Pengurus berpengalaman, Carlo Ancelotti menyokong sepenuhnya keputusan bekas majikannya, Real Madrid untuk melantik kembali Zinedine Zidane menjadi pengurus pasukan sambil menambah Real Madrid dan Zidane merupakan perkahwinan yang sempurna.
Ancelotti pernah menguruskan Real Madrid selama 2 musim bermula dari tahun 2013 sehingga 2015. Beliau merupakan pengurus yang bertanggungjawab membimbing Real Madrid memenangi ‘Decima’, iaitu kejuaraan Eropah kali ke-10 untuk kelab tersebut apabila menewaskan Atletico Madrid dalam perlawanan akhir.
Walaupun sudah lama meninggalkan Real Madrid, Ancelotti percaya Zidane merupakan individu yang tepat untuk menyelesaikan segala masalah yang melanda skuad tersebut musim ini supaya dapat kembali bersaing untuk cabaran musim hadapan.
Zidane meninggalkan Real Madrid pada penghujung musim lepas selepas membimbing Los Blancos memenangi Liga Juara-Juara Eropah buat kali ke-3 berturut-turut.
Pemergian beliau dan kehilangan khidmat Cristiano Ronaldo menjadi punca utama mengapa Real Madrid bergelut musim ini sehingga terkeluar dari saingan merebut Liga Juara-Juara Eropah dan La Liga.
Pergelutan yang dialami Real Madrid musim ini menyebabkan hati Zidane terbuka untuk kembali menguruskan kelab tersebut dan Ancelotti percaya Zidane memilih waktu yang tepat untuk kembali ketika Real Madrid melalui fasa prestasi yang berliku dan tidak menentu.
“Zidane kembali pada waktu yang betul, dan jawatan beliau tidak akan berada dalam bahaya musim ini. Tiada siapa yang mampu menyalahkan beliau atas keputusan yang diraih pasukan ini sehinggan tamat musim ini.”
“Keadaan akan menjadi senyap untuk Real Madrid beberapa bulan ini dan amat penting untuk kelab tersebut melalui waktu yang tenang buat seketika.”
“Sebenarnya ini adalah idea yang baik untuk membawa Zidane masuk pada waktu sekarang kerana beliau akan mempunyai masa yang bernilai untuk membuat pemerhatian. Analisis untuk mempersiapkan pasukan bagi musim hadapan.”
“Saya boleh cakap Zidane dan Real Madrid adalah perkahwinan yang sempurna. Mereka dicipta untuk satu sama lain.”
“Sebab itu saya yakin gandingan ini akan menjadi sekali lagi. Bermula musim hadapan, anda perlu meletakkan Real Madrid sebagai pasukan pilihan untuk trofi di Sepanyol dan Eropah.”
Pengendali sebelum ini, Santiago Solari gagal memacu pasukan tersebut mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah apabila tewas mengejut kepada Ajax Amsterdam di gelanggang sendiri dua minggu yang lalu.
Di peringkat domestik pula, Real Madrid disingkirkan musuh tradisi, Barcelona dalam saingan separuh akhir Copa Del Rey. Kegagalan ini menjadi punca mengapa Solari dipecat serta merta dan Zidane dibawa masuk kembali untuk menenangkan bahtera yang sedang bergoyang teruk.