Andre Onana, Seorang Penjaga Gol Yang Hidup Dengan Permainan Risk & Reward

Ini adalah detik yang menggambarkan perbezaan yang akan dibawa oleh Andre Onana untuk Manchester United. Walaupun tewas tetapi banyak perkara positif yang ditunjukkan oleh Onana dalam perlawanan minggu lepas.

Pada pertengahan babak pertama, Cristian Romero melakukan satu hantaran-panjang kepada Dejan Kulusevski. Kulusevski bersedia untuk melakukan serangan balas pantas tetapi Onana naik meninggalkan gawangnya sejauh 40 ela untuk memintas bola tersebut.

Onana menyepak bola ke bahagian tepi kawasan penalti Spurs. Bukan saja-saja sepak tetapi hantaran-panjang mencari Alejandro Garnacho yang sedang masuk ruang kosong. Dari diserang tiba-tiba United menyerang.

Garnacho tidak menggunakan peluang itu dengan baik, dia melakukan hantaran silang rendah buruk yang singgah ke kaki pertahanan lawan, Micky van de Ven.

Namun, ini adalah detik yang memberitahu kepada para penyokongnya, kenapa United mahukan Onana dan apa yang mereka harapkan dari pemain bernilai £43.6 juta itu.

Onana bersedia berada jauh dari pintu gawangnya, visinya melihat rakannya di atas, yakin untuk bermain dengan bola dan kemudiannya dia sendiri yang akan melakukan hantaran tersebut.

“Dari satu sudut, Aaron Wan-Bissaka adalah ‘penjaga gol’ dan Onana adalah bek-kanan,” kata Gary Neville

“Anda boleh lihat mengapa.”

…S…

United memulakan kempen musim ini dengan agak buruk tetapi itu jika dilihat secara berpasukan dan Onana tidak berada dalam kumpulan itu.

Dalam aksi tadi, ia mungkin satu situasi berbahaya untuk Onana naik setinggi itu bagi memintas bola tersebut, tetapi apa yang mahu disampaikan disini adalah bagaimana Onana telah memberi perbezaan besar ke dalam skuad itu jika dibandingkan dengan David De Gea.

Sebelum ini fungsi penjaga gol United hanya terhad dalam kotak 6 ela sahaja. Penjaga gol bukan lah seorang pemain yang akan menyumbang banyak dalam permainan berpasukan. Akibat dari masalah itu United tidak mampu membina permainan dari belakang.

Ambil contoh ini untuk memahami bagaimana United sekarang dengan mudah membina permainan dari belakang. Ini sorotan dari babak pertama (menentang Tottenham) di mana Lisandro Martinez melakukan sepakan gol. Dia melakukan hantaran pendek kepada Onana.

Richarlison dan James Maddison mahu menekan Onana. Apabila mereka menekannya, Onana dengan selamber menghantar bola kepada Raphael Varane yang bergerak dari bahagian kanan ke ruang di antara Richarlison dan Maddison.

Richarlison hampir memotong hantaran itu, ia menunjukkan betapa berisikonya permainan sebegini tetapi United keluar dari kawasan itu tanpa sebarang masalah. United berjaya melepasi ‘barisan pertama’ pressing Spurs melalui dua hantaran sahaja.

Inilah jenis permainan berisiko tinggi tetapi mempunyai ganjaran besar jika mereka berjaya melakukannya. Tiada siapa boleh membayangkan United mampu bermain dengan cara ini ketika mereka bersama De Gea.

Dari semua jumlah sepakan gol yang dilakukan oleh De Gea pada musim lepas, 2/3 darinya adalah sepakan jauh lebih dari 40 ela. Dalam pertemuan menentang Wolves, sepakan paling jauh yang dilakukan oleh Onana adalah 13 ela.

Melihat pada corak hantaran Onana dalam dua perlawanan itu, Onana banyak melakukan hantaran ke sebelah kanan dan tengah pertahanannya. Kawasan hantaran paling digemari Onana adalah ke bahagian bek-kanan.

…S…

Adakah hubungan permainan Onana dan Wan Bissaka akan menjadi bertambah baik? Mungkin ya. Mungkin tidak.

Pada tahun ini Wan Bissaka telah mendapat semula tempatnya, sejak itu dia telah menunjukkan satu peningkatan besar namun keupayaan pemain ini masih terhad terutamannya dalam membantu pasukan ketika menyerang.

Wolves dan Tottenham akan gembira melihat Wan Bissaka meninggalkan ruangnya untuk menerima bola dari Onana. Mereka akan berusaha menyekat pembinaan permainan dari belakang United dengan cuba memotong laluan hantaran bola.

Apabila mereka berjaya menghentikan fasa pembinaan pertama United dengan cara itu, mereka akan melakukan serangan secara mengejut.

…S…

Namun keupayaan Onana tidak terhad dengan hanya hantaran pendek sahaja. Dia juga memiliki hantaran panjang yang hebat dan ia juga merupakan senjata utamanya.

Contoh ini boleh dilihat dari satu hantaran silang yang menakjubkan kepada Garnacho tadi. Itu bukan lah satu-satunya bukti yang boleh ditunjukkan untuk menggambarkan kehandalan Onana melakukan hantaran panjang.

Sejurus sebelum separuh masa pada perlawanan hari Sabtu lepas, Onana memotong satu lagi bola dari bahagian-tengah Tottenham.

Hantaran itu sampai ke kawasan kotak penalti lawan dengan Marcus Rashford bersedia untuk mendapatkannya. Tetapi Rashford tidak berjaya mendapatkannya, jika tidak situasi 1 lawan 1 pasti akan berlaku iaitu Rashford lawan penjaga gol.

Dalam babak pertama menentang Wolves, Onana berdiri dengan baik di luar kawasan penalti dan menendang jauh mencari Garnacho di bahagian sayap kiri.

Bola tersebut melepasi garisan pertama pasukan Wolves dan terus meletakkan Garnacho di bahu pertahanan mereka. Sekiranya pemain sayap berusia 19 tahun itu mengambil bola dengan lebih baik, United sudah boleh berada di bahagian belakang pertahanan Wolves.

…S…

United mahukan Onana kerana mereka mahu bermain dengan lebih sabar dibahagian belakang. Onana boleh memberi apa yang kelab itu mahu. Dalam masa yang sama Onana boleh mengekalkan apa yang telah diberikan De Dea iaitu kemampuan melakukan hantaran panjang.

Dengan De Gea, 2/3 sepakan gol akan dilakukan dengan sepakan-panjang. Sementara itu Onana melakukannya 1/4 dari jumlah keseluruhan sepakan gol yang diambilnya. Lebih menarik, jika Onana melakukan sepakan-panjang, jaraknya lebih jauh dari De Gea (lebih 1 ela).

Perbezaan disini adalah kualiti berbanding kuantiti. De Gea sering melakukan clearance untuk mengurangkan tekanan. Manakala Onana mempunyai visi, keyakinan dan kebolehan untuk memilih sama ada mahu memberikan bola kepada rakan yang hampir dengannya atau yang berada jauh di bahagian atas.

…S…

Perubahan besar lain yang berlaku dalam posisi penjaga gol United adalah De Gea tidak pernah mahu keluar dari kawasannya. Dia kerap dikritik kerana keengganannya ini.

Purata De Gea keluar dari kawasannya untuk melakukan clearance adalah 0.84 kali bagi setiap 1 perlawanan manakala Onana melakukan 2 kali dalam setiap penampilan bersama United.

Dibawah adalah salah satu contoh kecil tetapi ia selari dengan status sweeper keeper paling proaktif dalam Liga Perdana.

Onana juga tidak takut untuk keluar untuk menghentikan situasi bahaya di dalam kawasan penaltinya seawal mungkin. Menentang Wolves, gerakan satu-dua yang mantap dari Pedro Neto dan Pablo Sarabia telah berlaku pada awal babak kedua.

Neto meneruskan lariannya ke dalam kotak, dia berpotensi berada di kedudukan terbaik untuk melakukan hantaran lintang kepada Matheus Cunha tetapi Onana meluru lebih pantas untuk menghentikannya.

Kepantasan Onana membolehkannya membuat keputusan, menepis bola dan membunuh peluang Wolves. Ramai yang memandang remeh tentang perlunya seseorang penjaga gol memiliki kepantasan yang baik.

Onana merupakan seorang penjaga gol proaktif yang tidak dimiliki oleh United pada masa lalu. Tidak dinafikan tindakan Onana agak berisiko tetapi jika dia kekal di garisan gol dan membenarkan hantaran silang itu berlaku, ianya juga berisiko.

…S…

Dilema antara risk & reward ini adalah asas atau gaya permainan Onana. Ketika Erik Ten Hag memutuskan untuk membeli penjaga jenis macam ni mesejnya adalah.

Ten Hag mahu penjaga golnya menjadi suara penting dalam bilik persalinan, dia mahu Onana demand kepada pemain pertahanan yang bermain di hadapannya dan yang paling penting, Ten Hag mahu dia bermain dengan kebebasan seperti yang dia lakukan semasa mereka bersama di Ajax.

Ia bermaksud, Onana akan berada di luar kawasan penaltinya ketika United menguasai bola. Kemenangan 3-1 ke atas Lens dalam perlawanan pramusim telah menjadi bukti.

Selepas Onana tewas dari percubaan lambung pasukan lawan – ekoran kesilapan hantaran dari Diogo Dalot, Onana boleh memutuskan cukuplah dia bermain dengan cara itu dan kembali kepada permainan yang konservatif.

Namun Onana memutuskan untuk terus setia kepada arahan Ten Hag dan prinsipnya sendiri, terus bermain kawasan atas dan bersedia memikul bertanggungjawab jika berlaku sebarang kesalahan. Personaliti jenis inilah yang Ten Hag mahukan dalam diri pemainnya.

“Dia selalu berkata, ‘Kesilapan sentiasa ada di sebelah saya’,” kata sumber rapat dengan Onana

“Sudah pasti, suatu hari nanti dia akan melakukan kesilapan besar bersama United namun dia sudah bersedia menghadapi keadaan itu.”

…S…

Risiko yang diambil oleh Onana dan hantaran gaya Hollywood merupakan tindakan biasa dari seorang penjaga gol moden namun keutamaan bagi seorang penjaga gol adalah mengelak dari gawangnya dibolosi. Dalam tahun-tahun terakhir karier De Gea di Old Trafford, refleksi dan ketangkasannya adalah antara yang terbaik di dunia.

Onana tidak datang ke United dengan reputasi itu tetapi dia juga telah membuktikan dirinya sebagai shot stopper yang hebat sepanjang kariernya, terutamanya melawan percubaan dari jarak dekat.

xG post shot (PSxG) ialah metrik kepada jangkaan bolos berdasarkan kualiti percubaan dan ia memberikan anggaran tentang kemungkinan penjaga gol berjaya atau gagal menyelamatkan percubaan itu.

Dalam perjalanan Inter ke final Liga Juara-Juara dan dengan merujuk kepada PSxG, Inter dijangka melepaskan 17.6 gol tetapi Onana hanya bolos 8 kali. Ia satu angka yang menunjukkan Onana merupakan shot stopper terbaik berbanding mana-mana penjaga gol lain.

Setakat ini di Liga Perdana, Onana telah meneruskan kecemerlangan itu. Hanya 6 dari 23 percubaan Wolves di Old Trafford tepat ke sasaran dan Onana menumpaskan 2 percubaan jarak dekat oleh Fabio Silva.

Reaksi pantas dan tangkas yang diperlukan untuk menghentikan bola dari jarak dekat merupakan kepakaran Onana dan dia telah menunjukkannya pada minggu lepas.

Onana menafikan percubaan dari Destiny Udogie dengan kakinya di sudut sempit dan dekat. Merujuk kepada PSxG, percubaan itu mempunyai 96% peluang untuk menjadi gol.

Setakat ini Onana belum diuji sepenuhnya melalui percubaan dari jarak jauh tetapi Kulusevski sudah melakukannya dari luar kotak pada penghujung separuh masa kedua di Tottenham. Percubaan itu bukan percubaan terbaik dari Kulusevski tetapi Onana menangkapnya dengan rilek rilek sahaja.

Keupayaan shot stopping Onana adalah bukti kualiti seorang penjaga gol tradisional tidak perlu dikorbankan untuk menjadi penjaga gol moden. Onana memiliki kedua-duanya.

…S…

Disebalik semua kehandalan Onana dia juga tidak terlepas dari memiliki kelemahan. Onana lemah dalam situasi bola lintang tinggi. Dia sering kekok untuk menangkap hantaran jenis ini. Ini bukan masalah baru bagi penjaga gol United. De Gea juga mempunyai masalah ini.

De Gea sering teragak-agak apabila mempunyai peluang untuk menghalang hantaran lintang, Onana jauh lebih proaktif tetapi masih lemah. Detik paling teruk Onana setakat ini adalah percubaan kekoknya untuk menangkap hantaran silang pada saat-saat akhir ketika menentang Wolves.

Serangan Onana keatas Sasa Kalajdzic sepatutnya mendatangkan penalti kepada Wolves. Pengadil Simon Hooper dan dua pembantu pengadil tidak memberikan sepakan penalti dan kemudian mereka telah digantung kerana gagal menilainya dengan baik.

Ia bukan yang kali pertama Onana terkial-kial ketika berhadapan dengan situasi sebegitu. Dia mengepakkan hantaran silang oleh Morgan Guilavogui semasa kemenangan pramusim ke atas Lens, kemudian bertembung dengan Florian Sotoca ketika berebut untuk mendapatkan semula bola.

Bagaimanapun timbul persoalan adakah lebih baik untuk terus kekal di garisan dan hanya keluar jika dia 100% yakin dapat menangkap hantaran silang itu? Atau terus bertindak secara proaktif? Kedua-dua jawapannya ada baik dan buruknya.

Onana tetap dengan gaya menangkap hantaran silang dengan cara kasar dan berisiko itu, dia tidak akan berhenti dari terus melakukannya.

Apabila Hugo Bueno cuba mencipta situasi panik di dalam kotak penalti United melalui hantaran silangnya, Onana secara akrobatik terbang untuk menangkap hantaran itu dengan menggunakan kedua-dua tangannya.

Keyakinan Onana tidak pernah goyah walaupun tindakkannya boleh memberi penalti kepada pasukan lawan. Sejurus sebelum itu, dia telah melompat keluar dan mengalahkan Kaladjzic untuk menangkap hantaran silang dari Max Kilman.

Penutup

Penjaga gol yang kurang agresif mungkin tidak akan terperangkap dengan penalti kontroversi tetapi mereka juga dengan mudah boleh ditewaskan kerana tidak bertindak awal untuk menutup ancaman.

Bolos melalui sepakan penalti mungkin teruk kerana terburu-buru keluar untuk menghentikan ancaman dan tetapi bolos kerana tidak melakukan sesuatu lebih mengerikan.

Dilema ini akan sentiasa ada dalam posisi penjaga gol sepanjang musim ini, perubahan yang memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan cara baharu.

Gaya permainan Onana tidak akan meletakkan dirinya sentiasa melakukan perkara yang betul. Tetapi pada permulaan musim sukar di Old Trafford, persembahannya setakat ini cukup positif.

BACA:  United Paling Bertuah, Liverpool Pasukan Paling Tidak Bernasib Baik Musim Lepas