Andres Iniesta Berkelana Ke Jepun, Sertai Kelab J-League Vissel Kobe

Pemain antarabangsa Sepanyol, Andres Iniesta telah menandatangani kontrak untuk menyertai kelab dari Jepun, Vissel Kobe selepas 22 tahun bersama Barcelona.

Dalam sidang media yang berlangsung di Tokyo hari ini, Iniesta diperkenalkan kepada wartawan dan peminat kelab tersebut oleh pemilik Vissel Kobe, Hiroshi Mikitani yang juga seorang billionaire.

Iniesta bakal merumput di Jepun selepas 22 tahun berkhidmat dengan Los Cules

Iniesta berkata beliau memilih untuk berkelana ke Jepun kerana Vissel Kobe menawarkan projek yang menarik untuknya.

Iniesta juga berkata beliau datang ke Jepun bukan semata-mata kerana wang kerana masih banyak lagi yang beliau mampu tawarkan kepada pasukan.

“Saya menerima banyak lagi tawaran, kelab-kelab ini sangat berminat untuk mendapatkan khidmat saya.”

“Saya memilih Vissel Kobe kerana kelab ini menawarkan projek yang sangat menarik. Kelab ini menaruh kepercayaan dan keyakinan terhadap saya, bukan sahaja dari segi individu tetapi juga dari segi pemain. Ia merupakan sebab utama saya memilih untuk datang ke sini.”

Pemain berusia 34 tahun itu dilaporkan bakal menerima gaji yang lumayan sepanjang bersama kelab J-League tersebut, yang mana gaji tahunan Iniesta dianggarkan berjumlah $30m (£22.39m). Pemilik Vissel Kobe, Hiroshi Mikitani percaya Iniesta akan banyak membantu generasi muda kelab tersebut.

Iniesta dilaporkan menerima gaji yang sangat lumayan di Vissel Kobe, hasil ‘derma’ pemilik kelab tersebut

“Saya sangat yakin DNA bolasepak dan kepimpinan yang dimiliki Iniesta akan memberi insipirasi bukan sahaja kepada pemain Vissel Kobe, tetapi juga seluruh komuniti bolasepak di Jepun.”

“Kami percaya ketibaan Iniesta bukan hanya akan memperkuatkan pasukan kami tetapi juga bakal membantu membentuk generasi pemain kelab ini yang seterusnya berdasarkan methodology Iniesta yang akan diserap masuk dalam pembangunan pemain muda kelab ini.”

“Kami percaya keputusan Iniesta untuk bermain di Jepun akan memberi impak yang besar, bukan sahaja terhadap Vissel Kobe, tetapi juga terhadap bolasepak di Jepun dan Asia.”

Sepanjang 22 tahun bersama Barcelona, Iniesta berjaya memenangi 32 trofi dimana beliau telah melakukan 674 penampilan peringkat senior. Beliau menyertai akademi Barcelona pada tahun 1996, seawal usia 12 tahun.

Perlawanan terakhir Iniesta bersama Barcelona adalah ketika menentang Real Sociedad dimana mereka menang 1-0 hasil jaringan tunggal Philippe Coutinho.

Dalam satu tweet menerusi akaun twitter rasmi Iniesta kelmarin, beliau berada dalam perjalanan untuk menyertai ‘rumah barunya’.

Iniesta bakal menyertai bekas penyerang Arsenal, Lukas Podolski di Vissel Kobe selepas selesai Piala Dunia 2018.

Iniesta akan memakai jersi No.8 bersama kelab barunya yang kini menduduki tangga ke-6 selepas mengharungi 15 perlawanan. Vissel Kobe menamatkan musim lepas di kedudukan ke-9 liga.

Peminat Vissel Kobe perlu menunggu lebih lama untuk melihat kelibat Iniesta beraksi bersama kelab tersebut kerana Iniesta telah disenaraikan dalam skuad 23 pemain Sepanyol yang akan beraksi di Piala Dunia musim panas nanti.

BACA:  Klopp Anggap Kepulangan Coutinho Ke Liverpool Tidak Akan Berlaku