Van Dijk Persoal Kesungguhan Rakan Sepasukan Juarai EPL

Kapten Liverpool Virgil van Dijk mempersoalkan keingginan rakan sepasukannya yang lain untuk merangkul kejuaraan Premier League pada musim ini dan berkata, “setiap pemain harus melihat diri mereka di cermin”.

Kekalahan 2-0 kepada seteru setempat Everton pada awal pagi tadi hampir pasti menoktahkan peluang skuad kendalian Jurgen Klopp menjulang trofi Premier League buat kali kedua sepanjang 9 tahun pengendali dari Jerman itu menerajui gergasi Merseyside itu.

Liverpool hanya ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Arsenal dengan baki 4 perlawanan. Tetapi Manchester City akan memintas Liverpool dan mempunyai kelebihan lima mata sekiranya menang dua perlawanan yang belum dimainkan.

“Dari pelbagai sudut ia amat mendukacitakan,” kata Van Dijk kepada Sky Sports selepas perlawanan.

“Saya berpendapat setiap pemain harus melihat diri mereka dengan cermin, nilai sendiri persembahan masing-masing sama ada diri mereka benar-benar telah memberikan segalanya ketika perlawanan.

“Adakah mereka benar-benar mahu menjuarai liga?”, persoal pemain pertahanan terbaik dunia itu.

“Kami tetap akan melawan, ada lagi tiga lagi perlawanan selepas malam ini. Tetapi jika kami beraksi seperti hari ini… gagal memenangi perebutan bola dan memberikan peluang kepada pengadil menghadiahkan sepakan percuma kepada pemain lawan dengan kerap, maka anda tidak akan berpeluang untuk muncul juara.

“Ia perlawanan sukar dan kami sepatutnya menampilkan aksi yang lebih baik menentang sebuah pasukan yang bergelut di zon penyingkiran.

“Kami memiliki beberapa peluang terhidang pada babak pertama tetapi gagal menyempurnakannya. Kami tidak boleh membenarkan musim ini berakhir dengan cara ini.”

Sebelum ini Liverpool menerajui persada liga ketika saingan musim ini berbaki lapan perlawanan, tetapi sejak beberapa minggu lalu tampil kurang bertenaga dimulai dengan kekalahan 4-3 kepada Manchester United di suku akhir Piala FA.

“Saya harap saya ada jawapan yang pasti,” kata Van Dijk ketika ditanya wartawan apakah punca Liverpool tiba-tiba tampil lemah.

“Kami berada di dalam situasi ini selepas konsisten sepanjang musim walaupun dengan pelbagai isu kecederaan. Pada awal musim pasti ramai tidak menjangkakan kami mampu bersaing untuk kejuaraan tetapi saya tidak kisah pendapat orang lain.

“Kami sudah berada di tahap ini dan harus tampil lebih baik, semuanya harus bermula dengan melawan. Ia bermula ketika anda perlu memenangi bola dan yakin untuk menghasilkan jaringan. Itulah yang kami hilang pada ketika ini.”

BACA:  Theo Walcott Lulus Pemeriksaan Kesihatan, Bakal Sertai Everton