Andres Iniesta Tinggalkan Barcelona Selepas 22 Tahun Bersama

Pemain tengah Barcelona, Andres Iniesta akhirnya mengesahkan beliau akan meninggalkan Barcelona pada hujung musim ini dan mengakhiri 22 tahun pertaliannya bersama kelab Catalan tersebut.

Dalam satu sidang media khas yang berlangsung di padang latihan Barcelona kelmarin, pemain berusia 33 tahun mengesahkan musim ini adalah musim terakhirnya bergelar pemain Barcelona.

Siapa potong bawang ni

Sidang media tersebut berlangsung agak sugul dan dihadirii oleh pengurus dan rakan sepasukannya yang lain. Iniesta dilihat agak sedih dan hampir mengalirkan air mata ketika mengumumkan keputusan tersebut.

Sepanjang bermain untuk Barcelona, beliau telah berjaya menjulang 8 kejuaraaan La Liga, 4 trofi Liga Juara-Juara Eropah dan 6 trofi Copa Del Rey. Iniesta dijangka akan menjulang kejuaraan La Liga beliau yang ke-9 dalam masa beberapa minggu yang akan datang.

Destinasi Iniesta selepas ini masih menjadi tanda tanya kerana pemain tersebut masih lagi belum membuat keputusan rasmi. Tetapi menurut laporan dari Sepanyol, pemain tersebut bakal berhijrah ke Chinese Super League untuk bermain dengan kelab  Chongqing Dangdai Lifan.

Sebelum ini presiden kelab tersebut, Gong Daxing mengakui kelabnya dalam perbincangan akhir untuk memuktamadkan perjanjian untuk mendapatkan khidmat Iniesta musim hadapan.

Memenagi segalanya di peringkat antarabangsa. 2 Kejohanan Eropah dan satu Piala Dunia

Walaupun bukan kelahiran Catalan, Iniesta menyertai akademi bolasepak Barcelona seawal umur 12 tahun. Beliau beraksi untuk Barcelona B selama beberapa musim sebelum diserap ke pasukan utama pada tahun 2002.

Sejak daripada itu, Iniesta tidak menoleh ke belakang lagi. Beliau menjadi pemain watak utama di bahagian tengah Barcelona ketika era Frank Rijkaard, Pep Guardiola, Luis Enrique dan terbaru Ernesto Valverde.

Dalam sidang media istimewa yang diadakan khas untuk Iniesta, beliau mengakui keputusan untuk meninggalkan kelab yang diwakilinya selama 22 tahun bukan keputusan yang senang untuk diambil.

“Ini musim terakhir saya di sini. Saya mengambil masa yang lama sebelum mengambil keputusan ini. Bagi saya, Barcelona adalah kelab terbaik di dunia kerana kelab ini telah memberikan segala-galanya untuk saya.”

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan dan semua pihak yang telah menemani saya setiap hari di Barcelona. Mereka telah menjadikan saya pemain yang lebih baik.”

“Mimpi saya menjadi kenyataan di sini. Kami memenangi banyak piala dan melalui detik-detik manis sepanjang karier saya. Saya sangat gembira kerana berpeluang untuk bermain dengan kelab ini. Saya amat bangga.”

Mengenai masa depannya, Iniesta mengesahkan beliau tidak akan bermain di Eropah kerana beliau tidak mahu menentang Barcelona.

31 trofi sepanjang bergelar pemain Barcelona. Rekod kelab yang dikongsi bersama dengan Lionel Messi

“Masih banyak perkara yang perlu dimuktamadkan. Saya pernah berkata yang saya tidak mahu bermain menentang Barcelona, jadi sudah tentu ia bukan di Eropah. Anda akan mengetahui lebih lanjut mengenainya pada hujung musim nanti.”

“Usia saya hampir mencecah 34 tahun. Saya telah menunjukkan segala-galanya di atas padang. Saya telah memberikan apa yang termampu kepada kelab ini. Jika saya tidak dapat memberikan yang terbaik kepada Barcelona, saya tidak akan berasa gembira. Saya mahu terus gembira seperti yang saya pernah tunjukkan sebelum ini.”

Iniesta telah melakukan 435 penampilan bersama Barcelona sepanjang kariernya dan telah berjaya memenangi 31 trofi, iaitu rekod kelab yang dikongsi bersama dengan Lionel Messi.

BACA:  Barcelona Berjaya Jual Hak Penyiaran TV RM1.23 Bilion