Jurgen Klopp : Pemain Liverpool Tidak Memberi Sokongan Kepada Darwin Nunez

Bakal juara EPL, UCL, LTdL dan MFL, Liverpool telah mengalami kekalahan pertama dalam perlawanan pra-musim tempoh hari kepada kelab Austria, RB Salzburg.

Penyerang Salzbug yang juga pemain yang menjadi sasaran Manchester United, Benjamin Sesko, telahb menjaringkan gol tunggal perlawanan pada separuh masa pertama dan itu sudah cukup untuk memberikan ruang dan peluang kepada pembenci Liverpool untuk mengutuk dan bergelak ketawa ke atas kelab Merseyside ini.

Pemain yang baru sahaja menjaringkan empat gol dalam perlawanan sebelum ini, Darwin Nunez, telah menerima kritikan yang hebat daripada para penyokong berikutan aksinya yang longlai di atas padang di mana dia menjadikan sesuatu perkara yang mudah itu menjadi mustahil.

Walaubagaimanapun, pemain berusia 23 tahun ini mendapat sokongan daripada pengurus pasukan, Jurgen Klopp, yang telah mengatakan bahawa penyerang Uruguay ini tidak mendapat sokongan sewajarnya daripada rakan sepasukan sepanjang perlawanan menentang RB Salzburg.

“Darwin banyak kali keseorangan,” Klopp bercakap kepada laman sesawang Liverpool.

“Semua orang turun, semua orang terlibat dalam build-up tapi berada terlalu jauh dan kami hanya mampu menghantar bola kepada Darwin di dalam kotak. Dia dapat peluang dia dan hampir jaringkan gol, tapi dia perlukan sokongan yang lebih daripada rakan di sekelilingnya.

“Kau boleh buat seseorang pemain tu sibuk dan pihak lawan tak dapat fokus ke arah dia. Banyak benda la.

“Separuh masa kedua, banyangkan kalau Darwin dah ada dalam kotak penalti, memang sangat membantu lah, kan? Tapi benda dah jadi pun – tak seronok tapi kita terima hakikat dan mula bekerja dari situ.”

Klopp turut mengulas tentang aksi keseluruhan para pemainnya dalam perlawanan menentang kelab Austria itu.

“Pada separuh masa pertama, kita buat terlalu banyak kesilapan dan memberikan kelebihan kepada mereka. Kita ada juga detik-detik yang bagus , dan kita patut boleh jaringkan gol dalam perlawanan tu, sekurang-kurangnya mungkin empat atau lima gol.

“Tapi kita tak mampu buat macam tu sebab – dalam separuh masa pertama – kita main buka sangat, kita duduk lebar sangat dan kita tidak berapa nak berhubung bila mana kita hilang bola.

“Lepas tu tiber semua macam terbuka dan macam lebuh raya jadinya – diorang mula mengancam dengan larian deras diorang dan macam tu lah diorang dapat peluang utnuk jaringkan gol.”

Secara kesimpulannya, Liverpool mengharungi kempen pra-musim dengan agak tawaduk di mana mereka merekodkan kemenangan ke atas Crystal Palace dan RB Leipzig, dan tewas kepada Manchester United dan RB Salzburg.

Perlawanan mereka yang berikutnya adalah menentang Manchester City dalam perlawanan Perisai Masyarakat pada hari Sabtu di Stadium Wembley.

Liverpool bakal tampil tanpa penjaga gol utama, Alisson Becker, yang mengalami kecederaaan di bahagian abdomen sewaktu pra musim dan telah terlepas ketiga-tiga perlawanan mutakhir bersama pasukan.

Menggantikannya, Klopp telah menurunkan penjaga gol kedua, Caoimihn Kelleher, sepanjang baki perlawanan pra-musim.

Walaubagaimanapun, Kelleher juga turut mengalami kecederaan yang sama seperti Becker, dan berdepan kemungkinan tidak dapat diturunkan dalam perlawanan menentang City, sekaligus memaksa Klopp menggunakan khidmat penjaga gol ketiga pasukan, Adrian.

Menurut laporan, Alisson Becker sudahpun memulakan latihan ringan namun tidak sempat buatnya untuk kembali cergas dan cerdas, seperti sediakala dan diturunkan dalam perlawanan perisai masyarakat. Alisson hanya akan sempat diturunkan untuk perlawanan pertama liga menentang Fulham nanti.

Perkara ini tidak merisaukan Klopp yang dilihat lebih berminat untuk fokus ke perlawanan menentang Fulham nanti.

Berita : Mirror & SB

BACA:  Fabrizio Romano Dedah Berapa Sebenarnya Liverpool Dapat Hasil Penjualan Minamino