Andrea Berta, Pengarah Sukan Baharu Arsenal, Langkah Berani ke Arah Kejayaan

Selepas pemergian Edu 4 bulan lalu, Arsenal berada di satu persimpangan penting dalam pemilihan pengarah sukan baharu. Adakah mereka mahu mengekalkan kesinambungan dengan melantik Jason Ayto, bekas pembantu Edu atau mengambil pendekatan baharu dengan membawa masuk seseorang dari luar? Keputusan mereka akhirnya jelas; Andrea Berta dipilih untuk mengisi peranan tersebut sekali gus mencerminkan hala tuju baharu kelab ini.

Edu sebelum ini memainkan peranan penting dalam membangunkan Arsenal sebagai pasukan yang mampu bersaing di peringkat tertinggi. Dengan latar belakang sebagai bekas pemain Arsenal, dia mempunyai hubungan baik dengan pemain, ejen dan pegawai kelab. Namun, untuk mencari pengganti yang mampu menandingi kualitinya bukan lah satu tugas mudah. Arsenal perlu memutuskan sama ada mereka lebih menghargai kesinambungan budaya kelab atau mahu pendekatan yang lebih agresif dalam pasaran perpindahan pemain.

Keputusan memilih Berta membuktikan bahawa Arsenal kini mengutamakan perubahan dan keberanian dalam strategi pemindahan mereka.

Berta: Pilihan Mikel Arteta untuk Masa Depan

Mikel Arteta dikatakan memberikan restunya terhadap pelantikan Berta. Selepas lebih 5 tahun mengendalikan Arsenal, Arteta mungkin merasakan bahawa masanya telah tiba untuk membuat perubahan besar. Arsenal kini semakin hampir dengan kejuaraan dan memerlukan strategi yang lebih berani dalam mendapatkan pemain yang mampu membawa kejayaan.

Jika Ayto terkenal dengan pendekatan yang tenang dan fokus kepada kestabilan jangka panjang, Berta pula mempunyai reputasi sebagai individu yang cenderung membuat keputusan pantas untuk hasil segera. Pengalamannya di Atletico Madrid menunjukkan keupayaannya dalam merancang pemindahan pemain yang berani dan agresif.

Berta juga membawa gaya kerja yang berbeza daripada Edu. Dia lebih mirip kepada Raul Sanllehi, bekas pengarah teknikal Arsenal yang dikenali sebagai individu yang licik dalam dunia perpindahan pemain.

Peranan Besar Berta dalam Masa Terdekat

Jawatan pengarah sukan di Arsenal masih boleh dianggap sebagai sesuatu yang baru dalam sejarah kelab itu. Ketika era Arsene Wenger, beliau tidak melihat perlunya peranan ini dan pernah berkata secara sinis bahawa pengarah bola sepak hanya sekadar “mengarah pemain ke kiri dan ke kanan.” Namun, selepas Wenger meninggalkan kelab hampir 7 tahun lalu, Arsenal mula mengubah struktur pengurusan mereka dengan memperkenalkan peranan itu.

Edu membuktikan bahawa pengarah sukan boleh memainkan peranan besar dalam pembangunan pasukan. Walaupun pada awalnya diragui terutama kerana kurang pengalaman di Eropah, Edu berjaya membantu Arsenal kembali bersaing di peringkat tertinggi Liga Perdana Inggeris. Kini, cabaran besar menanti Berta; bagaimana dia dapat beradaptasi dan bekerjasama dengan individu penting lain dalam kelab seperti Arteta, Richard Garlick dan Josh Kroenke yang terlibat dalam keputusan pembelian dan penjualan pemain.

Cabaran dan Harapan Buat Arsenal

Pelantikan Berta berlaku pada waktu yang agak mencabar. Jason Ayto telah menjalankan tugasnya dengan baik sejak pemergian Edu dan telah merangka beberapa perjanjian pemindahan menjelang musim panas 2025. Kehadiran Berta di pertengahan proses itu boleh menyebabkan sedikit kekeliruan dalam rundingan yang sedang berlangsung. Bagaimana dia menangani isu ini bakal menjadi faktor penting dalam kejayaannya di Arsenal.

Selain itu, Berta perlu segera memberi perhatian kepada beberapa perkara kritikal. Kontrak beberapa pemain utama Arsenal seperti Bukayo Saka, Gabriel, William Saliba dan Gabriel Martinelli semakin menghampiri tempoh 2 tahun sebelum tamat dan perjanjian baharu perlu diselesaikan secepat mungkin. Begitu juga dengan pemain muda berbakat seperti Ethan Nwaneri dan Myles Lewis-Skelly yang memerlukan kontrak yang lebih baik bagi memastikan mereka terus kekal di kelab.

Satu lagi cabaran utama adalah memperbaiki keupayaan Arsenal dalam menjual pemain dengan harga tinggi. Arsenal sering gagal menjana keuntungan besar daripada penjualan pemainnya. Berta juga perlu memastikan bahawa Arsenal tidak lagi mengalami kerugian dalam aspek ini. Selain itu, peranannya juga merangkumi pengurusan pasukan wanita serta akademi kelab, sesuatu yang akan menambah beban tugasnya.

Kesimpulan: Keputusan Berani untuk Masa Depan

Pemilihan Berta sebagai pengarah sukan bukanlah satu langkah yang selamat dan tenang tetapi lebih kepada keputusan berani yang boleh membawa Arsenal ke tahap lebih tinggi. Dia tidak akan diberikan kebebasan sepenuhnya untuk menguruska perpindahan pemain sesuka hati kerana masih perlu bekerja dalam bajet yang ditetapkan oleh pemilik kelab. Namun, kehadirannya dijangka membawa perubahan besar dalam cara Arsenal beroperasi di pasaran perpindahan pemain.

Dengan sumber yang terhad tetapi cita-cita besar, Berta perlu mencari keseimbangan antara keberanian dan kebijaksanaan dalam setiap keputusan yang dibuatnya. Arsenal kini sedang menyusuri jalan yang lebih mencabar dan berisiko, tetapi jika langkah ini berhasil, mereka boleh menjadi lebih kompetitif di peringkat domestik dan Eropah.

BACA:  Ulasan Sharip Dolsson: Arsenal Yang Berjaya Menjadi Lapang Sasar