjatuh dan bergolek-golek di atas tanah di bawah gaung tersebut.

“Ish, tak cukup besar rupanya sayap aku. Kena jahit lagi ni,” bebel si Kulopp kepada dirinya sendiri.

Ketika dia cuba mengambil jarum tersebut dari kakinya, Kulopp kaget. Jarum tersebut tiada!

Kulopp panik lalu mundar mandir mencari jarum emas tersebut. Dia naik semula ke atas tebing, meluncur ke bawah sambil matanya melilau ke kiri dan kanan mencari jarum emas.

Sedang dia mencari, tanpa sedar hari sudah pun petang, lalu si helang hadir untuk mengambil semula jarum emasnya.

“Hai Kulopp, apehal kau mundar mandir pusing-pusing tu?” tanya si Ebe mengejutkan Kulopp yang masih mencari jarum emas.

Kulopp menjadi pucat lesi sebaik terdengar suara Ebe. Nafasnya sesak.

“Sebenarnya Ebe, aku tercicir jarum tu. Tak tahu ada kat mana. Lama gila aku cari, tak jumpa-jumpa lagi,” jawab si Kulopp tergagap-gagap.

“Apaaa!!!!” jerit si Ebe. “Berani kau hilangkan jarum emas aku tu!!!???”

Kulopp terdiam ketakutan.

“Kau tahu tak berapa lama aku simpan duit nak beli jarum tu? Kau tahu takkk??? Aku ikat perut, sanggup tak beli Starbucks kau tahu tak? Aku tutup akaun Shopee aku demi nak jimat duit. Kau senang-senang boleh hilangkan jarum aku tu??!!” bebel si Ebe sambil menjerit kuat.

“Kau ingat murah ke hanat jarum ni!!!???” Ebe menambah bebelannya, diselang-selikan dengan carutan yang sangat menikam jiwa.

Kulopp pula apabila mendengar makian daripada Ebe, perasaannya berubah daripada rasa bersalah menjadi amarah.

“Kau nak marah, marah lah. Takyah la hina aku! Jarum emas je pun, kau beli lah yang lain!” jerit si Kulopp, sekaligus menambah kemarahan Ebe.

“Tagune kau! Mulai hari ini, kau dengan keturunan kau adalah makanan aku!” laung si helang kepada ayam, lalu mula menerkamnya.

Tanpa membuang masa, Kulopp terus lari di celah-celah pokok untuk mengelakkan daripada menjadi santapan si helang. Selepas lama bersembunyi di balik sebatang pohon besar, Kulopp si ayam kembali semula ke tempat dia kehilangan jarum emas tadi.

Dia berazam untuk menemukan jarum tersebut dan kembalikan kepada Ebe, namun sampai ke hari ini jarum emas itu masuk belum dijumpai.

Sebab itulah kalau kita tengok pada hari ini, ayam selalu mencakar tanah. Ini kerana Kulopp telah berpesan kepada keturunannya, sebelum dia menghembuskan nafas terakhir, agar mencari jarum emas itu dan kembalikan kepada keturunan helang.

Begitulah kisahnya.

BACA:  Pep Guardiola Mahu Lihat Liverpool Kalah Demi Cintanya Terhadap Bayern